Juruelektrik didakwa merogol anak kandung

MELAKA – Seorang juruelektrik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas lapan pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak kandung berusia 15 dan 14 tahun dalam kejadian antara Jun tahun lalu hingga Jun ini.

Tertuduh berusia 43 tahun membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Difahamkan, tertuduh yang merupakan warga Bangladesh telah berkahwin dengan ibu mangsa yang merupakan warga tempatan sejak 18 tahun lalu dan mempunyai empat orang anak.

Mangsa merupakan anak pertama dan kedua mereka.

Mengikut enam pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kedua-dua anaknya itu.

Berikutan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebatan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan atas tuduhan merogol anak yang berusia 15 tahun yang mana perhubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan di tempat yang sama dalam tempoh itu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan tidak kurang dari 10 sebatan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Sungai Udang dan di tepi jalan berdekatan sebuah pasar raya di Sungai Udang antara Jun 2019, Mei 2020 dan Jun 2020.

Tertuduh juga didakwa di bawah Seksyen 506 kanun keseksaan kerana mengugut mangsa dengan menakutkan secara jenayah berbentuk ugutan secara lisan terhadap mangsa pada jam 3 petang di tepi jalan berhampiran sebuah pasar raya di Sungai Udang pada 20 Jun lalu.

Sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos mencadangkan jaminan sebanyak RM160,000 bagi lapan pertuduhan tersebut iaitu RM20,000 untuk setiap pertuduhan.

Tertuduh yang diwakili peguam Gan Seong Kim bagaimanapun merayu jaminan terhadap anak guamnya dikurangkan.

Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah menetapkan jaminan RM50,000 untuk kesemua pertuduhan dengan syarat hanya isteri tertuduh sebagai penjamin selain perlu menyerahkan pasport dan tidak mengganggu mangsa.

Hakim menetapkan 25 Ogos depan bagi tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes. Sinar

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker