Ini umur sesuai untuk berkahwin

 

gambar hiasan

DALAM kalangan kaum India khususnya yang beragama Hindu, upacara perkahwinan disebut sebagai kalyanam, kanya, vivaha, muhurtam atau thirumanam. Dalam kumpulan esei Suvarna Bhumi (2022), saya menghuraikan secara ringkas proses merisik, meminang, bertunang dan berkahwin yang diamalkan orang Tamil, Malayali dan Telugu.

Di bawah Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau Akta 164, umur sah bagi individu bukan Islam berkahwin ialah 21 tahun. Jika berumur 16 hingga 20 tahun, maka perlu mendapatkan izin ibu bapa.

Dalam realiti hidup sekarang, ramai yang masih belajar di kolej atau universiti sehingga umur sekitar 25 tahun. Kemudian memasuki alam pekerjaan dan perlu membayar hutang pinjaman pendidikan. Selepas itu, terpaksa memikirkan soal membeli rumah dan kereta. Apabila semuanya sudah stabil, barulah dapat benar-benar memasuki alam perkahwinan.

Maka, budaya dan trend berkahwin kaum India sudah berubah jika dibandingkan dengan 1980-an.

Baru-baru ini, saya membincangkan topik ini bersama beberapa rakan. Pada pandangan Hendry Rao Francis, umur yang sesuai bagi lelaki kaum India berkahwin ialah 26 hingga 28 tahun kerana itulah masanya mereka benar-benar matang mental dan emosional serta lebih stabil dari sudut sosioekonomi.

“Bagi wanita pula, umur 25 hingga 27 tahun agak sesuai kerana sudah tamat pengajian dan mula bekerja. Pasangan itu perlukan masa untuk bersedia dari segi pekerjaan dan kewangan sebelum memulakan hidup baharu,” kata guru itu yang tinggal di Bandar Seri Sendayan, Negeri Sembilan.

Bagi Indrarao Ramulu dari Taiping, Perak pula, umur 32 hingga 37 tahun dianggap paling ideal bagi lelaki supaya tanggungjawab selepas berkahwin dapat ditunaikan dengan baik.

Individu itu juga lebih matang dalam membuat keputusan serta mampu menghadapi sebarang krisis sebagai ketua keluarga.

“Umur sesuai bagi wanita pula 28 hingga 33 tahun kerana mampu menghayati erti sebenar perkahwinan dan perkongsian hidup yang akan membawa kepada sebuah keluarga harmoni,” kata guru itu.

Turut berkongsi pandangan ialah Priveena Thanabalan, seorang penganalisis perniagaan dari Bayan Baru, Pulau Pinang. Pada pendapatnya, tidak boleh diletakkan umur khusus kerana setiap individu berbeza. Apa yang penting, orang itu harus matang dari segi emosi, mental dan kewangan serta sudah bersedia untuk berkeluarga.

“Mungkin umur 25 hingga 35 tahun agak ideal. Jika terlalu lewat berkahwin, pasangan itu perlu menyara anak-anak pada usia tua. Bagi si wanita, mengandung dan bersalin pada usia lanjut boleh pula mengancam kesihatan diri dan bayi,” beliau menghuraikan.

Pegawai teknologi makanan dari Butterworth, Pulau Pinang, S. Ghanthimathi yang saya kenali sejak sekolah rendah juga terlibat dalam perbincangan. Pada pemerhatiannya, umur sesuai bagi lelaki dan wanita kaum India berkahwin ialah selepas tamat pengajian, ada pekerjaan tetap dan stabil dari segi kewangan. Biasanya, hal ini berlaku pada sekitar umur 26 tahun.

INSURANS

Pandangan hampir serupa dikemukakan seorang lagi rakan, Sivapalan Selvadurai dari Kajang, Selangor. Antara aspek penting yang selalu kurang difikirkan pasangan muda ialah keperluan ekonomi seperti simpanan hari tua, insurans dan dana lain bagi perlindungan diri dan keluarga. Sebolehnya, beli rumah dahulu supaya bayaran dapat dilangsai sebelum pencen.

“Umur sesuai bagi lelaki dan wanita ialah 28 hingga 30 tahun. Bagi wanita, perlu fikirkan juga aspek reproduksi. Sekurang-kurangnya pasangan itu boleh rancang jarak antara setiap anak,” kata bekas pensyarah itu.

Perbincangan kami turut menjurus kepada soalan sama ada perlu dibuat kursus kahwin bagi bakal pengantin kaum India beragama Hindu, Kristian, Buddha atau Sikh. Topik ini memang selalu diperkatakan pelbagai badan agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi belum ada sebarang keputusan.

“Saya setuju jika kursus perkahwinan diwajibkan. Semasa anak muda berkenalan, banyak isu diketepikan dan tidak dibincang. Selepas berkahwin dan timbul macam-macam masalah peribadi dan isu rumah tangga, mereka tidak mampu menanganinya. Itulah juga punca perceraian,” Hendry Rao menegaskan.

Indrarao turut bersetuju kursus kahwin menjadi suatu budaya dan kewajiban dalam masyarakat. Kaum India biasanya melihat porutam (keserasian) pasangan sebelum meminang tetapi kursus kahwin dapat benar-benar menyediakan pasangan itu mengharungi realiti dan cabaran hidup berumahtangga secara matang dan komited. Modul kursus kahwin perlu dirangka dengan baik mengikut keperluan kumpulan sasaran.

“Kursus kahwin wajib dibuat bagi mendidik pemuda dan gadis tentang kehidupan berkeluarga. Termasuk juga hal perancangan keluarga, kewangan, persediaan menjadi ibu bapa, penyelesaian konflik dan tolak-ansur. Kursus kahwin yang dirangka dengan baik boleh menjadi asas untuk pasangan itu berbincang dan menyelesaikan sebarang masalah secara baik,” kata Priveena.

Ghanthimathi turut menyokong kursus kahwin diwajibkan. Pengisian bukan hanya tentang hubungan suami isteri dan alam perkahwinan. Sebaliknya, kursus perlu memasukkan juga elemen semakan rekod jenayah, Credit Tip Off Service (CTOS) bagi kedudukan kewangan serta ujian kesihatan seperti HIV dan penyakit lain sebagai prasyarat sebelum pasangan itu boleh berkahwin. Langkah ini dapat membantu mengatasi pelbagai masalah yang sering berlaku dalam komuniti India.

Modul kursus kahwin bagi kaum India perlulah juga disesuaikan dengan aspek budaya, adat dan agama kelompok sasaran. Sivapalan mengingatkan kehidupan masa kini dipenuhi pelbagai cabaran moden yang mungkin tiada pada masa lalu. Elemen budaya dan agama yang diselitkan dalam kursus kahwin boleh membantu pasangan muda bersedia secara mental dan spiritual.

Bercakap tentang aspek budaya, kesemua rakan yang terlibat dalam perbincangan ini setuju bahawa bakal pengantin perlu juga mempersiapkan diri dengan mendalami aspek budaya tradisi. Setiap keturunan seperti Tamil, Telugu, Malayali, Punjabi dan Bengali ada budaya, adat, amalan, identiti, jati diri dan tradisi tersendiri yang akan pupus jika bakal pengantin tidak lagi menghayati, mengamalkan dan mengajar anak cucu mereka. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Longgok rumput depan rumah jiran, dua lelaki bergaduh sehingga berdarah [VIDEO]

Tunggu Kat Akhirat Fun Ke Tak – Izara Aishah

Gol berkelas dunia Luqman [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker