Niat baik makan diri, penasihat kewangan dipenjara

Niat baik makan diri, penasihat kewangan dipenjara

Penasihat kewangan swasta Zulkifli Shafie melalui pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila rasa tidak sampai hati untuk membantu rakan yang merayu bantuan wang, akhirnya termakan diri sendiri.

Seorang rakan yang lama menghilang meminta wang daripadanya atas alasan mahu digunakan untuk memberi makan kepada anak isterinya.



Namun sebaliknya tindakan itu mengakibatkannya meringkuk dua tahun dalam penjara apabila rakan itu – bekas pemuzik kumpulan Ukays Akel Zainal – sebenarnya anggota militan.

Zulkifli berkata dia tidak mungkin dapat melupakan saat polis berpakaian preman menahannya di depan sebuah bank di Putrajaya pada Oktober 2018, sebelum membawanya menaiki van pulang ke rumah di mana mereka menyelongkar mencari bahan bukti.

Lebih teruk lagi apabila dia kemudian ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), yang membenarkan polis menahannya sehingga 28 hari.

Zulkifli berkata isteri dan lapan anak mereka terkejut melihatnya dibawa pergi dalam keadaan bergari oleh anggota polis.



Ketika di rumahnya seorang anggota polis bertanya sama ada dia mengenali Akel. Zulkifli mengakui tidak berhubung dengan Akel sejak mereka belajar bersama di universiti, namun rakannya itu ada menghubunginya di media sosial.

“Akel berkata dia menghadapi masa sukar di Syria dan memerlukan wang untuk memberi makan kepada anak isterinya,” katanya kepada FMT, dengan menambah dia memang sentiasa menyimpan wang bagi membantu sesiapa yang memerlukannya.

“Adakah patut saya menyoal ideologi atau membuat pemeriksaan terhadap latar belakangnya? Saya memang tidak pernah terfikir berbuat demikian sekiranya membantu orang yang memerlukan.”

Menurutnya, hakikat bahawa Akel berada di Syria tidak menimbulkan sebarang rasa sangsi kerana dia biasa mendengar mengenai selebriti yang pergi ke negara itu untuk membantu mangsa perang. Susulan itu, dia langsung tidak was-was apabila membuat pemindahan wang kepada Akel pada Februari 2017.



Alangkah terkejutnya Zulkifli apabila dimaklumkan Akel telah menyertai kumpulan Islamic State, sesuatu yang menurutnya tidak diketahui umum.

Akel pergi ke Syria untuk menyertai IS pada 2014, sebelum dia sekeluarga terbunuh pada 2019.

Selepas penahanannya, Zulkifli menyangka dapat dibebaskan dalam beberapa hari sebaik semua “salah faham” berjaya dirungkai. Malangnya, sebaliknya berlaku.

Ketika ditahan reman, dia disoal sehingga merasakan dirinya seperti penjenayah. Zulkifli kemudian didakwa kerana membiayai keganasan, dan ditahan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraannya.



Dia akhirnya mengaku bersalah atas tuduhan pilihan sebelum dibebaskan pada 30 Oktober 2020. Sepanjang penahanannya, satu-satunya perkara yang menjadi penguat semangat adalah lawatan isterinya setiap bulan.

“Saya begitu teruja selepas dibebaskan, kalau tiada sesiapa menunggu saya di pintu pagar penjara sekalipun saya sanggup berjalan dari Tapah ke Cyberjaya. Betapa gembiranya saya ketika itu.”

Susulan pengalaman ngeri itu, Zulkifli kini dijemput menjadi ahli panel dalam perbincangan berkaitan keganasan dan Sosma. Bagaimanapun dia mengakui kejadian itu turut membuatkannya lebih berhati-hati untuk menghulurkan bantuan.

“Saya tidak lagi memindahkan wang kepada orang tidak dikenali atau tidak rapat dengan saya. Kini saya hanya mendermakan wang kepada badan kebajikan sahih,” katanya. FMT



Niat baik makan diri, penasihat kewangan dipenjara


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Dah bagi Signal Pun Kena Tendang (Video)



Saya tak sekeji dakwaan Puteri Balqis

Ayda Jebat kahwin kerana harta Nabil?

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker