Pabila muktamar PAS melabuh tirai

Pabila muktamar PAS melabuh tirai

Oleh Mohsin Abdullah

Selesai Muktamar PAS ke-68 semalam, bertanya saya kepada diri sendiri, apa isu paling menarik sepanjang ia diadakan?

Adakah kenyataan bahawa PAS juga mampu jadi perdana menteri kerana “ia tak susah kalau ada wawasan dan pasukan yang betul?”

Atau adakah “pengakuan” presiden PAS bahawa rundingan dengan Umno masih berlangsung, walaupun presiden Umno bertegas partinya mahu bergerak solo pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15)?

Tidak kurang menarik rasanya polemik PAS kata dah jemput Umno, tapi parti itu tidak menghadiri majlis perasmian muktamar. Umno pula kata PAS tak jemput. PAS tetap kata sudah jemput.

Atau PAS mahu guna lambang sendiri pada PRU kelak? Kerana pengundi mereka “alergi” dengan warna biru Perikatan Nasional, katanya.

Mungkinkah yang menarik ialah pengumuman PAS mahu bertanding 80 kerusi Parlimen, bukan 155 kerusi macam dulu? Sasaran menangnya “hanya” separuh. Kurang yakin atau mengakui realiti? Namun, PAS yakin mengekalkan pemerintahan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Bagaimana pula saranan perwakilan bahawa PAS perlu adakan dana untuk ‘menggajikan’ “cybertrooper” atau mujahid siber untuk menangkis “dakyah musuh”? Katanya PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah sudah ada tim mujahid siber masing-masing yang baik kerana mereka diperuntukkan “dana penghargaan”.

Atau gesaan Dewan Himpunan Pendukung PAS agar negeri ditadbir PAS jangan haramkan penjualan arak. Menarik?

Banyak lagi yang dikira menarik sebenarnya. Namun, bagi saya, paling menarik ialah isu yang timbul bukan dalam muktamar “induk”, tetapi Dewan Ulama sehari sebelum persidangan utama.

Di muktamarnya, Ketua Dewan Ulama PAS, Ahmad Yahya, mencadangkan kerajaan mengetatkan lagi syarat calon pilihan raya supaya golongan yang “sedang dibicara di mahkamah atas kes salah laku, penyelewengan dan rasuah tidak wajar diberi peluang untuk bertanding”.

Katanya lagi, ini kerana dibimbangi mereka akan menggunakan kedudukan yang diperolehi setelah menang pilihan raya untuk mengelak daripada dikenakan tindakan.

Lantas, kata ulama PAS itu, “dalam aspek ini, kita mengharapkan kes-kes melibatkan rasuah dan salah laku pemimpin politik dapat disegerakan perbicaraannya di mahkamah supaya proses pembersihan pemimpin politik dapat dilakukan dengan efektif”.

Ahmad tidak menyebut nama, tetapi pada masa ini, antara pemimpin politik yang sedang berdepan kes mahkamah membabitkan tuduhan salah guna kuasa, penyelewengan mahu pun rasuah adalah daripada DAP, Muda dan Umno, termasuk Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

Malah, selepas Najib Razak, kes Zahid dilihat berprofil tinggi. Setuju atau tidak, cadangan ketua Dewan Ulama PAS itu boleh dikaitkan dengan Zahid.

Saya kata cadangan itu “paling menarik” (jika “menarik” layak digunakan) sepanjang muktamar ini kerana ia timbul ketika PAS mendakwa masih mahu berbaik-baik dengan Umno untuk menghadapi PRU15.

Bak kata Naib Presidennya, Idris Ahmad, PAS mahu Umno dan Bersatu “untuk elak Melayu berpecah”. Zahid satu-satunya pemimpin Umno yang bertegas menolak kerjasama dengan PAS kerana melihat PAS “mandi beberapa kolam”.

Seperti disebut awal tadi, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, rundingan dengan Umno masih berjalan, walaupun Zahid tetap dengan pendiriannya.

Menurut Hadi, apa yang ditegaskan presiden Umno itu adalah “pendirian beliau semata-mata”. Jelas menyifatkan ia bukan pendirian parti.

Sebaik kata-kata Hadi tersiar, pemimpin Umno pantas menyelar Hadi. Antaranya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Isham Jalil, yang lantang berkata Hadi tidak perlu menghina Zahid kerana presidennya dipilih parti.

“Kalau Zahid tidak boleh cakap mewakili Umno, kamu mahu siapa yang boleh cakap mewakili Umno?” tanya Isham. Ada lagi herdikannya, tetapi cukup setakat ini kerana semua faham kemarahannya dan Umno.

Timbalan Presiden, Mohamad Hasan pula menegaskan tiada sebarang rundingan oleh mana-mana pemimpin Umno dengan PAS ketika ini, seperti yang didakwa Hadi.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pemimpin partinya jangan “berunding dalam gelap” dan “sekiranya terdapat rundingan sekali pun antara kedua-dua parti, ia mestilah berjalan secara telus dan menerusi mesyuarat”. Kenyataan yang seakan-akan membayangkan Umno sendiri tidak yakin apa yang berlaku.

Yang jelas, kenyataan Hadi membuatkan Umno mengesyaki satu sama lain dan mencorakkan Zahid sahaja yang menentang usaha berbaik-baik Umno-PAS, sekaligus diketepikan daripada rundingan (jika benar wujud).

Perlu diingat, dalam Umno ada pemimpin pro-Perikatan Nasional yang mahu Umno duduk dalam Muafakat Nasional bersama PAS dan Bersatu. Akan tetapi, mereka bukan berada di kedudukan yang boleh membuat keputusan. Contohnya, mereka bukan ahli MKT, dan dalam Umno, presidennya yang mempunyai kata pemutus.

Oleh itu, tidak dapat elak ditanya apa sebenarnya yang dilakukan PAS? Sebelah tangan dilihat atau digambarkan mahu berbaik-baik dengan Umno, manakala sebelah tangan lagi nampak mahu memporak-perandakan Umno. Waullahualam. Yang jelas, perang mulut antara dua parti itu berterusan, malah ahli PAS diberi lampu hijau untuk menyerang mana-mana pihak yang melancarkan kecaman terhadap pemimpin dan parti.

“Nak hentam, hentamlah. Bab salah atau tak salah kami ‘back up’,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin.

Namun, pada muktamar kali ini, terdedah juga kelemahan PAS. Dibangkitkan kekecewaan khususnya PAS Johor yang “muak” dengan sikap ahli parti yang berputus asa dan tidak mahu menyertai gerak kerja pilihan raya.

Dibangkitkan juga kali ini, amaran pengarah pilihan raya parti kepada semua ahli dan pimpinan PAS yang tidak terpilih sebagai calon PRU15 “jangan lobi dan jangan boikot parti”. Haram kata beliau melobi untuk jadi calon dan memboikot parti apabila tak dapat jadi calon.

Tidak dapat dipastikan sama ada beliau memperolehi maklumat awal tindakan boikot atau “sabotaj” akan dilakukan dalam kalangan mereka yang tidak dipilih sebagai calon sehingga “memaksa” beliau mengeluarkan amaran. (melobi sesuatu yang lazim dalam parti politik)

Mungkin penyakit yang sudah lama memeningkan kepala pemimpin Umno turut menjangkiti PAS. Kini pemimpin PAS turut pening kepala. Patutlah ubat pening kepala susah nak dapat sekarang. FMT

Pabila muktamar PAS melabuh tirai


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Benarkah Iskandar Zulqarnain adalah Alexander The Great? Bhg 3

Soo Wincci rasa tenang masuk masjid

Kehilangan pasangan hidup selepas 19 hari berkahwin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker