Laungan perang dalam lautan merah Umno
Laungan perang dalam lautan merah Umno
Warna merah mempunyai banyak makna simbolik: semangat berapi-api, cinta, keberanian, dan dianggap tuah bagi orang Cina dari segi budaya.
Warna merah turut memenuhi Dewan Merdeka ketika pemimpin Umno memenuhi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur untuk perhimpunan khas Sabtu lalu.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi memanggil ketua bahagian parti untuk taklimat khas bagi membincangkan “isu semasa”, di mana lebih 3,000 pemimpin hadir dengan pakaian merah terbaik mereka.
Apakah tujuan “taklimat khas” ini? Adakah ia hanya cubaan Zahid untuk menyusun barisan ahlinya sebagai persediaan menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang. Atau adakah ia sesuatu yang lebih berani, seperti memastikan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob tahu siapa sebenarnya ketua?
Pertamanya, ia bagi menunjukkan kepada ahli bahawa pemimpin parti tidak melupakan “anak emas” Umno, Najib Razak, yang dihantar menjalani hukuman penjara selepas kalah dalam rayuan kes SRC International beliau.
Anak-anak bekas presiden Umno itu, Nizar dan Nooryana Najwa, diberi slot khas untuk berucap mengenai nasib bapa mereka, membuatkan hadirin menitiskan air mata.
“Kadang-kadang saya rasa dia sayangkan rakyat lebih daripada dia sayang kita. Mommy pernah cakap, Yana, rakyat, oksigen dia…Tetapi hari ini Daddy keseorangan,” kata Nooryana sambil menggenggam erat tali leher Najib di tangan kanannya semasa berucap.
Peguam Najib dalam kes 1MDB, Shafee Abdullah dan Zaid Ibrahim, yang firmanya digugurkan pada saat akhir rayuan SRC International, turut muncul memberikan penjelasan mereka mengenai prosiding itu kepada perwakilan.
Laungan “Bossku!” dan “Lawan Tetap Lawan” bergema di dalam dewan di antara dan semasa ucapan.
Perhimpunan itu juga boleh dilihat sebagai reaksi terhadap persoalan dibangkitkan seorang pemimpin Umno yang bercakap tanpa dinamakan kepada FMT sebelum ini, mengenai sikap pemimpin parti berdiam diri ketika Najib menghadapi pertarungan sukar dalam rayuan SRC Internationalnya.
Pemimpin itu memberitahu FMT bahawa “seluruh Umno mendiamkan diri”.
Penganalisis politik, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara meramalkan Umno akan menggunakan keputusan mahkamah ke atas Najib untuk kelebihannya, walau apa pun keputusannya.
“Jika Najib kalah dalam rayuannya, Umno akan menggunakan keputusan mahkamah untuk menghimpunkan semua ahlinya, mendakwa wujud penganiayaan politik dan meraih undi simpati. Jika dia menang, Umno akan menggunakan naratif pendakwaan Najib bermotifkan politik, dengan itu mengumpulkan sokongan bukan sahaja daripada ahlinya, tetapi juga pengundi.”
Zahid, yang merupakan sebahagian daripada “kluster mahkamah” Umno, turut menggunakan taklimat itu untuk sekali lagi menafikan dirinya mendesak PRU awal demi menyelamatkan diri.
“Kluster mahkamah” merujuk pemimpin utama Umno, termasuk Zahid dan Najib, sama ada sedang dibicarakan atau sudah disabitkan atas dakwaan jenayah seperti penyelewengan, salah guna kuasa dan pengubahan wang.
Zahid dalam ucapannya pada taklimat itu berkata: “Saya masih percaya sistem kehakiman kita tidak menyebelahi sesiapa. Sesiapa yang mendakwa saya takut disabitkan kesalahan sebenarnya takut kepada saya. Mereka ini adalah kurang keyakinan dan takut dengan bayang-bayang sendiri.”
Katanya, desakan Umno untuk mengadakan PRU awal bukan perkara baharu dan parti itu sudah menggesa PRU diadakan sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang akibat perebutan kuasa dalamannya.
Perwakilan kemudiannya membalas dengan laungan “bubar” (bubarkan Parlimen).
Perkara penting perhimpunan itu ialah peringatan kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, yang merupakan naib presiden parti, bahawa Zahid masih mengetuai “tentera Umno”.
Perwakilan Umno turut memberi reaksi apabila Zahid menyebut nama Ismail dalam taklimat itu, menjadikan Dewan Merdeka gamat seketika apabila Zahid berkata, sungguhpun Ismail adalah naib presiden Umno, kerajaan hari ini bukan kerajaan BN.
Ismail tidak menghadiri taklimat khas presiden Umno kerana dilaporkan mempunyai atur cara lain di Pahang.
Beliau kemudiannya menyampaikan peringatan berhubung sifat kuasa berasaskan parti.
“Ingatlah bahawa kita semua di sini (mempunyai kuasa) bukan kerana kehebatan kita sendiri, tetapi kerana kekuatan parti kita. Ramai pemimpin nampak hebat, tetapi hakikatnya mereka berkuasa hanya kerana sokongan parti,” katanya. FMT
Laungan perang dalam lautan merah Umno
Baca Artikel Menarik:
- Dakwa Ismail diberi kata dua, Umno ugut saman portal berita
- Maut dipukul majikan dengan topi keledar
- Bajet 2023 diawalkan ke 7 Okt, petanda PRU makin dekat?
- Rafizi cabar Latiff samannya mengenai Zainab
- Penganggur dihukum mati bunuh nenek berusia 85 tahun selepas rogol, liwat
- Senarai 14 kes pemimpin PH digugurkan ketika berkuasa – Asyraf Wajdi
- Range Rover Baru Dibeli Terjunam Di Landasan Kereta Api, Pemandu Kritikal [VIDEO]
- Mengapa Najib dibiarkan bersendirian?
- Muhkriz dedah Muhyiddin mahu jadi PM kali kedua, ketuai Khemah Besar
- Pernyataan Datuk Seri Najib Razak Kepada Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022
- Tak jadi nikah 2 lepas isteri tunjuk slip gaji berbaki RM800
- Penulis ‘Billion Dollar Whale’ lancar pemburuan Jho Low
- Gelandangan hias bilik tidur di atas jejambat pejalan kaki
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Tak sempat ‘sedap’, polis tahan pengantin ketika majlis berlangsung
Wanita terlalu cantik untuk bekerja sebagai tukang plaster [VIDEO]