Anak Mat Sabu kekal dibebas daripada sabitan dadah

Anak Mat Sabu kekal dibebas daripada sabitan dadah

Anak kepada bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu kekal dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel terkemuka, tiga tahun lalu selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan akhir pendakwa raya.

Keputusan sebulat suara terhadap Ahmad Saiful Islam, 34, itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang bersidang bersama Datuk M. Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah.



Panel tersebut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret terhadap Ahmad Saiful Islam.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Kamaludin tidak bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa hakim Mahkamah Tinggi tersalah arah dari segi fakta dan undang-undang ketika membenarkan rayuan Ahmad Saiful Islam.

Sebaliknya ujar beliau, panel itu berpuas hati bahawa hakim berkenaan telah mempertimbang keseluruhan bukti dan keterangan bahawa kes itu menimbulkan keraguan menjadikan sabitan Mahkamah Majistret tidak selamat untuk dikekalkan.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai mewakili pihak pendakwaan manakala Ahmad Saiful Islam diwakili oleh peguam-peguam Datuk Nicholas Kow, Nasar Khan dan Emile Ezra Hussain.



Pada 27 Oktober 2021, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lapan bulan yang dikenakan Mahkamah Majistret terhadap Ahmad Saiful Islam selepas membenarkan rayuannya.

Hakim Collin ketika membacakan keputusannya berpuas hati bahawa Ahmad Saiful Islam dinafikan hak untuk menjalani ujian saringan air kencing dengan betul kerana proses pengambilan sampel tidak dilaksanakan secara teratur.

Beliau berpendapat, tindakan polis yang hanya mengambil satu botol sampel air kencing perayu boleh menyebabkan sampel itu dicemari.

Ujar Hakim Collin, ini kerana sampel yang digunakan untuk ujian saringan merupakan sampel yang sama digunakan di Jabatan Kimia untuk ujian pengesahan.



Oleh yang demikian, beliau berpuas hati bahawa kegagalan pihak polis untuk mematuhi peraturan dengan tidak mengambil dua botol sampel air kencing menyebabkan sabitan itu cacat.

Oleh yang demikian, mahkamah berpuas hati bahawa hak perayu untuk menjalani ujian pengesahan kedua telah dinafikan dan dia kehilangan peluang kemungkinan dibebaskan daripada tuduhan.

“Penting agar ujian air kencing dijalankan mengikut peraturan yang telah ditetapkan agar integriti proses pengambilan sampel kekal terpelihara dan tidak terdedah,” ujar Hakim Collin.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Saiful Islam didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel di ibu negara pada jam 2.05 pagi, 5 Januari 2019.



Pada 24 Jun 2020, Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim mensabitkan perayu dengan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menghukumnya dengan penjara selama lapan bulan.

Mohamad Aizat menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah ketika itu mengarahkannya menjalani dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta polis sejurus selesai menjalani hukuman penjara itu.

Ahmad Saiful Islam diperintah menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh keputusan.



Bagaimanapun, Mahkamah Majistret membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Dia diperintahkan membayar wang jaminan RM9,000 serta menyerahkan pasport kepada mahkamah selain perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan. Utusan

Anak Mat Sabu kekal dibebas daripada sabitan dadah


Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kes Najib penganiayaan politik – Armand

Gurauan melampau rakan

Bekas mak nyah insaf selepas mimpi dibakar api

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker