Kami akan failkan hujahan baharu, peguam Najib beritahu Mahkamah Persekutuan

Kami akan failkan hujahan baharu, peguam Najib beritahu Mahkamah Persekutuan

Peguam Hisyam Teh Poh Teik memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa pihak pembelaan akan memfailkan “hujahan baharu” dalam rayuan SRC International Najib Razak.

Beliau menyatakan pendirian pembelaan itu ketika perbicaraan disambung petang ini.

“Pada prosiding sebelah pagi apabila Yang Amat Arif (Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat) bertanya sama ada saya akan bersandarkan kepada hujahan di peringkat Mahkamah Rayuan dan saya menyatakan ‘ya’.

“Pada peringkat ini, saya mahu ia direkodkan bahawa saya berhasrat mengemukakan hujahan secara bertulis,” katanya.

Bagaimanapun, Hisyam tidak menyatakan bila pihak pembelaan akan berbuat demikian.

Terdahulu hari ini, Tengku Maimun bertanya kepada Hisyam sama ada pihak pembelaan akan bergantung kepada hujahan bertulis yang difailkan oleh bekas peguam Shafee Abdullah dan Harvinderjit Singh di hadapan Mahkamah Rayuan, untuk tujuan perbicaraan hari ini.

Hisyam mengiyakannya.

Mahkamah memerintahkan Hisyam kekal dalam pasukan pembelaan, walaupun peguam itu memohon untuk melepaskan diri sebagai peguam utama kerana kekurangan masa dalam menyediakan kes itu.

Turut bersidang bersama Tengku Maimun dalam perbicaraan rayuan SRC International ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Zabidin Mohamad Diah.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 15 hingga 26 Ogos untuk mendengar rayuan Najib dalam usahanya membatalkan sabitan atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah ke atas dana SRC berjumlah RM42 juta.

Tahun lepas, mahkamah rayuan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi Julai 2020 untuk mensabitkan Najib atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram lebih RM42 juta milik SRC International yang memasuki akaun banknya.

Ia juga mengekalkan hukuman penjara 12 tahun Najib dan denda RM210 juta. FMT

Kami akan failkan hujahan baharu, peguam Najib beritahu Mahkamah Persekutuan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Neil Armstrong Jejak Kaki Ke Bulan ‘Dibuktikan’ Hanyalah Sebuah Rakaman

Guru lesap selepas disyaki rogol 2 pelajar di Sarawak

Berdakwah jangan pilih bulu – Ifa Raziah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker