Mayat dalam gua: Percutian indah wanita Perancis di pulau berakhir tragis

Mayat dalam gua: Percutian indah wanita Perancis di pulau berakhir tragis

Pada 2011, wanita warga Perancis Stephanie Foray mengembara untuk melihat Asia Tenggara, mengunjungi India dan Sri Lanka, kemudian Malaysia.

Bekas penjawat awam berusia 30 tahun itu tiba di Melaka pada Mei, kemudian selepas beberapa hari, pergi ke Pulau Tioman di Pahang.

Di sana, Foray menemui ajalnya. Kehilangannya hanya mendapat tumpuan beberapa bulan kemudian, pada Julai, apabila laporan polis dibuat mengenainya.



Kes itu diklasifikasikan sebagai penculikan. Seminggu kemudian, mayatnya ditemukan di sebuah gua di pulau itu dan seorang peniaga tempatan didakwa atas tuduhan membunuh.

Kes itu menarik perhatian media antarabangsa dan ahli keluarga Foray datang selepas kehilangannya dan sekali lagi untuk perbicaraan pada 2014.

Seorang peniaga, Asni Omar, yang menyewakan rumahnya kepada Foray, didakwa membunuh wanita itu antara 8 Mei dan 12 Mei 2011, di sebuah rumah di Kampung Tekek di pulau itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Mariana Yahya (kini hakim Mahkamah Rayuan) mendapati Asni bersalah dan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya, selepas 44 saksi memberi keterangan bagi pihak pendakwaan.



Peniaga mengaku jumpa mayat

Pegawai penyiasat Wan Fauzi Wan Ishak memberitahu mahkamah, maklumat membawanya kepada Asni, yang pada dasarnya “mengaku bersalah”, walaupun bukan secara jelas. Dengan panduan daripada Asri, polis kemudiannya menemukan mayat Foray dan senjata yang digunakan untuk membunuh wanita itu.

Asni didakwa memberitahu Wan Fauzi, “Saya nak beritahu tentang seorang wanita Perancis yang ditemui di Pulau Tioman.”

Katanya, wanita itu telah meninggal dunia dan dia telah meninggalkan mayatnya di dalam sebuah gua di belakang rumahnya di Kampung Tekek.



Lelaki itu turut membawa kepada penemuan beberapa barang milik Foray yang ditanam di dalam lubang berhampiran rumahnya. Di dalam rumahnya, polis menemukan beg wanita warga Perancis itu dan beberapa barang di dalam almari.

Dia menunjukkan kepada polis kad SIM Perancis milik wanita itu yang disimpannya di dapur. Dia kemudian membawa polis ke sebuah tapak pelupusan sampah di mana satu botol arak ditemukan, dipercayai digunakan untuk membunuh Foray.

Apa yang terjadi kepada Foray?

Dr Sri Marni Zainal Abidin, pakar patologi dari Hospital Tengku Ampuan Afzan memberitahu mahkamah, bedah siasat ke atas mayat Foray menunjukkan pinggang dan kakinya telah diikat dengan paip hos berwarna hijau, manakala sehelai kain diikat di lehernya.

Sri Marni menemukan keretakan pada tengkorak di kening kanan, tulang pipi kanan dan rahang kanan, dan membuat kesimpulan bahawa punca kematian Foray mungkin trauma akibat hentakan benda tumpul di kepala.

Tiada dadah atau alkohol didapati dalam badannya tetapi Sri Marni tidak dapat menolak kemungkinan rogol, kerana air mani ditemui dalam farajnya.

Cerita Asni

Asni menafikan dia membunuh Foray. Katanya, Foray bertegas mahu menyewa rumah yang didiaminya. Mereka keluar makan pada malam itu tetapi Asni meninggalkan Foray seorang diri di restoran apabila teman wanitanya, dikenali sebagai Monaliza, menelefonnya.

Lelaki itu mendakwa, keesokan harinya, dia menemukan mayat Foray di dalam gua, tetapi melarikan diri kerana “takut”.

Keputusan hakim

Mahkamah memutuskan bahawa tindakan Asni, seperti membawa polis kepada barang bukti, menunjukkan bahawa dia terlibat dalam kematian wanita itu.

Mariana yang berpendapat bahawa pembelaan Asni bersifat penafian semata-mata berkata: “Keterangannya dilihat sebagai mengakui tuduhan (bunuh).”

Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masing-masing pada 2015 dan 2016 mengekalkan sabitan Asni dan mengesahkan hukuman mati. FMT

Mayat dalam gua: Percutian indah wanita Perancis di pulau berakhir tragis


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kapal Layar Mewah Milik Siapa Bernilai RM200 Juta? [VIDEO]

Tembelang Pengkid ‘Mohd Syahid’ Pecah

Ahli Parlimen Bersatu sedar tiada peluang untuk menang

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker