Platform BNPL jerat kaki shopping

Platform BNPL jerat kaki shopping

Dewasa ini, platform dalam talian ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ atau BNPL semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna, khususnya orang muda dengan aplikasi mudah alih bersepah sedia dimuat turun.

Seperti cogan kata, pengguna boleh mendapatkan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan tanpa membuat pembayaran dahulu dengan prosedurnya semudah ABC.

Mereka hanya perlukan kad pengenalan dan pengesahan wajah pembeli bagi tujuan pendaftaran dan 10 minit kemudian seseorang sudah boleh berbelanja.

Namun, bagai ada udang di sebalik batu, BNPL sebenarnya berisiko menjerat pengguna ke ‘lubuk hutang’.

“Saya melihat BNPL satu gejala membimbangkan kerana (buat masa ini) tidak dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM), sekali gus memudahkan individu terjebak dengan hutang, terutama mereka yang tidak ada pengetahuan atau pengurusan kewangan yang bagus,” ulas Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

Penganalisis ekonomi daripada Putra Business School itu berkata, tarikan utama BNPL ialah seseorang boleh berbelanja tanpa had dan tidak menjejaskan skor kredit sekalipun individu berkenaan gagal melunaskan pembayaran.

“Sekiranya seseorang itu gagal menjelaskan hutang barangan di satu penyedia BNPL, mereka boleh berhutang dengan penyedia BNPL lain kerana tidak ada rekod, sekali gus merisikokan mereka terjebak dalam kancah hutang yang banyak,” jelasnya.

Kenyataan penganalisis itu bukan omong kosong kerana menurut laporan media, nilai transaksi pasaran BNPL membabitkan 10 penyedia BNPL bukan bank di Malaysia, melonjak kepada RM1.49 bilion pada tahun lalu berbanding hanya RM55 juta pada 2020, mencerminkan peningkatan populariti platform terbabit dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Selepas mencuba sendiri membeli-belah melalui BNPL, penulis akui aktiviti itu berpotensi mendedahkan ‘kaki shopping’ khususnya, ke kancah hutang, kerana berurus niaga di platform BNPL amat mudah dan ‘mengasyikkan’ berikutan banyak diskaun dan promosi ditawarkan sehingga penulis sendiri berani menambah komitmen hutang.

Lebih-lebih lagi pembayaran boleh dilakukan secara ansuran dan penulis menggunakan kaedah itu untuk berhutang, membeli satu papan kekunci tablet berharga RM299 yang kemudian diberikan diskaun RM25, dengan bayaran bulanan RM68.50 selama empat bulan.

Ahmed Razman melihat strategi urus niaga itu sebagai satu bentuk pinjaman peribadi.

“Golongan peniaga nampak perkara ini (BNPL) sebagai satu cara untuk memudahkan orang ramai membeli kerana bukan semua (pembeli) ada kad kredit.

“Jadi, peniaga mula mempraktikkan BNPL ini, bermakna pembeli sekarang sudah ada pilihan untuk membeli dengan berhutang menggunakan BNPL walaupun tiada kad kredit,” katanya.

Tinjauan mendapati kebanyakan penyedia BNPL mempromosikan transaksi mereka sebagai tanpa faedah atau zero interest. Namun, benarkah begitu?

Hakikatnya, pengamatan mendapati lapan daripada 10 penyedia perkhidmatan BNPL ‘menyelitkan’ faedah tersembunyi yang perlu dibayar, sekiranya ‘si penghutang’ terlambat membuat pembayaran.

Hal ini diakui oleh pakar kewangan Dr Adam Zubir menerusi akaun YouTube beliau kerana menurutnya, BNPL konsep perniagaan yang turut membuat keuntungan melalui bayaran pemprosesan dan bayaran lewat.

Sementara itu, ditanya jika BNPL boleh menjerumuskan seseorang ke dalam kelompok muflis, Ahmed Razman berkata, potensi ke arah terbabit ada jika seseorang gagal memantau kedudukan kewangannya, sementelah BNPL tidak mengganggu skor kredit.

“BNPL tidak akan membuatkan seseorang itu muflis, tetapi berisiko ke arah itu apabila mereka berhutang menggunakan kaedah terbabit sehingga mereka tidak mampu atau gagal menjelaskan pinjaman kereta, rumah, kad kredit disebabkan komitmen hutang bertambah.

“Pada awalnya, komitmen hutang seseorang itu dengan bank kurang, tetapi apabila dia tidak mengawal perbelanjaannya dan mula menambah hutang melalui BNPL, ini yang menjadi masalah kewangan khususnya golongan muda,” katanya.

Pada Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluahkan kebimbangannya tentang kadar peningkatan kes muflis membabitkan belia. Data Jabatan Insolvensi menunjukkan golongan itu merangkumi lebih 60 peratus atau kira-kira 27,000 kes bankrap yang direkodkan bagi tempoh 2018 hingga Mei lalu dengan 19,334 kes berpunca daripada pinjaman peribadi.

Rentetan itu, Ismail Sabri berkata kerajaan akan mengkaji semula undang-undang berkaitan kebankrapan bagi membantu golongan muda mendepani isu berkenaan.

Antara punca utama orang muda mudah terjebak hutang ialah tahap literasi kewangan yang rendah dan ini disokong oleh Laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang menyatakan hanya 33 peratus masyarakat Malaysia mempunyai pengetahuan kewangan.

“Berapa ramai yang buat perancangan perbelanjaan daripada pendapatan yang diperoleh setiap bulan? Ini kerana, selagi (kita) tidak membuat pemantauan kewangan peribadi, selagi itulah kita mudah berbelanja termasuk menggunakan BNPL,” kata Ahmed Razman.

Isu BNPL boleh memburukkan lagi masalah keberhutangan isi rumah, yang mana kadar hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar masih tinggi, iaitu 89 peratus pada akhir Disember tahun lalu iaitu tertinggi di Asia Tenggara dan kedua tertinggi di Asia selepas Korea Selatan.

“Kadar hutang isi rumah di Malaysia meningkat daripada RM1.27 trilion kepada RM1.34 trilion dan secara tidak langsung kadar hutang isi rumah di negara ini lebih tinggi berbanding hutang kerajaan persekutuan.

“Berdasarkan laporan itu, isu ini (BNPL) amat berbahaya kerana seseorang yang sudah terikat dengan pinjaman kereta, rumah, kad kredit serta pinjaman peribadi, ditambah lagi dengan BNPL,” jelasnya.

Ahmed Razman seterusnya menggesa operator BNPL menampilkan maklumat jelas mengenai kaedah urus niaga itu agar pengguna faham mengenai risiko yang bakal ditanggung mereka.

“Saya harap ada satu lapisan amaran sebelum pengguna menekan butang ‘setuju’ menggunakan sistem BNPL,” katanya.

Sementara itu, kajian Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) ke atas peserta program kaunselingnya mendapati keberhutangan tinggi rakyat Malaysia disebabkan kos hidup dan perancangan kewangan yang lemah, masing-masing membabitkan 37 dan 36 peratus peserta.

Dalam kenyataannya, AKPK menjelaskan sikap pengguna sendiri yang mengutamakan gaya hidup melebihi kemampuan semata-mata untuk mengikuti trend terkini, selain mahu memuaskan keinginan, memburukkan lagi masalah hutang masyarakat. HM

Platform BNPL jerat kaki shopping


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Platform BNPL jerat kaki shopping

Emma Maembong, Shahz Jaszle kena kecam sakan menari berpelukan (Video)

Khairuddin haiwan politik, tak kenang jasa Bersatu – Sanusi

Menteri guna kereta elektrik mulai tahun depan – Tuan Ibrahim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker