Pemangku Raja Pahang mahu kerajaan lebih agresif pulihkan Tasik Chini

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan kerajaan Pahang untuk bertindak lebih agresif dalam memulihkan Tasik Chini di Pekan agar kegemilangannya dapat dikembalikan semula.

Tengku Hassanal bertitah baginda menyokong langkah moratorium yang telah dilaksanakan kerajaan negeri di kawasan tasik tersebut, dan mahu supaya pajakan lombong yang telah tamat tempohnya perlu dihijaukan semula dalam masa terdekat.

“Usaha memulihkan Tasik Chini perlu dimainkan semua pihak, bukan sahaja kerajaan saya, malah pelombong dan pelesen sedia ada juga perlu memberikan komitmen dan turut sama dalam menjayakan usaha ini.



“Saya mahu kegemilangan Tasik Chini dikembalikan semula dengan peranan asalnya yang memanfaatkan penduduk sekitar malah fungsi semula jadinya sebagai biosfera akan kekal lestari,” titah baginda pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang di Istana Abu Bakar di Pekan, semalam.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah kerabat Diraja Pahang dan pentadbiran negeri yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Seramai 99 penerima menerima darjah kebesaran dan pingat semalam.

Menerusi Titah Diraja itu, Tengku Hassanal juga menekankan isu pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar termasuk meningkatkan populasi Harimau Malaya khususnya di Pahang, yang sejajar dengan ikrar baginda untuk memulihara spesies tersebut yang kini diancam kepupusan.

Tegas Tengku Hassanal, agensi dan badan penguatkuasaan seharusnya memainkan peranan secara serius dalam isu alam sekitar seperti mengadakan rondaan serta pemantauan lebih kerap kerana akta dan enakmen sedia ada yang berkaitan akan sia-sia jika tiada penguatkuasaan yang tegas.



Penjenayah alam sekitar

“Saya tidak mahu lagi melihat kejadian seperti memasuki hutan tanpa kebenaran, kecurian hasil hutan termasuk balak, aktiviti pemburuan haram dan menangkap ikan terlarang dengan bom, racun atau renjatan elektrik.

“Tiada istilah terlepas pandang terhadap penjenayah alam sekitar.

“Semua pihak tanpa mengira darjat dan kedudukan perlu akur dan patuh kepada undang-undang sama ada ahli kerabat, ahli Yang Berhormat, ahli politik, ketua jabatan, penjawat awam mahupun rakyat,” titah baginda.



Tengku Hassanal juga bertitah baginda akan turun padang secara mengejut untuk meninjau sendiri keadaan di negeri ini, antaranya bagi memastikan segala bantuan yang harus diterima rakyat sampai segera tanpa birokrasi rumit.

Dalam keadaan begitu, Tengku Hassanal bertitah baginda enggan melihat atau disembah maklum terdapat jalan yang baru dibaiki, atap bocor yang baru dibaiki mahupun bantuan kepada fakir miskin disampaikan sehari sebelum ketibaan baginda ke lokasi terlibat.

Pada titah itu, Tengku Hassanal juga memaklumkan bahawa Sultan Pahang telah berkenan mengurniakan gelaran Tengku Panglima Perang kepada adinda baginda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Al-Sultan Abdullah berkuat kuasa hari ini.

Kepada penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang, Tengku Hassanal mengingatkan mereka agar tidak menjadikan kurniaan itu sebagai modal bersikap sombong, riak dan angkuh sebaliknya menjadikan ia sebagai pendorong untuk berbakti dan memberi sumbangan kepada rakyat yang memerlukan.



– Bernama

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);



KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET


‘Aku Simpati Dengan Dia’ ….Hattan Simpati Dengan Ning Baizura

Hulk Hogan berdikir barat (Video)

‘I Love Being Viral’ – Cubaan Jatuhkan Reputasi …Ning Baizura Tak Endah Kecaman [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker