RUU Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 diluluskan

RUU Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 diluluskan

Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 diluluskan di Dewan Rakyat bertujuan untuk melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

RUU itu diluluskan secara sebulat suara, antara lain membolehkan SKSSR dilaksanakan bagi menjaga kebajikan suri rumah akibat berlaku sebarang kejadian ketika menguruskan rumah tangga serta melindungi mereka daripada apa-apa penyakit yang menjejaskan kerja sebagai seorang suri rumah.

RUU dibentangkan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim itu diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan lebih tiga jam oleh 19 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun mengumumkan RUU itu diluluskan tanpa pindaan selepas bacaan kali ketiga.

Awang ketika menggulungkan perbahasan RUU itu, berkata seramai 150,000 wanita yang berdaftar di bawah i-Suri akan dicarumkan oleh kerajaan melalui skim itu selaras yang diumumkan dalam Bajet 2022.

Beliau berkata, melalui skim itu suri rumah yang layak diliputi adalah warganegara Malaysia dan pemastautin tetap berusia kurang 55 tahun.

“Langkah ini dibuat untuk menyelaraskan skim ini dengan program i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ia juga mengambil kira suri rumah yang ada simpanan KWSP boleh mengeluarkan caruman mereka apabila mencapai 55 tahun,” katanya.

Awang menjelaskan, SKSSR yang akan ditadbir oleh PERKESO dilaksanakan bagi mengiktiraf pembabitan suri rumah yang menjadi sebahagian ‘care economy’ yang terbabit secara langsung dalam pembangunan institusi keluarga.

“Ini adalah skim baharu, yang pertama dan tidak pernah dilaksanakan dalam mana-mana perlindungan insurans membabitkan suri rumah,” katanya.

Sementara itu, ketika membentangkan RUU berkenaan, Awang menjelaskan RUU itu menetapkan tafsiran suri rumah dalam SKSSR meliputi perempuan sama ada berkahwin atau belum dan mengurus rumah tangga secara sepenuh masa atau separuh masa.

“Ini termasuklah isteri, janda dan balu yang perkahwinannya didaftarkan serta ibu yang mempunyai anak atau ibu tunggal.

“Suri rumah yang layak diliputi ialah warganegara Malaysia dan pemastautin tetap.

“Rang Undang-Undang ini tidak terpakai bagi suri rumah yang sudah mencapai umur 54 tahun dan tidak pernah mencarum dengan SKSSR,” katanya.

Beliau menjelaskan, pemakaian RUU itu adalah secara sukarela yang mana suri rumah, suami atau mana-mana orang boleh mendaftarkan suri rumah.

“Suami, suri rumah, keluarga atau mana-mana orang boleh membayar caruman bagi pihak suri rumah itu. Suami atau suri rumah boleh memberi keizinan kepada majikannya untuk membuat potongan gaji bagi maksud pembayaran caruman,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sekiranya suami memilih untuk membuat caruman, maka ia akan terpakai kepada suami untuk memastikan perlindungan adalah berterusan.

“Sekiranya suami tidak berupaya untuk meneruskan caruman, beliau hendaklah memaklumkan perkara itu kepada PERKESO dalam tempoh 60 hari sebelum tamat tempoh caruman yang sedia ada,” katanya.

Menjelaskan perkara itu, katanya, caruman hendaklah dibayar terlebih dulu pada kadar RM120 setahun bagi tempoh 12 bulan bagi memastikan mereka memenuhi syarat kelayakan menerima faedah.

“Untuk tidak membebankan suri rumah khususnya golongan yang mudah terjejas seperti miskin tegar, seramai 150,000 wanita yang berdaftar di bawah i-Suri akan dicarumkan oleh kerajaan selaras dengan Bajet 2022,” katanya. BH

RUU Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 diluluskan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pasangan Kekasih Selamba Buat Hubungan Seks Di Foyer Mahkamah Sampai 3 Kali Dijatuh Hukuman

Anak Azhar Sulaiman bikin panas lagi

Mahathir terima dana politik RM2.6 juta daripada UKSB – Saksi pendakwaan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker