Ladang rock melon UPM dedah ilmu tani

Ladang rock melon UPM dedah ilmu tani

RAMAI anak muda beranggapan, pertanian sebagai pekerjaan yang kurang popular kerana terpaksa bekerja dalam suasana persekitaran kotor di bawah terik mentari.

Faktor lain yang menyebabkan pertanian kurang diminati adalah persepsi belia bahawa pekerjaan tradisional tersebut hanya dilakukan oleh orang tua.

Dari segi ekonomi pula, ramai beranggapan pendapatan sebagai seorang petani kurang lumayan serta tidak menjamin masa depan berbanding pekerjaan glamor lain.

Melihat situasi tersebut, Ketua Pegawai Pertanian, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Allan Lajot mengambil inisiatif menggalakkan lebih ramai mahasiswa meminati bidang tersebut.

Ujarnya, dia mengajak mahasiswa UPM yang bukan menceburi bidang pertanian untuk bekerja secara sambilan sebagai petani dengan memberi upah kepada mereka menguruskan ladang rock melon di Ladang 10, UPM.

“Para pelajar ini bertanggungjawab menguruskan ladang selama tiga bulan bermula dari proses semaian sehinggalah penuaian. Komitmen mereka sangat luar biasa terhadap ladang ini.

“Mereka bukan sahaja dibayar upah hasil pekerjaan dilakukan, bahkan berpeluang menimba ilmu pertanian ini,” katanya kepada iGen baru-baru ini.

Menurut Allan, pelajar yang dipilih untuk bekerja di ladang rock melon terdiri daripada golongan asnaf bagi membolehkan mereka menjadi usahawan tani selepas menamatkan pengajian di universiti.

Ujarnya, pihak UPM terpaksa melakukan proses temu duga terlebih dahulu bagi mencari mahasiswa yang betul-betul berminat bekerja dalam bidang itu.

Katanya, seramai empat mahasiswa bukan pertanian diambil bekerja pihaknya dengan upah dianggarkan RM30 sehari.

“Penuaian 620 pokok rock melon bagi Program Tanaman Rock Melon Varieti Glamor telah memberikan hasil sangat baik kepada UPM. Setakat ini, lebih 300 biji berjaya dituai di ladang ini.

“Hasil daripada tuaian berkenan telah membantu UPM menjana hasil, selain membantu pelajar meraih pendapatan sampingan sambil menimba ilmu pertanian,” jelasnya.

Salah seorang pelajar terlibat, Ahmad Mustaqim Ismail berkata, program tersebut membolehkannya menimba ilmu yang tidak terdapat dalam bilik kuliah, selain menjana sedikit pendapatan tambahan.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Perladangan itu menjelaskan, antara ilmu yang sukar diperoleh adalah mengenai sistem fertigasi yang banyak digunakan masa kini.

“Saya baru tahu sistem fertigasi bukan hanya untuk rock melon, namun boleh digunakan untuk tanaman lain seperti cili, terung dan bendi.

“Pada saya, usaha dilakukan ini sangat membantu dalam memberikan ilmu serta pendapatan tambahan kepada pelajar terdiri daripada golongan kurang berkemampuan,” katanya.

Ahmad Mustaqim berkata, dia merancang menimba ilmu fertigasi bagi membantu meningkatkan pengetahuan penduduk kampungnya dalam bidang pertanian terutama rock melon.

Terangnya, rock melon bukan sahaja senang dijaga, malah buahnya mempunyai nilai sangat tinggi dalam pasaran, sekali gus membolehkan penduduk meningkatkan pendapatan.

“Sepanjang bekerja di sini, antara pengalaman paling manis yang dilalui adalah melihat buah rock melon yang sedang dalam proses debunga menjadi besar dan cantik.

“Saya juga berbangga dapat menguruskan masa dengan baik sebagai pekerja dan pelajar kerana waktu pendebungaan rock melon adalah sangat penting untuk memastikan kualiti serta kemanisan rasa,” katanya.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda, Sains Bioteknologi, Nurdeena Akma Mohd. Akmal berkata, program pengajiannya tidak mempunyai kaitan langsung dengan pertanian.

Katanya, disebabkan minat mendalam terhadap bidang tersebut, dia sanggup bekerja di Ladang 10, sekali gus membolehkannya mempelajari ilmu pengurusan ladang rock melon.

“Semasa bekerja di ladang ini, kami diberikan upah menguruskan buah rock melon dan ia sangat berbaloi. Upah yang diberikan adalah untuk simpanan,” katanya.

Tambahnya, pertanian boleh diceburi oleh semua bagi menambah hasil tani negara, selain mampu menjana pendapatan lumayan kepada mereka yang melakukannya secara serius. K Online

Ladang rock melon UPM dedah ilmu tani


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pasangan Kekasih Selamba Buat Hubungan Seks Di Foyer Mahkamah Sampai 3 Kali Dijatuh Hukuman

Anak Azhar Sulaiman bikin panas lagi

Mahathir terima dana politik RM2.6 juta daripada UKSB – Saksi pendakwaan

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker