Anwar Ibrahim, antara liabiliti atau aset pada PKR
SEMPENA Kongres Nasional Ke-16 Parti Keadilan Rakyat (PKR) bermula Sabtu ini, parti pimpinan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berdepan cabaran terbesar untuk tidak mengulangi ‘luka berdarah’ yang tercetus sewaktu krisis pemilihan tahun 2018.
Mengambil keputusan radikal mengadakan pemilihan parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PKR berkeyakinan mampu mendepani pilihan raya dengan langkah kanan.
Hal ini susulan barisan kepimpinan baharu diterajui Timbalan Presiden PKR dipilih, Rafizi Ramli dilihat sangat bernafsu dan komited untuk membantu kemenangan parti.
Selain itu, tumpuan juga pastinya terarah kepada isu pembentukan khemah besar pembangkang di mana cadangan itu ditolak sepenuhnya oleh Rafizi dan sebahagian besar kepimpinan baharu yang cenderung bersama bekas Ahli Parlimen Pandan itu ketika ini.
Namun, persoalan paling besar yang menjadi perbincangan utama dalam kalangan 2,000 ahli perwakilan PKR di kongres parti itu adalah sama ada pemilihan Anwar sebagai Presiden parti itu yang baharu, masih boleh dianggap sebagai aset atau liabiliti parti itu bagi mendepani PRU15.
Sejak kebelakangan ini, banyak pihak mengesyorkan Ahli Parlimen Port Dickson itu berundur bagi memberi laluan kepada pemimpin muda lebih dinamik seperti Rafizi atau darah dagingnya sendiri, Nurul Izzah Anwar untuk mengepalai PKR serta Pakatan Harapan (PH).
“Hakikatnya PKR dilihat lebih berorganisasi dan bersatu padu sewaktu Anwar berada di dalam penjara. Ini dapat dibuktikan apabila Kak Wan (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), Azmin, Rafizi dan (Datuk Seri) Saifuddin Nasution (Ismail) mampu bekerjasama memastikan kemenangan PKR dan PH sewaktu PRU14.
“Bagaimanapun, PKR dan kerajaan PH hanya dilihat mula bergolak setelah Anwar dibebaskan dengan penjara.
“Sekiranya beliau seorang berjiwa besar dan sanggup mengenepikan cita-cita peribadi demi kepentingan rakyat, saya fikir Anwar perlu memberi laluan kepada ‘DNA’ beliau sendiri iaitu Nurul Izzah atau Rafizi bagi memberi nafas baharu kepada PKR,” kata penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakob.
Bagaimanapun, pandangan berbeza dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang menganggap Anwar masih merupakan aset kepada perjuangan reformasi, sesuatu lebih bernilai daripada sekadar hanya menjadi perdana menteri dan kerajaan.
Menyifatkan musuh utama Anwar dalam politik adalah golongan elit politik yang berkuasa di Malaysia, Hassan menegaskan imej bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang tidak radikal, tidak berideologi kiri dan senang didekati rakyat, sebenarnya amat menakutkan kelompok berkenaan.
“Anwar tahu tentangan golongan elit berkenaan. Tetapi dia degil, Anwar masih hendak merombak tata kelola institusi-institusi penting kerajaan seperti perkhidmatan awam, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM), polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Boleh bayangkan, adakah golongan elit berkuasa akan membenarkan Anwar dengan agenda reformasinya itu berjaya?
“Jawapannya tentu sekali tidak,” ujar Hassan menerusi satu hantaran di laman Facebooknya.
Pandangan Hassan turut dikongsi Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menegaskan Anwar masih merupakan pemimpin terbaik dalam mengemudi PH dan PKR mendepani PRU15.
Lebih mengejutkan, Saifuddin Nasution menyatakan kekesalan Anwar bukan sahaja dikritik parti luar, malah turut berdepan kecaman dari dalam PKR sendiri.
“Sehinggakan pada tahap bukan sahaja (beliau boleh) ditegur, dikritik dan dihentam terbuka oleh lawan, parti-parti sahabat bahkan hari ini pun kritikan terbuka terhadap sosok beliau kencang datangnya dari dalam parti dan oleh pimpinan sendiri,” katanya.
Bagi memastikan perjuangan Anwar dalam mengangkat agenda reformasi dijayakan sepenuhnya, sudah pasti beliau memerlukan barisan kepimpinan yang menyokongnya 100 peratus pada kongres kali ini.
Berikutan itu, tumpuan pastinya terarah kepada Rafizi – pemimpin diketahui berbeza pendirian dengan Anwar – sama ada beliau benar-benar akan memastikan parti itu kembali bersatu dan menyatakan kesetiaan sepenuhnya terhadap Presiden parti, selepas mereka melalui sesi pemilihan PKR penuh warna-warni.
Bahkan, perkara itu amat ditekankan Wan Azizah yang juga Penasihat PKR apabila beliau mempersilakan mana-mana ahli parti yang merasakan tidak lagi serasi dengan perjuangan parti, supaya meninggalkan parti dan tidak menjadi musuh dalam selimut.
Sama ada Kongres PKR kali ini bakal menjadi medan penyatuan lebih 1.3 juta ahli parti itu untuk merencana formula terbaik mendepani PRU15 , segalanya bergantung kepada niat dan keikhlasan Anwar dan Rafizi untuk membentuk gandingan paling ampuh bagi memacu kemenangan parti kelak.
Baca Artikel Menarik:
- Suami maut dipercayai dipukul isteri depan anak
- Rizal van Geyzel direman sehari
- Tawar elaun cari calon isteri
- Realiti sebalik isu TPM
- Gaji penjawat awam dan swasta di Malaysia tercorot berbanding negara ASEAN lain
- Isu Intan Najuwa peluk Aliff Aziz di Genting Highlands
- Jalan ‘jem’ kita kena sabar – Mohd Amar (Video)
- Kongress PKR, Kak Wan menangis kerana pengkhianatan
- Memang kenderaan milik PDRM lah…
- Anak ahli politik dipenjara 12 bulan jual jam tangan curi
- Duta Besar ke Indonesia: Tajuddin akur, terima keputusan kerajaan
- Wanita lompat ke dapur McDonald’s untuk sediakan hidangan sendiri
- Pencen untuk bekas tentera, jangan samakan dengan ahli Parlimen – JHEV
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
Tangkapan ikan gergasi ‘oarfish’ cetus kepercayaan gempa dahsyat bakal menyusul