Bersangka baik pada PM, usah beri tekanan isu pelantikan TPM

Bersangka baik pada PM, usah beri tekanan isu pelantikan TPM

SEREMBAN: Pemimpin dan ahli UMNO tidak wajar membuat sebarang spekulasi berhubung kesahihan perjanjian pelantikan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dikatakan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan Perikatan Nasional (PN).

Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mustafa Salim, berkata ini kerana jika tindakan sedemikian berterusan, ia boleh menggugat perpaduan dalam parti.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, sebaliknya semua pihak harus memberi ruang kepada Ismail Sabri untuk membuat keputusan.

“Ismail Sabri adalah pemimpin UMNO tulen yang tidak akan sesekali membelakangkan kepentingan parti.

“Tanggungjawab yang beliau pikul adalah besar, terutama dalam usaha menangani isu ekonomi dan kehidupan rakyat ketika ini.

“Justeru, adalah tidak wajar kita memberi tekanan kepada beliau dalam isu perjanjian berkaitan jawatan TPM. Secara prinsip, Perdana Menteri memang ada kuasa prerogatif yang termaktub dalam Perlembagaan untuk melantik mana-mana individu dalam Kabinet beliau,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas beberapa pengakuan pemimpin PN berhubung perjanjian persefahaman antara parti itu dengan Perdana Menteri, termasuk mengenai pelantikan TPM.

Kelmarin, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengaku membuat draf perjanjian mengenai jawatan TPM, sekali gus mengesahkan perjanjian itu wujud seperti dimaklumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Ahmad Maslan pula dilapor mengesahkan perjanjian berkenaan tidak dibincangkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Ia juga tidak dibincangkan oleh Biro Politik parti itu mahupun dalam kalangan pemimpin lima jawatan tertinggi atau ‘Top Five’ UMNO.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata, pemimpin dan ahli UMNO perlu bersangka baik, sekali gus memberi keyakinan serta sokongan padu kepada Ismail Sabri untuk mengemudi dan menguruskan pentadbiran negara dengan baik.

“Saya fikir dalam saat kita sedang memfokus kepada usaha membantu rakyat berdepan ancaman inflasi dan kesukaran hidup, perkara yang boleh melemahkan Perdana Menteri tidak harus ditimbulkan.

“Ini kerana Perdana Menteri memerlukan sokongan padu bukan saja daripada anggota Kabinet tetapi juga semua pihak, termasuk pemimpin UMNO.

“Kita tidak harus melakukan sesuatu tindakan yang boleh mewujudkan suasana tidak baik dalam parti, lebih-lebih lagi ketika bakal berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak berapa lama lagi,” katanya. BH

Bersangka baik pada PM, usah beri tekanan isu pelantikan TPM


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


SM Faisal tuntut harta sepencarian terhadap bekas isteri

Nora buat pembedahan besarkan payu dara

Yazmin Aziz cium pemain bolasepak Kelantan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker