PKS sokong GST dikembali pada kadar lebih rendah

PKS sokong GST dikembali pada kadar lebih rendah

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyokong pengembalian cukai barang dan perkhidmatan (GST) namun pada kadar lebih rendah 4% berbanding 6% sebelum ini.

Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), William Ng, berkata cukai penggunaan merupakan regim cukai lebih adil dan meluas bagi mengelak cukai berganda, sambil membenarkan cukai output ditolak dengan cukai input.

“Bagaimanapun, apabila diperkenalkan semula, kami berharap tidak berlaku lagi ‘flip-flop’ kerana mengakibatkan tambahan kos yang tidak dapat ditanggung perniagaan ketika ini,” katanya kepada FMT.

“Selain itu, jangkauan penuh produk dan perniagaan dikecualikan atau kadar sifar perlu dimaklumkan ketika pengenalan semula.”

Ng berkata, PKS sudah melakukan pelaburan agak besar dalam tenaga buruh, bayaran profesional dan teknologi maklumat ketika cukai itu diperkenalkan pada 2015.

Bagaimanapun, sejak ia dimansuhkan pada 2018, pelaburan dibuat lebur begitu sahaja dan kebanyakan perniagaan perlu kembali melatih semula kakitangan masing-masing.

“Rungutan lain berhubung kelewatan mendapatkan bayaran balik GST. Ada PKS menunggu selama 18 bulan untuk mendapatkan semula bayaran itu,” katanya.

Katanya, PKS tidak berminat mengaut keuntungan daripada sebarang perubahan dalam regim cukai, namun perubahan kerap akan menyebabkan kos pematuhan, yang sebahagian daripadanya perlu dipindahkan kepada pengguna.

Pada 2016 dan 2017, cukai penggunaan menyumbang pendapatan purata RM42.7 bilion setahun, membabitkan hampir 20% pendapatan bercukai keseluruhan negara. Secara perbandingan, regim cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menyumbang RM27.9 bilion, pada 2021.

Di lapangan, Pengasas Terang Bulan Landscape Sdn Bhd Tan Peng Koon, yang memulakan perniagaan pada 2017, menyifatkan pematuhan terhadap GST ketika itu adalah rumit memandangkan perniagaannya baharu bermula dan tidak mempunyai eksekutif akaun untuk digaji.

Bagaimanapun, lima tahun kemudian, Tan sudah bersedia selepas syarikatnya kini mempunyai eksekutif akaun untuk menguruskan perkara berkenaan.

“Selain perkara pentadbiran, saya berharap kerajaan memberi jaminan pembayaran balik segera GST,” katanya. “Bagi perniagaan kecil sepertinya, kelewatan menerima bayaran balik akan menyebabkan masalah gangguan aliran tunai.”

Dalam pada itu, penasihat cukai, Thenesh Kannaa, berkata kajian menyeluruh perlu dilaksanakan berhubung jangka masa bagi pengenalan semula GST dan kesannya terhadap ekonomi, termasuk pengguna.

Beliau menyeru pihak berkuasa berkaitan cukai diberikan kuasa memproses bayaran balik, justeru hanya pendapatan bersih selepas bayaran balik diperuntukkan dalam Kumpulan Wang Disatukan.

Katanya, masa mencukupi perlu diberikan kepada perniagaan bagi persiapan sekiranya pengenalan semula GST dilakukan.

Beliau turut bersetuju dengan pihak lain bahawa kadar cukai terpakai GST sejajar dengan jangkauan pengecualiannya.

“Sebagai contoh, kadar cukai rendah tanpa sebarang pengecualian akan lebih menjejaskan golongan berpendapatan rendah, berbanding kadar tinggi membabitkan pengecualian yang diteliti,” katanya.

“Adalah mengelirukan untuk mempertimbang kadar cukai berasingan tanpa mengambil kira pengecualian dan inisiatif sasaran demi mengimbangi impak GST.”

Bulan lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan mengembalikan cukai penggunaan itu sebagai langkah meningkatkan kecekapan perolehan hasil kerajaan demi menangani inflasi dan kenaikan kos sara hidup.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, mendedahkan ia mengambil masa sembilan bulan untuk mengembalikan semula GST selepas mendapat kelulusan Parlimen. FMT

PKS sokong GST dikembali pada kadar lebih rendah


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bintang Golf AS Makan Sosej Pun Cantik, Buat Peminat Cair Tengok Video Berkali-kali Hingga 2 Jam [VIDEO]

Ziela Jalil Lepaskan Dua Anak Dalami Ilmu Agama Di Yaman

Meninggal dunia ketika menunggu pemberian daging korban

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker