Perbicaraan kes Syed Saddiq berkait pecah amanah, pengubahan wang haram bermula esok

Perbicaraan kes Syed Saddiq berkait pecah amanah, pengubahan wang haram bermula esok

Perbicaraan kes Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Armada Bersatu berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram, akan bermula esok di Mahkamah Tinggi di sini.

Kes itu akan didengar oleh Hakim Azhar Abdul Hamid pada 9 pagi.

“Bicara akan berjalan esok. Enam saksi pendakwaan dijangka beri keterangan,” kata Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwaan ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan memanggil 40 saksi pada perbicaraan kes itu.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 21 dan 22 Jun, 4 hingga 8 Julai dan 18 hingga 22 Julai untuk mendengar kes tersebut.

Syed Saddiq, 29, pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen. Bagaimanapun, beliau memohon supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan pada 25 Nov tahun lalu dan permohonan itu dibenarkan.

Pada 22 Julai 2021, bekas menteri belia dan sukan itu didakwa atas satu pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna wang manakala pada 5 Ogos tahun sama, beliau dihadapkan ke mahkamah di Johor Bahru atas dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Pendakwaan kemudian memohon memindahkan kes di Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. FMT

Perbicaraan kes Syed Saddiq berkait pecah amanah, pengubahan wang haram bermula esok


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Aksi Ariel Peluk, Pegang Paha Bunga Citra Lestari Atas Pentas Buat Peminat Doakan Cepat Kahwin [VIDEO]

Gaduh di Facebook membawa ke restoren

Bakti Allahyarham Adibah Noor, pelihara 41 ekor kucing

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker