Untuk tawan Selangor, BN perlu ketengah calon MB, pimpinan negeri – Khir Toyo

Untuk tawan Selangor, BN perlu ketengah calon MB, pimpinan negeri – Khir Toyo

Barisan Nasional (BN) perlu mengetengahkan calon menteri besar dan pimpinan negeri bagi merampas semula Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Khir Toyo.

Bekas menteri besar itu berkata, strategi BN tidak meletakkan calon pimpinan kerajaan negeri pada PRU lepas ternyata gagal menawan hati pengundi.

Khir menggesa pimpinan BN mengambil serius trend kemerosotan kerusi gabungan itu setiap kali PRU diadakan sejak 2008.

“PRU12 (2008) dulu kita menang 20 kerusi DUN; PRU13 (2013) kita hilang lapan jadi 12 kerusi DUN; PRU14 (2008) BN hanya menang empat kerusi DUN.

“Jadi, kita tengok strategi kita tidak mengetengahkan pemimpin untuk memimpin Selangor nampaknya tidak berjaya.

“Kita tak boleh mengulangi kesilapan lama setiap kali PRU. Suka atau tidak kena tonjolkan calon kita,” katanya kepada FMT dengan menambah bahawa MIC dan MCA juga perlu meletakkan wajah tokoh untuk memimpin kerajaan negeri.

Katanya, setiap calon kemudian perlu bekerja dan membangkitkan isu negeri untuk rakyat termasuk soal banjir, masalah air, ekonomi, pekerjaan, kos sara hidup, serta harga rumah yang mahal.

“Kalau kita dapat bangkitkan isu yang ada dan beri penyelesaian, baharu rakyat dapat tengok – kalau pilih BN begini hasilnya nanti. Kita boleh jadikan isu-isu negeri sebagai manifesto kita,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, BN berdepan laluan sukar untuk menang kembali di Selangor jika bergerak solo dan perlu bekerja lebih keras untuk menarik semula sokongan bukan sahaja daripada orang Melayu tetapi juga pengundi bukan Melayu dengan membantu MCA dan MIC supaya kembali diterima rakyat.

Ditanya sama ada Selangor perlu diberi autonomi oleh pucuk pimpinan seperti Sabah untuk membuat keputusan sendiri dan bekerjasama dengan mana-mana pihak, Khir berkata, demografi politik antara Malaysia Timur dan Barat berbeza.

“Kita tidak boleh beri autonomi kepada semua negeri. Di Sabah, sebab mereka jauh dari kita ditambah keadaan geografi yang luas, sebab itu diberi sedikit autonomi kepada Sabah. Negeri lain tak boleh buat. Kalau semua bagi autonomi jadi cacamarba termasuk pertelingkahan dalam parti,” katanya.

Pada PRU14, BN Selangor hanya meraih dua kerusi Parlimen (Sabak Bernam dan Tanjong Karang) di samping empat kerusi DUN (Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam dan Sungai Burong). FMT

Untuk tawan Selangor, BN perlu ketengah calon MB, pimpinan negeri – Khir Toyo


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Nasi lemak berlauk tahi ikan bilis

Janna Nick bangga, fenomena Gatal jangkiti PSY

BBQ meletup ketika berkelah bikin ramai terkejut (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker