Croatia titik Scotland 3-1

GLASGOW –  Croatia mengiringi England ke pusingan 16 pasukan terbaik Euro 2020 selepas melakar kemenangan 3-1 ke atas Scotland pada aksi terakhir Kumpulan D di Hampden Park,  sebentar tadi.

Kemenangan itu  menyaksikan Croatia muncul sebagai naib juara kumpulan.

Bagaimanapun, Croatia dilihat bermula perlahan apabila terlebih dahulu menerima asakan daripada jentera serangan Scotland yang diketuai Che Adams yang beberapa kali mengancam kubu pertahanan lawan pada 15 minit pertama.

Namun begitu,  Croatia terlebih dahulu menjaringkan gol hasil ledakan Nikola Vlasic pada minit ke-17.

Gol itu nyata menyuntik semangat Croatia yang kembali menemui rentak permainan.

Usaha Scotland memburu gol penyamaan akhirnya terhasil tiga minit sebelum berakhir babak pertama menerusi jaringan Callum McGregor.

PENYOKONG Croatia meraikan kejayaan pasukan kesayangan mereka mara ke pusingan kalah mati Euro 2020.-AFP

Bersambung separuh masa kedua, John McGinn hampir meletakkan The Tartan Army di depan pada minit ke-58, namun percubaannya hanya sedikit tersasar dari pintu gol Croatia.

Menerusi satu serangan balas pantas giliran kapten Croatia, Luka Modric mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-62 selepas  rembatan deras dari luar kotak penalti berjaya menewaskan penjaga gol Scotland, David Marshall.

Ketika perlawanan berbaki 13 minit, Ivan Perisic memastikan kemenangan mutlak buat naib juara Piala Dunia 2018 itu menerusi gol ketiga selepas menanduk masuk bola yang berpunca daripada sepakan penjuru. – AGENSI

 

Croatia titik Scotland 3-1

 


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker