PBRS belum cukup kuat untuk ‘bersinar’ dalam BN – penganalisis

PBRS belum cukup kuat untuk ‘bersinar’ dalam BN – penganalisis

Sebagai satu-satunya parti berasaskan etnik Kadazandusun Murut (KDM) dalam Barisan Nasional (BN), penganalisis berpendapat, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) belum cukup kuat untuk “bersinar” seperti PBS dan Upko dalam gabungan berkenaan.

Menurut sumber, PBRS yang lebih dikenali di kawasan pedalaman kini giat mengembangkan sayapnya di beberapa kawasan, khususnya di pantai barat Sabah.



Presidennya, Joseph Kurup juga secara terbuka menyuarakan hasrat parti itu untuk bertanding di Tuaran.

Selain PBRS, PBS dan Upko yang sebelum ini merupakan parti berasaskan KDM dalam BN, namun telah meninggalkan gabungan itu selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, walaupun mempunyai kelebihan sebagai satu-satunya parti berasaskan KDM dalam BN, namun PBRS boleh dikatakan masih bergantung sepenuhnya kepada “bendera BN”.

Katanya, kemampuan PBRS belum lagi teruji untuk memberi impak atau membantu BN dalam PRU15.



“Hal ini kerana mereka terpaksa berdepan kemungkinan pertandingan pelbagai penjuru, khususnya dengan Warisan dan Pakatan Harapan (PH).

“Keahlian PBRS tidaklah begitu besar dan cawangannya belum kukuh, selain kepimpinannya di pelbagai tempat belum tersedia dengan baik. Ini sesuai dengan kemampuannya hanya mempunyai satu kerusi Parlimen dan masih dilihat bergantung pada ‘bendera BN’.

“Mereka perlu bergerak ke depan dengan meningkatkan sokongan dan menambah keahlian serta bersatu padu agar dapat berkembang dalam BN seperti PBS dan Upko sebelum ini,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara pula berpendapat, sebagai parti tunggal berasaskan KDM dalam BN, PBRS mempunyai kelebihan untuk menarik semula sokongan etnik itu kepada BN.



Ini kerana katanya, PBRS mempunyai kelebihan dengan menggunakan semua jentera BN sedia ada, termasuk suntikan dana untuk merancakkan lagi kempen merekrut ahli baharu dan pembukaan cawangan parti.

Tambahan lagi beliau berkata, Ahli Parlimen Pensiangan, Arthur Kurup yang juga seorang pemimpin muda turut memberi sedikit kelebihan kepada PBRS dalam menarik sokongan golongan muda, khusus di kawasan luar bandar.

Namun katanya, antara cabaran utama PBRS ialah siapakah yang bakal diketengahkan sebagai calon di kawasan KDM.

“Harus diketahui juga, dalam konteks politik KDM, populariti dan personaliti pemimpin memainkan peranan penting untuk meraih undi serta mengekalkan sokongan,” katanya.



Dalam pada itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, PBRS perlu “mengukur baju di badan sendiri” sebelum meminta untuk bertanding di banyak kerusi pada PRU15.

“Buat kajian lapangan dahulu sama ada boleh menang atau tidak, baru minta kerusi (untuk ditandingi). Mereka juga perlu ambil keputusan ‘total loss’ pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang lalu sebagai pengajaran.”

Ketika PRN Sabah pada September 2020, PBRS yang menggunakan logo BN meletakkan calon di lima kerusi DUN, namun tewas kesemuanya. FMT

PBRS belum cukup kuat untuk ‘bersinar’ dalam BN – penganalisis




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


‘DINA’, ‘MIRA’ dan ‘J3H3’ disita



Misteri duit syiling timbul di permukaan tanah

Hilang ibu bapa berselang 12 jam di Aidilfitri

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker