Hubungan istimewa antara Mat Sabu, Mahathir dan Anwar

Oleh ZULKIFLI SULONG

Ramai yang tertanya-tanya, bagaimana bekas Timbalan Presiden Pas, Haji Mohamad Sabu yang sangat membenci Tun Dr Mahathir Mohamad tiba-tiba selepas menjadi Presiden AMANAH, beliau dilihat sangat rapat dengan bekas perdana menteri itu.

Bahkan, ada juga yang tertanya-tanya, bagaimana Mohamad boleh rapat dengan Mahathir sehingga kadang-kadang melebihi hubungan beliau dengan bekas ketuanya dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Datuk Seri Anwar Ibrahim, padahal kedua-duanya adalah pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) manakala Mahathir sudah berada di luar PH.

“Saya mula rapat betul dengan Mahathir apabila kami bersama dalam isu umat Islam antarabangsa. Semua tahu Mahathir ini sangat vokal dalam isu Palestin. Saya pula menjelaskan kepada beliau tentang keyakinan saya tentang isu umat Islam antarabangsa.

“Dari kata sepakat itulah, kami menganjurkan KL Summit yang menggabungkan lebih separuh umat Islam di dunia. Saya yakin, jika kerajaan kita masih kekal, KL Summit akan menjadi program tahunan kita dan memberikan hasil besar kepada dunia Islam,” kata Mohamad ketika penulis bertemu beliau baru-baru ini.

KL Summit menghimpunkan pemimpin utama dari Turki, Iran dan Qatar. Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan juga cuba untuk menyertainya namun diugut oleh Arab Saudi agar jangan berbuat demikian. Presiden Indonesia Joko Widodo juga mahu menyertainya, namun pada saat akhir hanya menghantar Naib Presiden Ma’ruf Amin kerana keletihan.

KL Summit telah diadakan pada 18 hingga 21 Disember 2019 di Kuala Lumpur Convention Centre. Ia dianggap dunia khasnya negara-negara Arab sebagai alternatif kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dikuasai Arab Saudi.


Menurut Mohamad, pandangan beliau dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tentang dunia Islam hampir sama sejak dahulu hingga sekarang.

“Saya sentiasa sama dengan Ustaz Hadi dalam isu antarabangsa tetapi untuk isu tempatan kami berbeza.

“Saya yakin, kalau Ustaz Hadi tidak ada dalam kelompoknya sekarang dan bersama kami, dia juga akan sepakat dengan saya dan Tun Mahathir,” kata Mohamad tentang bekas ketuanya itu.

Musuh politik Mohamad Sabu sentiasa menyerang beliau dengan isu Syiah. Namun, Ustaz Hadi adalah antara pembela beliau dalam isu ini.

Sejak dalam Pas lagi, musuh politik Mohamad sentiasa menyerangnya kerana hubungannya dengan pemimpin politik Iran. Namun, Ustaz Hadi menjadi pembela beliau.

“Saya rapat dengan pimpinan Iran bukan kerana Syiah mereka tetapi kerana pemikiran politik mereka. Saya yakin, Ustaz Hadi juga bersetuju dengan saya dalam isu ini,” kata Mohamad.

Kerana itulah, kata Mohamad, antara yang beliau ceritakan kepada Mahathir adalah tentang pemikiran politik pemimpin Iran ini dari zaman Shah sehingga membawa kepada kejatuhannya.

“Sebab itulah Iran kami masukkan dalam KL Summit ini,” kata Mohamad menceritakan tentang program yang beliau rancang bersama Mahathir ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan itu.

Mohamad Sabu mula rapat dengan Mahathir apabila bersama dalam isu umat Islam antarabangsa.

Kesatuan pembangkang

Sebelum aktif dalam Pas, Mohamad rapat dengan pemimpin ABIM termasuk Anwar. Apabila berlaku masalah perbezaan pendapat dalam Pas ekoran usaha sekumpulan pemimpin Pas pimpinan Hadi mahu bersama dengan Umno, Mohamad dan rakan-rakannya menentang usaha ini kerana mereka telah bersama dengan pembangkang lain dalam Pakatan Rakyat yang dipimpin Anwar.

Ekoran itu, Mohamad dan rakan-rakannya dalam Pas telah digelar Anwariyyun atau penyokong Anwar. Ada juga yang menggelarkan mereka sebagai Erdogan sempena dengan nama Presiden Turki sekarang, Raccip Tayyib Erdogan. Ini kerana mereka (rakan-rakan Mohamad Sabu) dianggap penyokong Erdogan ketika mereka sendiri (penyokong Hadi) adalah penyokong Erbakan, bekas pemimpin Saadet Partisi yang melawan AKP.

Kerana sejarah hubungan baik antara Mohamad dengan Anwar inilah ramai yang terkejut kenapa dalam keadaan sekarang Mohamad dikaitkan oleh penyokong Anwar sebagai ‘penjilat Mahathir’.

“Sebenarnya, tidak timbul soal sokong Mahathir atau tidak sokong Anwar. Yang kami mahukan adalah kesatuan pembangkang. Anwar adalah bakal PM kami, manakala Mahathir bukanlah musuh kami,” kata Khalid Samad, orang kanan Mohamad dalam satu kenyataannya.

Menurut Khalid, pembangkang perlu bersatu untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) yang diketuai Umno dengan Perikatan Nasional (PN) yang bersatu sekarang.

“Kalau dahulu (semasa PRU-14) kita bersama Bersatu yang solid, kini sebahagian Bersatu sudah bersama PN yang di dalamnya ada Umno dan Pas.

“Kalau kita (PH) tidak bersama dengan penyokong Mahathir dan tidak juga bersama Warisan, secara logiknya sokongan kita akan berkurang, bahkan mungkin kalah dalam PRU nanti,” kata beliau.

Sejak kebelakangan ini, penyokong Anwar dilihat mendakwa AMANAH dan DAP mahu bersama Mahathir dan meninggalkan Anwar.

Mereka yang terperangkap dengan konflik Mahathir-Anwar akan sentiasa melihat jika kamu bersama Anwar, kamu memusuhi Mahathir dan jika kamu bersama Mahathir, maka kamu memusuhi Anwar.

Mesyuarat Majlis Presiden PH baru-baru ini telah dibatalkan selepas Mohamad dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membuat kenyataan bersama meminta agar PH mewujudkan gabungan besar (grand coalition) dalam kalangan pembangkang. Kenyataan itu dikatakan punca mesyuarat itu dibatalkan.

Ia telah ditafsirkan oleh penyokong Anwar sebagai usaha AMANAH dan DAP mahu meninggalkan Anwar dan bersama Mahathir. Bahkan, ada yang mendakwa Mohamad mahu lari meninggalkan rakannya sejak sekian lama selepas merasai ‘kerajaan’ di bawah Mahathir.

Apakah itu benar? Saya tidak fikir begitu. Bagi saya, ia hanya pemikiran yang terperangkap dalam dunia “Mahathir dan Anwar” sahaja dan tidak boleh keluar dari situ.

Politik Mohamad Sabu dilihat mahu meramaikan sahabat termasuk mengekalkan sahabat yang telah sedia ada. Manakala Anwar pula sudah tidak boleh bersama Mahathir. Apakah Mohamad perlu juga bergaduh dengan Mahathir ketika Anwar bergaduh dengan Mahathir? Inilah persoalannya.

Bagi Mohamad dan partinya AMANAH, matlamat jangka pendek adalah untuk mengambil semula kerajaan yang dirampas daripada mereka. Matlamat kedua adalah memenangi PRU-15. Kedua-dua matlamat itu boleh dipenuhi dengan berkawan seramai mungkin bukan memusuhi ramai orang apatah lagi yang telah berkawan dengan kita.

Namun, mereka yang terperangkap dengan konflik Mahathir-Anwar akan sentiasa melihat jika kamu bersama Anwar, kamu memusuhi Mahathir dan jika kamu bersama Mahathir, maka kamu memusuhi Anwar.

Berkawan dengan seramai mungkin bukan memusuhi ramai orang demi memenangi PRU-15.

Sebab itu penyokong tegar Anwar sentiasa berfikir, Mohamad dan Lim Guan Eng telah mengkhianati dan tidak menghormati Anwar ketika membuat kenyataan bersama untuk menubuhkan grand coalition.

Namun, pernahkah penyokong Anwar berfikir, adakah mereka menghormati pemimpin AMANAH dan DAP ketika mereka merancang untuk mengambil alih semula kerajaan?

Adakah mereka menghormati pemimpin senior dalam AMANAH dan DAP ketika mereka mengadakan sidang media mengumumkan mereka mempunyai angka yang cukup, kuat dan meyakinkan bagi membentuk kerajaan tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada mereka sebelum mengumumkannya.

Kerjasama memerlukan kedua-dua belah pihak yang mahu bekerjasama bukan mengenepikan pihak lain ketika mulut terus berkata, kita perlu bekerjasama.

Semoga Allah melindungi kita daripada segala mara bahaya dan membawa kita kepada masa depan yang gemilang.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker