Bekas Adun DAP bakal sertai Warisan

Bekas Adun DAP bakal sertai Warisan

KOTA KINABALU: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Sabah yang mengumumkan keluar parti Januari lalu dipercayai akan menyertai Warisan, esok.

Mereka adalah ADUN Sri Tanjong Justin Wong dan ADUN Elopura Calvin Chong, yang meletak jawatan daripada DAP menjadi ADUN Bebas, pada 20 Jan.

DAP Sabah didakwa hilang arah tuju serta perpecahan dalaman DAP negeri menjadi antara sebab tindakan mereka keluar parti.

Sumber daripada Warisan mendakwa, kedua-dua mereka bersedia untuk menyertai parti itu, yang diketuai Shafie Apdal.

Media telah dijemput untuk menghadiri “majlis kemasukan” di ibu pejabat Warisan, di sini, pada 11 pagi esok.

Wong dan Chong bagaimanapun hanya berdiam diri apabila ditanya berhubung perkara itu.

Wong, yang juga ADUN penggal pertama, hanya menjawab “mungkin?” apabila ditanya sama ada benar beliau akan menyertai Warisan.

Sementara itu, Chong berkata beliau belum memutuskan parti mana yang akan disertainya.

“Jika saya menyertai mana-mana parti, saya akan beritahu anda. Setakat ini, tiada siapa yang menghubungi saya,” kata ADUN dua penggal itu kepada FMT.

Sekiranya mereka menyertai Warisan, parti itu akan mempunyai 19 kerusi di DUN, selepas kehilangan lima ADUN kepada parti lain sejak memenangi 23 kerusi dalam pilihan raya negeri Sabah, dua tahun lalu.

Kerusi Bugaya, yang dimenangi Manis Muka Mohd Darah dari Warisan, juga kekal kosong sejak beliau meninggal dunia pada November 2020.

Dalam pada itu, penganalisis politik Tony Paridi Bagang, berkata Warisan akan menjadi destinasi politik yang paling munasabah bagi Wong dan Chong.

“Mereka masih menyertai parti pembangkang dan boleh menggunakan ini sebagai justifikasi bahawa mereka tidak lompat parti. Mereka masih boleh menyatakan mereka pemimpin pembangkang,” katanya kepada FMT.

“Kemasukan mereka juga akan menjadi petanda baik bagi Warisan,” katanya, selaras dengan matlamat parti untuk memastikan kedudukannya sebagai parti yang mempunyai kerusi terbanyak dalam DUN Sabah.

“Warisan sedang berusaha untuk mengukuhkan sokongan mereka. Dalam kes ini, mereka mahu mendapatkan lebih ramai pemimpin Cina, selain menambah bilangan mereka. Mereka juga boleh mengekalkan imej mereka sebagai parti berbilang kaum,” kata Bagang. FMT

Bekas Adun DAP bakal sertai Warisan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Proton Preve bakal diganti model baru

Wulan Guritno berani berbikini

Pendakwa kemuka 2 tuduhan pindaan terhadap Syed Saddiq

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker