Politik Malaysia era moden harus ambil iktibar kemelut negara luar

Politik Malaysia era moden harus ambil iktibar kemelut negara luar

Oleh Dr Kamarulnizam Abdullah

Kita masih lagi bertuah kerana di sebalik ketidaktentuan politik dan kemurungan ekonomi dunia Malaysia masih mampu mengharunginya dan tidak terjerumus ke kancah politik yang lebih besar.

Ketidakstabilan politik akibat daripada kegagalan pelaksanaan sistem demokrasi, kerencatan ekonomi dan ditambah pula dengan ancaman berterusan pandemik COVID-19 menyebabkan banyak negara membangun terus berhadapan dengan ketidaktentuan.

Hakikatnya, kestabilan politik membenarkan kerajaan berfungsi dengan baik. Ini sekali gus menyumbang kepada kemakmuran masyarakat dan keselamatan negara.

Mesej ini disampaikan dengan jelas, secara langsung dan tidak langsung oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dalam ucapan penggulungan perbahasan selaku Naib Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu lalu.

Walaupun beliau berucap dalam platform parti, namun atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri, jelas ia mempunyai implikasi dasar kepada kerajaan.

Antara perkara dasar penting diumumkan beliau ialah keputusan kerajaan menaikkan kadar gaji minimum dari RM1,200 ke RM1,500 bermula 1 Mei, memperkasakan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan memberikannya kuasa penguatkuasaan untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Ia termasuk membela wanita teraniaya dengan membekukan akaun bank bekas suami tidak membayar nafkah mereka.

Penegasan Ismail Sabri yang beliau adalah orang parti yang membuat keputusan selaku ketua kerajaan selepas berunding dengan parti atau mengikut perjuangan parti, memberikan kelegaan dan ketenangan kepada ahli UMNO.

Boleh dikatakan bukan mudah untuk mentadbir negara dalam perikatan politik amat rapuh kerana pada bila-bila masa kerajaan ini berisiko tumbang jika salah satu parti yang bergabung menarik diri.

Ini banyak berlaku di negara lain seperti Jepun dan Perancis pada ketika dahulu yang menyebabkan pilihan raya terpaksa dilakukan dengan jarak dekat.

Di samping itu, pembangkang pula tidak seharusnya menggunakan ‘kesusahan’ melanda negara masa kini untuk terus menggunakan ugutan politik kepada kerajaan.

Kesepakatan antara kerajaan dan pembangkang memperkukuhkan fungsi Parlimen sebagai sebuah institusi penyemak dan pengimbang dalam tadbir urus negara adalah strategi diambil kedua-dua belah pihak mengurangkan suhu panas politik negara.

Impak daripada memorandum persefahaman (MoU) ini boleh dilihat dalam kempen pilihan raya negeri di Johor baru-baru ini. Tidak banyak kempen kritikan terhadap Perdana Menteri kecuali beberapa isu diulang-ulang setiap kali pilihan raya diadakan seperti kuasa rakyat, pembangunan dan rasuah.

Politik Malaysia era moden harus mengambil iktibar daripada kemelut politik negara luar. Kerajaan yang berkhidmat untuk rakyat harus lebih telus.

Kepemimpinan pentadbiran negara masa kini mesti memastikan kerajaan yang ada sekarang stabil bagi memastikan agenda pembangunan negara dapat terus dilaksanakan.

Pembangunan ekonomi adalah antara kunci memastikan kestabilan dapat dipelihara. Dalam konteks ini, Bank Negara Malaysia (BNM) meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia berkembang sehingga 6.5 peratus pada tahun ini dan tahun hadapan.

Apa yang diucapkan oleh Perdana Menteri peringatan yang permuafakatan politik dan kemakmuran ekonomi adalah kunci kepada kestabilan dan keselamatan negara.

Beliau turut memberi amaran beberapa faktor boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara tetapi ia menuntut komitmen rakyat untuk mempertahankan apa yang dikecapi ketika ini, Pertama, penyatu paduan masyarakat adalah penting. Malaysia masih berhadapan dengan persaingan ideologi, bangsa, dan agama yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat. Mempolitikkan isu agama dan bangsa boleh menyebabkan konflik besar melanda.

Kedua, ekonomi Malaysia masih rapuh dan bergantung kepada kestabilan dunia. Kita adalah negara pedagang bergantung kepada permintaan dunia luar.

Oleh itu, walaupun pandemik masih belum reda, kita perlu membuka sempadan negara bagi memastikan ekonomi negara berkembang dan sektor perkhidmatan seperti pelancongan berupaya mewujudkan semula peluang pekerjaan kepada rakyat.

Dukungan rakyat adalah penting agar agenda politik, sosial, dan ekonomi digariskan kepemimpinan tertinggi negara dicapai.

Mempolitikkan dan mensensasikan isu, terutama di dalam media sosial tanpa menawarkan penyelesaian konkrit harus dihentikan supaya kemakmuran dapat dicapai demi kepentingan semua. BH

Penulis adalah Profesor di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi

Politik Malaysia era moden harus ambil iktibar kemelut negara luar


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rafizi boleh bawa perpecahan – AMK PKR

Penjarahan wang Petronas tidak akan berulang lagi – Ismail Sabri

Pak Cik Cium Seluar Dalam Dah Kena Cekup

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker