Peganglah akidah yang benar

Peganglah akidah yang benar

oleh Mohd Shahrizal Nasir

Setiap Muslim mengharapkan ganjaran paling istimewa yang dijanjikan oleh Allah SWT di akhirat nanti. Tidak ada ganjaran yang lebih istimewa selain daripada mendapat keredaan Allah SWT serta dimasukkan ke dalam syurga-Nya. Sesungguhnya orang beriman pasti akan ditempatkan dalam syurga-Nya. Mereka dialu-alukan oleh Allah SWT untuk masuk ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan kebahagiaan.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: “Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan para hamba-Ku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (Surah al-Fajr, ayat 27-30)

Pada ketika ini, tiada sesiapa pun yang dapat melihat syurga. Semuanya dalam pengetahuan Allah SWT namun gambaran syurga termaktub dalam al-Quran. Penjelasan tentang gambaran syurga bertujuan memotivasikan manusia agar terus mencari keredaan Allah SWT. Bacalah al-Quran dengan turut memahami maksud ayat-ayat berkaitan keindahan syurga yang disediakan oleh Allah SWT untuk hamba-Nya yang beriman.

Di dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan perihal syurga-Nya menerusi firman yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amalan yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan untuk orang yang bertakwa.” (Surah Ali Imran, ayat 133)

Imam al-Qurtubi menjelaskan ayat ini dalam kitab tafsir Al-Jami’ li Ahkam al-Quran: “Para ulama menjelaskan bahawa syurga telah tercipta dan telah ada sekarang. Berdasarkan firman Allah SWT: “…yang disediakan untuk orang yang bertakwa”. Dan keyakinan seperti ini, telah ada keterangan secara jelas dalam hadis yang menceritakan tentang Isra’. Baik yang terdapat dalam Sahihayn (Sahih al-Bukhari dan Shahih Muslim) mahupun kitab hadis lainnya.”

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya syurga terdiri daripada seratus tingkat, jarak antara dua tingkatnya seperti jarak antara langit dan bumi, Allah menyediakannya untuk orang yang berjihad pada jalan-Nya.” (Muttafaq ‘alaih)

Dalam surah ar-Rahman, Allah SWT menyatakan keadaan syurga dengan cukup jelas dengan firman-Nya bermaksud: “Pada kedua-dua syurga itu terdapat dua mata air yang mengalir.” (Surah ar-Rahman, ayat 50). Kemudian Allah SWT berfirman lagi yang maksudnya: “Pada kedua syurga itu terdapat dua macam daripada tiap-tiap jenis buah-buahan (yang biasa dan yang luar biasa).” (Surah ar-Rahman, ayat 52)

Allah SWT berfirman pada ayat seterusnya bermaksud: “Mereka (ahli syurga bersenang-senang di tempat masing-masing dalam syurga itu dengan) berbaring di atas hamparan-hamparan, yang lapisan-lapisan sebelah dalamnya daripada sutera tebal yang bersulam, dan buah-buahan kedua-dua syurga itu dekat (kepada mereka) untuk dipetik.” (Surah ar-Rahman, ayat 54)

Pada surah ar-Rahman ayat 56 pula, Allah SWT menjelaskan tentang bidadari syurga: “Di dalam syurga-syurga itu terdapat para bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin.”

Rasulullah SAW juga ada menjelaskan tentang syurga dengan sabdanya bermaksud: “Sesungguhnya roh orang Mukmin itu adalah burung yang bergantung pada pohon syurga. Hingga Allah mengembalikan roh itu ke badannya pada hari kiamat nanti.” (Hadis riwayat Ahmad)

Keindahan syurga dengan segala kenikmatan di dalamnya memberi petunjuk betapa beruntungnya orang yang menjadi penghuni syurga. Peluang untuk mendiami syurga adalah nikmat yang terbesar kurniaan Allah SWT kepada para hamba-Nya yang taat. Namun ada golongan yang mendapat keistimewaan lebih besar apabila dirinya diberi peluang untuk memasuki syurga menerusi mana-mana pintu syurga.

Golongan ini pastinya telah melakukan amalan yang istimewa sehingga memperoleh keredaan yang tinggi daripada Allah SWT. Peluang untuk memasuki syurga daripada mana-mana pintunya membuktikan betapa luasnya keredaan Allah SWT kepada golongan tersebut. Antara golongan yang mendapat keistimewaan tersebut ialah mereka yang berpegang kepada akidah yang benar.

Rasulullah SAW menjelaskan keistimewaan golongan yang berakidah dengan akidah benar menerusi sabdanya bermaksud: “Barang siapa mengucapkan ‘Aku bersaksi bahawa tidak ada yang berhak disembah selain Allah, tidak ada sekutu bagi-Nya dan bahwa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya. Serta Isa adalah hamba Allah dan anak salah seorang hamba-Nya. Kalimah-Nya disampaikan kepada Maryam dan rohnya adalah ciptaan Allah. (Dia juga bersaksi) bahawa syurga adalah benar, neraka juga adalah benar’; nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dari mana-mana lapan pintunya yang Dia kehendaki.” (Hadis riwayat Muslim)

Selain itu, golongan yang mendapat keistimewaan masuk ke dalam syurga daripada mana-mana pintunya ialah mereka yang mentaati pemerintah daripada kalangan Muslim. Ketaatan kepada pemerintah melibatkan perkara-perkara baik yang selari dengan ketetapan Allah dan Rasul-Nya. Kewajipan melaksanakan tuntutan-tuntutan lain seperti solat dan zakat turut perlu dijadikan keutamaan bagi orang yang ingin termasuk dalam kalangan golongan ini.

Rasulullah SAW menjelaskan perincian golongan tersebut dalam sabdanya: “Barang siapa menyembah Allah dan tidak mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat, menunaikan zakat, mendengar dan taat (kepada pemerintah); nescaya Allah akan memasukkannya menerusi pintu syurga manapun yang dia kehendaki.” (Hadis riwayat Ahmad)

Satu lagi golongan yang mendapat keistimewaan masuk ke syurga menerusi mana-mana pintu yang menjadi pilihannya ialah isteri yang mentaati suaminya. Ketaatan kepada suami juga melibatkan perkara-perkara yang diizinkan syarak. Selain itu, pelaksanaan ibadah solat dan puasa serta ibadah-ibadah fardu yang lain mesti menjadi keutamaan dalam kehidupan golongan ini.

Hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan hal ini bermaksud: “Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya; nescaya akan dikatakan kepadanya: ‘Masuklah ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang kamu mahu.” (Hadis riwayat Ahmad)

Begitulah kehebatan Allah SWT dalam mencipta syurga dengan segala kenikmatan yang tiada tandingan untuk hamba-Nya yang taat. Kesemua gambaran syurga dalam al-Quran dan hadis perlu dihayati agar ia dapat memotivasikan diri untuk terus menggandakan amal ibadah. Berusahalah untuk menjadi hamba-Nya yang dapat masuk ke dalam syurga dari mana-mana pintunya yang memperlihatkan kedudukan istimewa mereka yang memperoleh keredaan-Nya. HM

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Peganglah akidah yang benar


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rafizi boleh bawa perpecahan – AMK PKR

Penjarahan wang Petronas tidak akan berulang lagi – Ismail Sabri

Pak Cik Cium Seluar Dalam Dah Kena Cekup

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker