Muhyiddin minta Umno hantar surat rasmi perincikan syarat baru kerjasama

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin meminta Umno menghantar surat rasmi bagi memperincikan syarat baru kerjasama membabitkan parti itu susulan keputusan mesyuarat Biro Politik Umno sebelum ini.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Setiausaha Agung PPBM Hamzah Zainuddin yang membawa permintaan Muhyiddin itu.

“Pada sesi sidang video dalam talian, saya dan Bendahari Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor memperincikan perjanjian atau syarat baru kepada perdana menteri.

“Ia supaya ada penambahbaikan dalam hubungan persefahaman politik antara Umno dan PN.

“Namun, saya ingin menangguhkan penghantaran surat itu sehingga selesai mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada Selasa depan,” katanya lapor akhbar Berita Harian.

Sebelum ini Ahmad berkata, parti itu mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong PN dan menetapkan syarat baru kepada kerajaan dalam meneruskan kerjasama politik membabitkan 2 parti itu.

Ahmad berkata, Umno juga akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) supaya gabungan itu didaftar segera sebagai gabungan politik yang sah.

Ketika ditanya mengenai perincian syarat atau tuntutan yang diminta Umno, Ahmad berkata hanya Presiden Umno Ahmad Zahid sahaja yang boleh mengumumkan perincian itu.

Bahkan katanya, terpulang kepada pandangan dan tafsiran masing-masing berhubung dakwaan sesetengah pihak bahawa syarat atau tuntutan Umno itu merupakan “ugutan politik”.

“Saya hanya menyatakan fakta nombor bahawa Umno memiliki jumlah kerusi paling banyak dan seharusnya diberi ruang sewajarnya dalam kerajaan PN.

“Tuntutan baru ini dibuat selepas Umno meneliti perkembangan politik yang berlaku berikutan pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini,” katanya.

Tengku Razaleigh hantar usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker