Menanti PRU-15 penuh sabar
KUALA LUMPUR – Gesaan untuk merapatkan saf dan perlunya persiapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diperkemaskan yang berkumandang pada Perhimpunan Agung UMNO boleh diibaratkan seolah-olah menandakan gendang perang PRU15 telah dipalu dan hanya menunggu tarikh sesuai untuk ia diadakan.
Kenyataan Naib Presiden yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam bahawa beliau akan berbincang mengenai pilihan raya itu dengan pimpinan ‘Top Five’ UMNO, mengukuhkan lagi andaian bahawa PRU15 makin hampir meskipun tempoh Parlimen hanya akan berakhir Julai tahun depan.
‘Top Five’ merujuk kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri.
“Kalau dipersetujui, beri saya bersama dengan presiden, timbalan, naib-naib atau top five untuk bincangkan perkara ini, boleh? Jika kita yakin dengan kemenangan, kita tak akan tunggu satu saat pun untuk bubarkan parlimen untuk PRU ke-15,” kata Ismail Sabri dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berakhir pada Sabtu.
Ucapan penuh semangat yang menggambarkan kesetiaannya kepada parti, disisipkan dengan pencapaian kerajaan serta disulami beberapa berita gembira buat rakyat hasil perjuangan UMNO itu menerima tepukan gemuruh perwakilan, dan turut disahut dengan nada gembira oleh Ahmad Zahid, Mohamad serta seluruh pimpinan parti.
Tindakan spontan pemimpin ‘Top Five’ yang saling berjabat dan menjulang tangan selepas Ismail Sabri usai menyampaikan ucapan yang berjaya mencuri tumpuan perwakilan dan pemerhati politik itu, turut menyerlahkan keakraban dan keharmonian hubungan kesemua pemimpin berkenaan, sekali gus menepis pelbagai spekulasi mengenai hubungan mereka sebelum ini.
Kata-kata Ismail Sabri mengenai PRU-15 itu diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Ahmad Zahid yang menyifatkan komitmen dinyatakan perdana menteri itu menggambarkan perhimpunan parti yang berakhir semalam berkemungkinan yang terakhir sebelum pilihan raya diadakan.
Mohamad dalam ucapan penggulungannya pula berkata untuk berhadapan dengan pilihan raya, semua pihak dalam parti perlu berwaspada dengan pengumuman parti pembangkang yang sentiasa mempunyai strategi untuk menghadapi pilihan raya umum.
Mengulas perkara berkenaan, penganalisis politik menyifatkan ia sebagai kenyataan bertanggungjawab meskipun pada peringkat awalnya ada pandangan kononnya isu mengenai pilihan raya mungkin tidak akan disentuh perdana menteri biarpun rancak dibahaskan pada Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri yang bermula pada Khamis lepas, dan disusuli perbahasan ucapan dasar presiden pada Jumaat dan Sabtu.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, pandangan yang disuarakan Ismail Sabri berkaitan pilihan raya sebenarnya amat ditunggu-tunggu ramai pihak.
“Tindakan perdana menteri menyentuh mengenai PRU semalam tepat dan membuktikan beliau tak lari… kalau tak cakap mengenainya seolah-olah beliau nak lari daripada persoalan dan seolah-olah tak menghormati pandangan perwakilan.
“Bagi saya beliau mengambil tanggungjawab dengan memberikan penjelasan serta memberi keyakinan beliau kepada parti,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, meskipun Ismail Sabri bukanlah presiden parti, namun ucapannya berjaya menarik perhatian ramai pihak serta meredakan keresahan yang ada dalam kalangan ahli parti.
“Ucapan perdana menteri lebih kepada perkara yang realistik, lebih bercakap soal kepentingan rakyat dan banyak cerita feel good… itu yang nak didengar oleh rakyat,” katanya.
Pandangan serupa turut dikongsi Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff yang menyifatkan ucapan Ismail Sabri berjaya menepis segala prasangka terhadap dirinya dan telah membuktikan bahawa kerajaan yang diterajuinya sebenarnya sentiasa bergerak seiring dengan parti.
“Contohnya isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pembubaran Parlimen, sukar untuk pertikai komitmennya sebagai perdana menteri dan naib presiden sehinggakan diberikan tepukan gemuruh di dalam dewan, malah ucapan dan pengumuman dibuat itu turut disambut baik timbalan presiden dan presiden,” katanya. – Bernama
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929
CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]
Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda
Baca Artikel Menarik:
- Zahid beri bayangan calon PRU-15 70% adalah muka baharu
- Tidak akan sertai UMNO, tidak menyimpan dendam pada Hadi
- Pembangkang bergabung dengan PN, bolehkah DAP terima Pas?
- PRU-15: Saya takkan tunggu sesaat untuk bubar jika dipersetujui parti – Ismail Sabri
- PM umumkan gaji minima RM1,500 akan bermula 1 Mei 2022
- Buku Tommy Thomas: PM janji ambil tindakan
- Hadi, Amar & Sanusi, 3 jahanam bermulut jahat dalam PAS – UMNO Kelantan
- AstraZeneca hasilkan ubat pertama cegah Covid-19
- Ismail Sabri komited laksana program basmi miskin tegar
- Muafakat Nasional masih relevan atau tidak jawapan ada pada PAS
- Rafizi dan Izzah bergabung pimpin PKR
- Pemandu jengkaut ‘bertarung’ 15 minit tewaskan sawa gergasi
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
TERKINI: Komando GGK patahkan cubaan ‘pengganas’ tawan stesen MRT Cheras
You must be logged in to post a comment.