KWSP umum dividen konvensional 6.10 peratus, syariah 5.65 peratus

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen sebanyak 6.10 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.65 peratus untuk Simpanan Syariah bagi tahun 2021.

Ia lebih tinggi berbanding 2020, yang mana dividen bagi Simpanan Konvensional sebanyak 5.20 peratus dan 4.90 peratus untuk Simpanan Syariah.

Jumlah pengagihan terkumpul bagi 2021 adalah RM56.72 bilion, iaitu RM50.45 bilion untuk Simpanan Konvensional dan RM6.27 bilion lagi untuk Simpanan Syariah

Dividen itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada taklimat prestasi kewangan KWSP sini, hari ini.

Pada 2021, KWSP mencatatkan caruman bersih negatif (caruman setelah mengambil kira pengeluaran) untuk pertama kalinya dalam tempoh 20 tahun sebanyak RM58.2 bilion, namun ia tetap teguh dan berhemat dalam strategi pelaburan jangka panjangnya, selain menyesuaikan diri terhadap cabaran dalam memastikan pulangan mampan jangka panjang.

KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM67.06 bilion, di mana RM6.91 bilion diperuntukkan kepada Simpanan Syariah.

Prestasi yang membanggakan itu adalah hasil pendekatan kepelbagaian portfolio yang berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA), yang memastikan KWSP bertahan terhadap kejutan kewangan serta kekal stabil dalam situasi yang tidak dijangka.

Berdasarkan kelas aset, instrumen Pendapatan Tetap merangkumi 45 peratus daripada pelaburan, manakala Ekuiti 44 peratus, Hartanah dan Infrastruktur serta instrumen Pasaran Wang masing-masing adalah enam dan lima peratus.

Pemulihan pasaran yang berterusan sepanjang 2021, terutama dalam pasaran maju, menyumbang kepada portfolio ekuiti tersenarai KWSP dan menyediakan peluang kepada dana persaraan ini untuk merealisasikan keuntungan.

Ekuiti, khususnya ekuiti tersenarai luar negara yang merekodkan pulangan pelaburan (ROI ) sebanyak 10.44 peratus, terus menjadi penyumbang pulangan utama.

Jumlah pendapatan bagi kelas aset Ekuiti adalah sebanyak RM38.93 bilion, atau 58 peratus daripada keseluruhan pendapatan kasar KWSP.

Portfolio ekuiti persendirian juga menunjukkan prestasi yang baik, merekodkan pulangan pelaburan sebanyak 19.01 peratus.

Untuk kesihatan jangka panjang, KWSP mengambil langkah berhemat untuk turun nilai kos sebanyak RM1.15 bilion daripada portfolio ekuiti tersenarai pada 2021, lebih rendah daripada RM7.71 bilion turun nilai kos yang dicatatkan pada 2020, selaras dengan pemulihan dalam pasaran ekuiti.

Dengan hampir separuh jumlah peruntukan aset KWSP adalah dalam instrumen Pendapatan Tetap, merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf, serta Pinjaman dan Bon, KWSP dapat mengekalkan pulangan yang stabil.

Pendapatan daripada portfolio berkenaan menyumbang sebanyak RM19.50 bilion, atau 29 peratus daripada jumlah pendapatan kasar KWSP.

Pendapatan portfolio Hartanah dan Infrastruktur sebanyak RM7.69 bilion terus memainkan peranan sebagai pelindung nilai terhadap inflasi dengan pulangan pelaburan sebanyak 6.53 peratus.

Ini adalah 1.84 peratus melebihi pulangan pelaburan instrumen Pendapatan Tetap sebanyak 4.69 peratus, manakala pendapatan daripada instrumen Pasaran Wang merekodkan RM940 juta.

Aset luar negara KWSP adalah penyumbang kritikal kepada prestasi keseluruhan, di mana kepelbagaian kelas aset, pasaran dan mata wang memberikan kestabilan kepada pendapatan dan nilai tambah kepada keseluruhan pulangan KWSP.

Setakat Disember 2021, sekitar 37 peratus daripada aset pelaburan KWSP adalah di luar Malaysia dan merentasi pelbagai kelas aset.

Keseluruhan aset pelaburan meningkat 0.8 peratus kepada RM1.01 trilion daripada RM1.00 trilion pada 2020.

Jumlah keahlian setakat Disember 2021 meningkat sebanyak dua peratus kepada 15.2 juta, manakala majikan yang berdaftar dengan KWSP adalah berjumlah 553,000.

Dengan purata dividen sebenar tiga tahun selepas pelarasan terhadap inflasi sebanyak 4.91 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 4.51 peratus untuk Simpanan Syariah, KWSP melangkaui sasaran strategiknya untuk mengisytiharkan purata dividen sebenar sekurang-kurangnya 2.00 peratus dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.

KWSP umum dividen konvensional 6.10 peratus, syariah 5.65 peratus

 


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Empat Sekeluarga Maut, Nahas 2 Kenderaan Kemalangan Di Lebuhraya Sultan Iskandar [VIDEO]

Fitnah keji, Zahid telah hantar surat saman pada Mahathir dan Muhyiddin

Zul Yahya bodohkan KJ (Video)

PRN Johor: Pengundi Cina Mula Tinggalkan DAP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker