Khalid Samad bidas Mufti Perlis

Di negara kita ini – malangnya – hampir semua isu hendak dipolitikkan. Ketika itu akan dimunculkan jaguh untuk isu-isu tersebut dan persoalan yang rumit, dirumitkan lagi demi kepentingan kelompok dan peribadi tertentu.

Isu berhubung Loh Siew Hong dan tiga anaknya yang telah diislamkan secara sebelah pihak (ex-parte) oleh bekas suami kepada ibu tunggal itu merupakan contoh terbaru.

Baru-baru ini saya menerima klip video bertajuk “Ada juga pemimpin Amanah menyokong budak-budak ini murtad” dengan gambar Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil, dan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin di paparan luarnya.

Video tersebut mengandungi ucapan Mohd Asri berkaitan isu pengislaman dan hak penjagaan tiga anak kepada ibu tunggal terbabit.

Dalam video itu, Mohd Asri mendakwa ada kalangan orang Islam bersekongkol untuk membenarkan kanak-kanak itu dimurtadkan. Dia mendakwa pihak terbabit bersikap “tidak mengapa kalau budak-budak ini dimurtadkan pun.”

Saya sedar mungkin mufti itu tidak terlibat dalam menetapkan tajuk dan foto pada paparan awal video tersebut. Namun rujukan dalam ucapannya kepada “[…] kononnya kami Islam rahmah […]” telah mengaitkan secara sinis Amanah yang menggunakan slogan “Islam rahmatan lil alamin”.

Sepanjang saya meneliti pelbagai pandangan dan kenyataan pimpinan Amanah – bahkan daripada kalangan pemimpin politik lain, pemimpin masyarakat dan ahli akademik berkaitan isu ini – perbahasan yang dikemukakan banyak berkisar tentang persoalan undang-undang berhubung pendaftaran anak-anak itu sebagai seorang Muslim.

Pandangan dari undang-undang

Tiada walau seorang pun yang berkata “tidak mengapa mereka dimurtadkan” seperti didakwa Mohd Asri. Saya harap dia boleh membantu dengan memberikan bukti terhadap tuduhan berat yang dibuatnya.

Saya pun nak tahu siapa yang mengatakan: “tak apa mereka dimurtadkan” itu.

Oleh kerana telah ada keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa pertukaran agama secara sebelah pihak bagi anak di bawah umur adalah tidak sah, maka tindakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis telah dicabar oleh Loh.

Dia melakukan tindakan tersebut demi mendapat hak penjagaan terhadap anak-anaknya.

Adalah tidak adil untuk Mohd Asri menganggap mereka yang memberi pandangan tentang kedudukan undang-undang sedia ada dalam kes seperti ini sebagai menyokong anak-anak itu dimurtadkan.

Apatah lagi, amat tidak wajar untuk mufti terbabit terjerumus dalam langkah mengkafirkan rakan seagama kerana beranggapan mereka itu bersekongkol dalam membenarkan anak-anak Loh dimurtadkan.

Seterusnya Mohd Asri menyimpulkan isu itu dengan berkata, sesiapa yang bersekongkol dengan kekufuran menentang Islam mereka termasuk di kalangan orang “kuffar” itu.

Sedangkan yang dilakukan adalah menjelaskan kedudukan perundangan berhubung persoalan ini, bukan memihak kepada sesiapa.

Janganlah dalam usaha ingin mempertahanlan akidah seorang Muslim, kita dengan sewenang-wenangnya mengkafirkan pula saudara Islam kita yang lain tanpa hak. Inilah bahaya sekiranya kita mengheret isu ini di luar konteks dan memainkan sentimen agama.

Di pihak satu lagi muncul pula jaguh-jaguh yang ingin mengeruhkan lagi suasana. Mereka menuduh anak-anak terbabit kononnya diculik dan dipaksa memeluk agama Islam.

P Ramasamy menjadi jaguh di pihak satu lagi dan tindakannya itu hanya meningkatkan lagi suhu perbalahan isu ini.

Beri keadikan, hak ikut perlembagaan

Dakwaan Ramasamy itu sebenarnya sama saja ekstremnya dengan dakwaan Mohd Asri. Justeru masyarakat dinasihat agar tidak terpengaruh dengan kedua-dua pihak.

Sebaliknya, biarlah mahkamah menjalankan tugasnya tanpa tekanan mahu pun ugutan, seterusnya kepentingan semua pihak dijaga dalam kerangka perundangan dan perlembagaan.

Seharusnya kita berbincang bagaimana untuk menambah nilai peruntukan undang-undang yang ada untuk memberikan keadilan kepada hak anak-anak terbabit untuk berpegang kepada keyakinan dan kepercayaan mereka dan pada masa sama, keadilan untuk seorang ibu ke atas anak-anak mereka dijamin.

Sebaik-baiknya janganlah diperlihatkan Islam sebagai agama yang menginginkan seseorang ibu dipisahkan dengan anak-anaknya. Jika kita gagal melakukan hal ini, kesannya ialah, Islam akan semakin dilihat kejam sedangkan hakikatnya tidak begitu sama sekali.

Langkah terbaik ialah kita membiarkan keluarga keluarga yang terpisah itu disatukan secara hak, sambil dizahirkan kasih sayang terhadap semua yang terlibat.

Loh sebagai ibu tunggal pasti perlukan sokongan dan bantuan. Dengan pendekatan “Islam rahmatan lil aalamiin” kita mampu memikat hati semua pihak yang terlibat.

Pendekatan ini perlu dilakukan dalam kerangka perundangan dan perlembagaan, dan semestinya adalah lebih menarik berbanding ‘Islam bengis’ tajaan golongan tertentu.

Khalid Samad bidas Mufti Perlis


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Cecair Hitam, Busuk Keluar Daripada Paru-Paru Kanak-Kanak Positif COVID19

Dakwaan petunjuk baharu MH370

Encik Sajat kini wanita sah di Australia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker