Datuk Seri berimej warak rupanya scammer skim pelaburan
Shah Alam: Berperwatakan menarik dan warak. Itu imej yang ditonjolkan seorang lelaki bergelar Datuk Seri bagi menjerat lebih ramai pelabur menyertai skim pelaburan saham yang ditawarkan dengan dividen empat peratus setiap bulan.
Malah, lelaki berusia 40-an itu turut menyediakan bunga serta coklat selain layanan tip top kepada setiap pelabur yang datang ke pejabatnya yang terletak di Desa City Park di sini.
Menceritakan pengalamannya bertemu lelaki terbabit, seorang ahli perniagaan yang mahu dikenali sebagai Ismail, 60-an, menyifatkan Datuk Seri itu sebagai seorang yang warak.
“Saya mula menyertai pelaburan itu pada November 2020 melalui ejen dengan jumlah pelaburan mencecah RM340,000 kerana tertarik dengan dividen ditawarkan iaitu empat peratus setiap bulan.
“Sewaktu saya berjumpa dengan Datuk Seri itu di pejabatnya untuk menandatangani perjanjian, dia dilihat sangat ramah dan baik apabila memberikan coklat serta bunga kepada kami.
“Malah, kami sempat sembahyang berjemaah di pejabatnya. Melihat kepada layanannya, saya sama sekali tidak menjangkakan akan ditipu lelaki terbabit,” katanya ditemui di Bukit Jelutong di sini.
Ismail berkata, dia mula mengesyaki sesuatu apabila permohonannya mendapatkan modal pelaburan yang genap setahun November tahun lalu tidak diberikan atas pelbagai alasan.
“Bermula daripada November 2020 hingga Disember tahun lalu, dividen empat peratus diperoleh mengikut masa dijanjikan. Namun, menjelang Januari lalu, kami (pelabur) mula tidak menerima dividen dijanjikan.
“Malah, ejen memaklumkan Datuk Seri terbabit tidak dapat dihubungi dan kami hanya dimaklumkan penutupan operasi syarikat melalui memo dikeluarkan baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman dilalui itu menyebabkannya berasa serik untuk melabur memandangkan itu kali pertama dia menyertai pelaburan saham.
“Pada asalnya, tujuan saya menyertai pelaburan adalah untuk mendapatkan perolehan lain melalui wang berkenaan yang juga hasil simpanan dan wang persaraan daripada ia dibiarkan begitu sahaja di dalam bank.
“Namun, apa yang berlaku ini menyebabkan saya serik untuk menyertai pelaburan lagi selepas ini. Biarlah pengalaman ini menjadi yang pertama dan terakhir untuk saya,” katanya.
Seorang lagi pelabur yang mahu dikenali sebagai Taufiq, 48, berkata, dia kini dibelenggu rasa bersalah apabila sebahagian daripada wang pelaburannya dengan lelaki terbabit berjumlah RM300,000 yang dilaburkan pada April tahun lalu adalah milik sebuah pusat tahfiz di Puchong.
“Saya adalah salah seorang pemegang amanah bagi pusat tahfiz berkenaan dan atas perbincangan bersama dengan pihak pengurusan, kami bersetuju untuk membuat pelaburan bagi mendapatkan perolehan untuk membantu kos operasi pusat tahfiz berkenaan setiap bulan melalui dividen diterima.
“Selain itu, saya turut menggunakan wang simpanan untuk syarikat saya miliki dalam pelaburan itu atas dasar kepercayaan kepada ejen dengan mula melabur RM100,000 yang ditambah sehingga RM300,000,” katanya.
‘Tarik 70 pelanggan labur RM10 juta’
Subang: Lebih 100 individu kerugian hampir RM22 juta selepas gagal mendapatkan pulangan dijanjikan hasil pelaburan di sebuah syarikat pelaburan saham milik individu bergelar Datuk Seri.
Ia membabitkan pelabur dibawa masuk dua ejen atau perunding kewangan syarikat berkenaan dalam tempoh kira-kira setahun.
Bagaimanapun, jumlah mangsa dan kerugian mungkin lebih besar kerana ramai lagi yang belum tampil membuat aduan berkaitan perkara terbabit.
Kegiatan Datuk Seri berusia 40-an terbabit didedahkan seorang daripada ejen pelaburan yang mahu dikenali sebagai Azizah.
“Sepanjang lebih 16 tahun berkecimpung dalam bidang ini sebagai perunding kewangan, ini kali pertama saya merasa tertipu hingga menyebabkan lebih 70 pelanggan mungkin menanggung kerugian pelaburan hampir RM10 juta,” katanya.
Azizah, 40-an, berkata, dia mengenali lelaki itu menerusi rakannya pada Januari tahun lalu.
“Pada awal pertemuan kami, Datuk Seri itu memberikan tanggapan pertama yang baik apabila membawa bersama peguamnya untuk meyakinkan saya bahawa pelaburan saham dijalankannya adalah sah dan benar-benar genuine dengan menawarkan dividen empat peratus setiap bulan.
“Dia (Datuk Seri) melayan kami (ejen) dengan sangat baik, malah turut menganjurkan sambutan hari lahir saya pada Oktober lalu. Melihat kepada kebaikannya, saya menguar-uarkan mengenai pelaburan itu kepada pelanggan.
“Dalam tempoh setahun lebih saya menjadi ejen di syarikatnya, saya berjaya menarik lebih 70 pelanggan dengan pelaburan hampir RM10 juta selain saya sendiri melabur RM400,000,” katanya ditemui di bandar Sunway di sini.
Azizah berkata, dia mula bimbang apabila dividen yang sepatutnya diterima pada Januari lalu tidak dikreditkan ke akaun bank pelabur seperti dijanjikan.
Terima 9 laporan babit kerugian RM1.5 juta
Kuala Lumpur: Polis menerima sembilan laporan berhubung kes penipuan pelaburan saham dipercayai didalangi seorang lelaki bergelar Datuk Seri sehingga kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, semua laporan polis berkenaan membabitkan kerugian kira-kira RM1.5 juta.
“Setakat ini, kami menerima sembilan laporan berkaitan kes penipuan pelaburan saham dipercayai didalangi lelaki terbabit.
“Laporan (polis) terkini yang kami terima dibuat oleh seorang wanita tempatan yang bekerja sebagai perunding membabitkan kerugian RM547,000,” katanya dihubungi.
Eng Lai berkata, pihaknya dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sedang mengesan suspek yang sudah menghilangkan diri.
“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan dan kami giat mengesan suspek.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420, Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan penipuan,” katanya.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan.
“Lazimnya, imbuhan pelaburan yang menarik adalah perangkap digunakan sindiket bagi menjerat mangsa.
“Justeru, siasat terlebih dahulu apabila mahu membuat keputusan untuk membuat pelaburan sebelum terlambat (kerugian),”
Datuk Seri berimej warak rupanya scammer skim pelaburan
Baca Artikel Menarik:
- Najib bidas PH dan PN, pengurusan ekonomi ke laut, hanya tahu ‘gali lubang tutup lubang’
- Pas jangan jadi pak turut – Khairuddin
- Bila Mahathir 2.0 Buka Mulut
- Tak pernah minta Muhyiddin campur tangan kes saya
- PRN Johor: Pembangkang mahu buat ‘come back’? Rakyat sudah taubat
- Remaja Lelaki Ditahan Rogol Kekasih Hingga Hamil
- Tuduhan melampau – Ebit Lew
- Penguasa SPRM dipenjara 3 tahun, 2 sebatan seleweng RM25j
- Tragedi Rayan ‘Berulang’ Di Afghanistan, Doa Malaysia Buat Haidar [VIDEO]
- Zahid Minta Hati-hati Penyebaran Varian Baharu ‘Taksub Kluster Mahkamah’ Selain Dari COVID
- KJ Bakal Jadi Presiden Parti BEBAS ?
- Pembantu speaker DUN dipenjara 30 bulan atas kesalahan mencabul
- Murid enggan ke sekolah bongkar amang seksual guru
- Pengantin baharu, bapa mertua paut tiang Jambatan Pulau Pinang
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.