Persamaan PRN Melaka dan Johor
BERBAKI seminggu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula, spekulasi dan ramalan siapa akan memenangi PRN itu sudah hangat dibincangkan.
Mungkin terlalu awal meramal siapa akan menang tetapi angkubah untuk membacanya sudah ada. Paling senang adalah melihat pola pengundian PRN Melaka dan mengaplikasikannya di Johor.
Ada beberapa faktor yang mungkin boleh menjadi angkubah tersebut. Namun, ia boleh dilihat melalui pola pengundian pada PRN Melaka. Dalam perbincangan ini, tiga pola demografi pengundi akan dilihat. Pertama, kawasan pengundi Melayu tinggi (melebihi 70 peratus), kedua – kawasan pengundi Melayu sederhana tinggi (50-69 peratus) dan ketiga – kawasan pengundi Melayu rendah (di bawah 50 peratus).
Daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), 13 DUN mencatatkan pengundi Melayu melebihi 70 peratus yang bertumpu di kawasan luar bandar dalam Parlimen Alor Gajah dan Jasin.
DUN itu ialah Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Durian Tunggal, Sungai Udang, Pantai Kundor, Ayer Molek, Telok Mas, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.
Ia kubu kuat UMNO-Barisan Nasional (BN). Kemampuan Pakatan Harapan (PH) menang dua kerusi ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) DUN Telok Mas dan Durian Tunggal menjadi pemangkin kepada kejatuhan BN.
Namun, secara keseluruhan ia masih berpihak kepada BN. Buktinya pada PRN Melaka, dua kerusi itu kembali dimenangi BN walaupun terlepas satu kerusi (DUN Sungai Udang) kepada Bersatu.
Kedua, 10 DUN mencatatkan pengundi Melayu sederhana tinggi (sekitar 50-69 peratus) yang bertumpu di kawasan separa bandar – Rembia, Gadek, Asahan, Paya Rumput, Kelebang, Pengkalan Batu, Bukit Katil, Duyong, Bemban dan Rim.
Kerusi-kerusi itu sangat signifikan dalam menentukan kemenangan parti bertanding. Ketiga, lima DUN mencatatkan pengundi Melayu rendah (bawah 50 peratus) yang bertumpu di kawasan bandar – Machap Jaya, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.
Kawasan itu kubu kuat PH terutama DAP. Pada PRU14, kesemua kerusi itu dimenangi PH, namun pada PRN lalu, BN menerusi MCA merampas semula kerusi Machap Jaya tetapi secara umum, kerusi tersebut masih ampuh buat PH.
DEMOGRAFI
Jadi, apakah yang boleh dipelajari daripada fakta tersebut? Pertama, BN dan PH ada kekuatan tersendiri dalam segmen pengundi di luar bandar dan bandar.
Demografi pengundi di Johor yang seimbang antara luar bandar dan bandar mengambil kira kawasan tersebut kubu tradisi UMNO dan DAP, maka medan pertempuran (battlefield) sebenar akan berlaku di kawasan separa bandar.
Untuk rekod, di Johor ketika ini pakatan kerajaan (BN dan PN) mempunyai 11 kerusi selamat (menang dengan 56 peratus undi dan ke atas) berbanding 16 PH. Baki selebihnya masih terbuka dengan pakatan kerajaan memiliki 19 kerusi ‘menang tipis’ dengan pecahan BN (12), PN (6) dan Bebas (1) berbanding PH memiliki 11 kerusi.
Penguasaan kawasan campuran (bandar dan separa bandar) yang pengundi Melayunya sederhana tinggi (sekitar 50-69 peratus) menjadi faktor kemenangan BN pada PRN Melaka dan PH ketika PRU14.
Dengan jumlah kerusi sebegini lebih besar di Johor berbanding di Melaka, parti mana yang menguasainya berpotensi membentuk kerajaan. Cumanya faktor semasa – peningkatan Covid 19, penutupan sempadan, pertambahan pengundi, Undi18 – juga akan mempengaruhi keputusan.
Jika Melaka menjadi persampelan, maka jumlah keluar mengundi di Johor mungkin mempengaruhi keputusan kerana jelas jika peratusan rendah, undi akar umbi menjadi rebutan. Maka, hayunan undi kelompok, sama ada Melayu atau bukan Melayu yang sedikit pun sudah cukup untuk mengubah keputusan.
Dengan undi dijangka terpecah disebabkan lebih banyak parti akan bertanding, apakah keadaan di Melaka akan berulang di Johor?
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Baca Artikel Menarik:
- Najib bidas PH dan PN, pengurusan ekonomi ke laut, hanya tahu ‘gali lubang tutup lubang’
- Pas jangan jadi pak turut – Khairuddin
- Bila Mahathir 2.0 Buka Mulut
- Tak pernah minta Muhyiddin campur tangan kes saya
- PRN Johor: Pembangkang mahu buat ‘come back’? Rakyat sudah taubat
- Remaja Lelaki Ditahan Rogol Kekasih Hingga Hamil
- Tuduhan melampau – Ebit Lew
- Penguasa SPRM dipenjara 3 tahun, 2 sebatan seleweng RM25j
- Tragedi Rayan ‘Berulang’ Di Afghanistan, Doa Malaysia Buat Haidar [VIDEO]
- Zahid Minta Hati-hati Penyebaran Varian Baharu ‘Taksub Kluster Mahkamah’ Selain Dari COVID
- KJ Bakal Jadi Presiden Parti BEBAS ?
- Pembantu speaker DUN dipenjara 30 bulan atas kesalahan mencabul
- Murid enggan ke sekolah bongkar amang seksual guru
- Pengantin baharu, bapa mertua paut tiang Jambatan Pulau Pinang
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.