Adakah kita perlu mengambil vitamin?

Adakah kita perlu mengambil vitamin?

Oleh DR. ISKANDAR MIRZA AMRAN

SEJAK kebelakangan ini, kita sering menerima maklumat terutamanya di media sosial yang menyarankan pengambilan multivitamin dalam kehidupan seharian.

Pelbagai manfaat multivitamin telah diiklankan antaranya dapat mengurangkan risiko untuk mengidap penyakit jantung, kanser dan dapat mengurangkan masalah kemerosotan kognitif.

Persoalan yang bermain di fikiran, adakah kita benar-benar perlu mengambil vitamin-vitamin ini?

Jika anda bertanya kepada doktor sama ada perlu atau tidak mengambil multivitamin, jawapan ringkas yang seharusnya dijawab adalah ia bergantung kepada kesihatan dan penyakit anda.

Tidak semua orang perlukan vitamin tambahan kerana ia boleh diperoleh daripada diet pemakanan harian yang cukup untuk memberikan nutrisi terbaik untuk badan kita.

Dalam hal ini, pelbagai kajian dilakukan untuk melihat keberkesanan multivitamin, antaranya kajian melibatkan 450,000 orang mendapati, multivitamin tidak mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit jantung atau kanser.

Selain itu, kajian mengenai kesihatan mental melibatkan 5,947 pesakit dalam masa 12 tahun menunjukkan, multivitamin tidak mengurangkan risiko untuk mendapat kemerosotan mental.

Turut dijalankan kajian membabitkan 1,708 pesakit yang mendapat serangan jantung, yang mana mereka diberi multivitamin dengan dos tinggi berbanding pesakit yang tidak mengambil vitamin selama 55 bulan.

Keputusan kajian menunjukkan, tiada sebarang perbezaan dari risiko untuk mendapat serangan jantung berulang, operasi jantung atau kematian terhadap dua kumpulan ini.

Pengkaji di seluruh dunia membuat kesimpulan, multivitamin tidak mengurangkan risiko untuk mendapat serangan jantung, kanser dan kemerosotan kognitif atau kematian.

Dalam kebanyakan kajian mendapati, vitamin seperti vitamin E dan beta karotina adalah berbahaya kepada kesihatan badan, lebih-lebih lagi jika diberikan pada dos tinggi.

Anda harus ingat, pil vitamin bukan jalan pintas untuk mengelakkan daripada mendapat penyakit kronik.

Makanan tambahan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) adalah lebih terbukti kajiannya dalam meningkatkan kesihatan tubuh seperti pengambilan makanan sihat, selain mengurangkan berat badan dan meminimumkan pengambilan lemak tepu, lemak trans, garam dan gula dalam pemakanan.

Jadi, siapakah yang memerlukan vitamin?

Pengecualian diberikan kepada beberapa individu yang memerlukan vitamin untuk memastikan kesihatan badan di tahap optimum disebabkan kurangnya vitamin dalam diet atau mereka mempunyai penyakit kronik yang mana vitamin dapat membantu untuk hidup lebih sihat.

Contoh terbaik adalah ibu hamil, mereka perlu mengambil vitamin asid folik untuk mengelak daripada mendapat masalah pembentukan saraf kepada bayi yang dikandung.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan agar semua wanita yang berkahwin atau di umur reproduksi perlu mengambil vitamin asid folik 400 mikrogram sehari.

Contoh lain adalah pesakit buah pinggang kronik yang mana mereka mempunyai masalah kekurangan sel darah merah atau hemoglobin.

Ini disebabkan pengurangan penghasilan hormon erythropoietin dalam badan yang sangat penting untuk penghasilan sel darah merah.

Untuk pesakit buah pinggang, mereka diberikan vitamin B12, asid folik, vitamin C dan zat besi bagi memastikan penghasilan darah merah pada tahap optimum.

Tidak dilupakan pesakit osteoporosis ataupun masalah tulang rapuh yang sangat kerap berlaku kepada pesakit wanita yang telah menopaus.

Mereka diberikan vitamin D bagi menguatkan tulang agar tidak mendapat penyakit osteoporosis.

Dalam pada itu, kebanyakan vitamin tidak memberi masalah kesihatan yang serius.

Bagaimanapun, adalah penting untuk kita sentiasa cakna denga apa diambil.

Kita perlu sentiasa bertanya kepada doktor sama ada vitamin yang diambil memberi kesan kepada kesihatan.

Ini kerana, sesetengah vitamin tidak sesuai untuk pesakit kronik seperti yang mempunyai penyakit hati atau kepada mereka yang melakukan pembedahan.

Kita juga perlu ingat, sesetengah vitamin yang dijual, kandungannya tidak dilabel dengan tepat.

Vitamin K akan mengurangkan keberkesanan ubat warfarin (pencair darah) dan ini membuatkan pesakit lebih senang untuk mendapat risiko darah beku.

Gingko yang meningkatkan keberkesanan ubat cair darah boleh membuat pesakit mendapat pendarahan dalam badan.

Beta karotina atau vitamin A pula boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru terhadap perokok.

Seeloknya, selalulah berbincang dengan doktor, pegawai farmasi atau pakar dietetik sebelum mengambil sebarang vitamin atau suplemen.

Tiada yang dapat menandingi pengambilan nutrien daripada pemakanan sihat. Suplemen atau vitamin tidak seharusnya dijadikan pengganti kepada makanan sebenar. K Online

DR. ISKANDAR MIRZA AMRAN
ialah Felo Kardiologi dan Pakar Perubatan
Dalaman, Institut Jantung Negara.

Adakah kita perlu mengambil vitamin?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Ibu Puteri Balqis hisap dadah, ini penjelasannya

Saman Ali Puteh terhadap balu Arwah Abam, keputusan Jumaat ini

BERSATU Memang Berhasrat Bunuh UMNO

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker