Lucut hak dan status Melayu

Gambar Hiasan***

PERTENGAHAN Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memutuskan antara lain sebahagian daripada pemohon dalam kes Maqsood Ahmad dan 38 lagi tidak tertakluk kepada perundangan Islam kerana mereka adalah pengikut ajaran Ahmadiyah yang difatwakan terkeluar daripada ajaran Islam bertarikh 22 Jun 1998.

Oleh itu, siasatan dan pendakwaan terhadap mereka di Mahkamah Syariah adalah terbatal. Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam sedang dirayu di Mahkamah Rayuan Putrajaya dan tarikh pendengaran masih belum ditetapkan.

Saya tidak berhasrat membincangkan tentang merit kes tersebut tetapi hanya memfokuskan berkaitan ramifikasi perundangan akibat daripada keputusan berkenaan kerana timbul beberapa persoalan daripada keputusan tersebut.

Persoalan kini, apabila pengikut ajaran Ahmadiyah mengaku bukan Islam dan mahkamah memerintahkan mereka tidak terikat dengan perundangan Islam sedemikian, adakah terdapat sebarang kesan dari sudut Perlembagaan terhadap mereka?



Kita semua tahu, bagi seseorang itu menjadi seorang Melayu terdapat syarat termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 160 yang menyebut: ‘Orang Melayu’ ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu dan:

(a) Yang lahir sebelum hari merdeka di Persekutuan atau Singapura atau lahir sebelum hari merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada hari merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura atau

(b) Ialah zuriat seseorang yang sedemikian.

Tafsiran ‘Orang Melayu’ sebagai Muslim sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan di atas telah mewujudkan saling kaitan yang rapat antara Melayu dan Islam di Malaysia.



Dari perspektif Perlembagaan, seseorang tidak lagi dianggap Melayu sekiranya beliau sudah keluar agama Islam. Hubungan erat Melayu-Islam, justeru sangat baik dalam mempertahankan akidah Islam orang Melayu.

Oleh itu, seorang yang tidak menganut agama Islam atau murtad, mereka tidak memenuhi ciri Melayu yang disebut oleh Perlembagaan Persekutuan.

Lantaran itu, pihak berwajib mesti menyiasat pihak-pihak terlibat dalam kes tersebut dan mereka yang mengaku menganuti bukan orang Islam dengan menganuti ajaran tersebut, sama ada mereka pernah menikmati keistimewaan sebagai seorang Melayu atau bumiputera.

Antara keistimewaan orang Melayu yang boleh disiasat ialah pemilikan tanah rezab Melayu, langganan Amanah Saham yang dikhususkan kepada bumiputera, diskaun harga jualan rumah, kuota kemasukan sekolah/universiti dan banyak lagi.



Jika mereka memilikinya dengan salah representasi sebagai seorang Melayu, keistimewaan itu perlu dilucutkan segera kerana mereka tidak lagi memenuhi kriteria sebagai seorang Melayu.

Dalam satu keadaan, mereka mengaku tidak beragama Islam dan undang-undang Islam tidak terpakai kepada mereka tetapi dalam keadaan lain, mereka menikmati keistimewaan sebagai orang Melayu, yang antara lain mensyaratkan mereka mestilah seorang Islam.

Ia bukanlah perkara remeh kerana disebut secara jelas dan terperinci dalam Perlembagaan Persekutuan. Bukan sahaja Majlis-Majlis Agama Islam negeri perlu memberi perhatian serius terhadap perkara itu, malah pihak berkuasa lain yang melaksanakan fungsi Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, segala keistimewaan mereka sebagai orang Melayu hendaklah dilucutkan. Persoalan itu perlu dijawab dengan tuntas oleh pihak berkuasa kerana golongan sebegini tidak boleh dibiarkan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Lucut hak dan status Melayu


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Resepi Mee Sup Pedas Cina, Bikin Terliur

Juri program ‘najis’, tak hadap kau sekolah tak? – Diva AA

Netizen terkejut tengok harga makanan kayangan di Tanjung Malim (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker