Siapakah ‘Little Napoleon’, fitnah dan kemungkaran organisasi yang dimaksudkan Khairuddin?



SHAH ALAM – Penggunaan perkataan ‘Little Napoleon’, fitnah dan kemungkaran organisasi oleh bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dalam lima hantaran Facebook peribadinya pada Khamis menjadi tanda-tanya sama ada ia merujuk kepada keputusan pengguguran beliau daripada jawatan parti itu.

Enam hantaran Facebook dinaikkan Mohd Khairuddin itu juga seolah-olah menjadi isyarat ‘rintihan’ hati beliau susulan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat memecat beliau daripada keanggotan Majlis Syura Ulama Pas berkuatkuasa pada Khamis.

Dalam hantaran pertama, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu mengingatkan pihak tertentu agar tidak menjadi autokratik dan jangan pula ada ‘Little Napoleon’ dalam mana-mana organisasi kerana tindakan itu akan merosakkan organisasi.

Jelas beliau, kuasa dikurniakan ALLAH SWT adalah digunakan bagi kepentingan ummah dan bukan untuk disalahgunakan untuk kepentingan peribadi atau kelompok.

Menerusi hantaran kedua dinaikkan tiga minit kemudian, Mohd Khairuddin menegaskan sebarang perbuatan menasabkan sesuatu perkataan kepada bukan empunyanya disifatkan satu fitnah yang disebut sebagai ‘iftira’ dalam baiah Nabi SAW dengan sahabat-sahabat dari Madinah.




Hantaran ketiga Mohd Khairuddin menjelaskan segala bentuk kemungkaran termasuk kemungkaran organisasi harus ditegur apabila organisasi ditadbir tidak mengikut aturan.

Hantaran keempat dan kelima bekas bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu pula menegur pihak tertentu agar tidak memalukan seseorang secara berulang selain mengingatkan setiap pemberitaan mesti diselidik dan jangan dibuat kesimpulan secara melulu.

“Setiap tuduhan perlukan pembuktian. Jangan jadi zalim menuduh tanpa bukti lalu disebarkan bagi merosakkan maruah dan reputasi.

“Kaedah Islam jelas, bukti didatangkan oleh orang yang mendakwa dengan seseorang tidak dianggap bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” ujar Mohd Khairuddin dalam hantaran kelimanya pada petang Khamis.

Hantaran FB pertama Khairuddin yang membangkitkan isu ‘Little Napoleon’ merupakan salah satu darpada lima hantaran berturut-turut yang seolah-olah merujuk isu pemecatan beliau sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama.




Pada Jumaat, Naib Presiden Pas, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah menjelaskan keputusan pengguguran Mohd Khairuddin daripada jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama dimuktamadkan setelah beliau sebelum ini dipecat daripada Ahli Jawatankuasa Pas Pusat pada 12 Januari lalu.

Ujar Timbalan Menteri Besar Kelantan itu, status pelantikan Mohd Khairuddin sebagai AJK Pas Pusat sebelum ini adalah di bawah kuasa prerogatif Presiden parti dan disokong Jawatankuasa Pas Pusat susulan beliau kalah bertanding pada Muktamar Pas tahun lalu.

Justeru, Nik Mohd Amar merumuskan apabila Mohd Khairuddin dipecat sebagai AJK Pas Pusat, secara automatiknya beliau bukan lagi menjadi Ahli Majlis Syura Ulama atau menyandang sebarang jawatan dalam badan tertinggi Pas itu.

Pada 12 Januari lalu, Mohd Khairuddin digugurkan sebagai AJK Pas selepas kira-kira dua bulan dilantik memegang jawatan itu.

Berikutan itu, Mohd Khairuddin kini hanya ahli biasa Pas tanpa memegang jawatan tertinggi dalam parti.




Mohd Khairuddin sebelum ini tersingkir ketika pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas bagi sesi 2021-2023 yang dijalankan ketika Muktamar Tahunan Pas Ke-67 pada 7 November lalu.

Sebelum ini, Mohd Khairuddin turut digugurkan daripada jawatan menteri dan digantikan oleh seorang lagi Naib Presiden Pas, Senator Datuk Idris Ahmad yang kemudiannya dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Sementara itu, Mohd Khairuddin sewaktu dihubungi Sinar Premium hanya memaklumkan beliau akan memberi maklum balas berkenaan isu pemecatan jawatan dalam Pas dalam masa terdekat.

“Nanti saya respons,” katanya dalam satu mesej kiriman Whatsapps.


Baca Artikel Menarik:




Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Resepi Mee Sup Pedas Cina, Bikin Terliur

Juri program ‘najis’, tak hadap kau sekolah tak? – Diva AA



Leave a Reply

Your email address will not be published.