PH tawar maksimum 4 kerusi DUN kepada Muda?

DI saat penentuan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal dimuktamadkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu, desas-desus kerjasama politik Pakatan Harapan (PH) dengan Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) bakal disahkan pada hari yang sama juga semakin kuat kedengaran.

Terkini, terdapat sumber dalaman Pakatan Harapan (PH) memaklumkan kepada Sinar Premium bahawa satu mesyuarat Majlis Presiden PH yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP bakal diadakan pada Rabu bagi memutuskan segala ketetapan berkaitan kerjasama dengan Muda, termasuk isu agihan kerusi.

Lebih menarik, pucuk kepimpinan PH juga difahamkan sedang mempertimbangkan jumlah sebenar kerusi PRN Johor bakal diserahkan kepada Muda.

Hal ini susulan parti baharu semakin menonjol itu telah mengemukakan cadangan angka dan senarai nama calon kepada ketiga-tiga parti dalam PH.

“Presiden Muda (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) telah mengadakan pertemuan dengan ketiga-tiga pucuk kepimpinan parti dalam PH, dimulai dengan Timbalan Presiden Amanah (Datuk Seri Salahuddin Ayub), Setiausaha Agung DAP (Lim Guan Eng) dan terakhir Presiden PKR iaitu Datuk Seri Anwar (Ibrahim) sebelum ini.

Majlis Presiden PH dijangka bermesyuarat khas pada Rabu bagi memutuskan status kerjasama dengan Muda termasuk keputusan pengagihan kerusi PRN Johor kepada parti itu.

“Dalam pertemuan itu, Syed Saddiq memaklumkan Muda mahu bertanding lima hingga 10 kerusi DUN dengan beliau turut mengemukakan senarai nama calon untuk bertanding termasuk pencalonan beberapa golongan profesional muda.

“Berikutan itu, satu mesyuarat Majlis Presiden PH akan diadakan pada Rabu bagi memuktamadkan perkara berkenaan. Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan Majlis Presiden PH hanya akan menawarkan maksimum satu hingga empat kerusi DUN sahaja kepada Muda,” kata sumber pemimpin PH berkenaan kepada Sinar Premium pada Selasa.

Mengulas lanjut, sumber pemimpin PH berkenaan menegaskan alasan PH mungkin sekadar membenarkan Muda bertanding maksimum empat kerusi DUN disebabkan parti itu tidak memiliki jentera pilihan raya selain calon-calon diketengahkan memerlukan sokongan tambahan daripada kepimpinan PH Johor.

Difahamkan, Muda sedang mengintai peluang untuk bertanding di DUN Maharani dan Pulai Sebatang yang ditandingi Amanah, DUN Penggaram dan Tiram (PKR) serta beberapa DUN ditandingi DAP.

Bagaimanapun, sumber itu menjelaskan segala keputusan berkenaan adalah bergantung kepada kesanggupan setiap parti dalam PH untuk mengorbankan kerusi DUN dipersetujui diagihkan menerusi rundingan pembahagian kerusi pilihan raya oleh PH Johor sebelum ini.

“Sebelum ini, PH Johor sudah memuktamadkan agihan bilangan kerusi PRN Johor dengan Amanah dan PKR masing-masing bakal bertanding 20 kerusi DUN, manakala DAP (16 kerusi).

“Justeru, sekiranya PH mahu menyerahkan sebilangan kerusi pilihan raya kepada Muda, maka keputusan itu terletak di atas kesanggupan setiap parti dalam PH untuk ‘mengorbankan’ kerusi DUN ditandingi mereka, bukannya berasaskan arahan muktamad Majlis Presiden PH,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad sewaktu dihubungi menegaskan status kerjasama politik di antara PH dan Muda sebenarnya sudah diputuskan sebelum ini menerusi inisiatif pendekatan ‘khemah besar pembangkang’.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Shah Alam enggan mengulas lanjut mengenai cadangan bilangan kerusi DUN yang bakal diagihkan parti-parti dalam PH kepada Muda walaupun mengesahkan satu mesyuarat Majlis Presiden PH akan diadakan bagi membincangkannya.

“Kerjasama dengan Muda sudah diputuskan sebelum ini. (Menerusi) Khemah Besar (Pembangkang).

“(Berkenaan persetujuan bilangan agihan kerusi PRN Johor kepada Muda) Tunggu mesyuarat (Majlis Presiden PH). Satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan,” kata Khalid secara ringkas melalui pesanan aplikasi Whatsapps.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Muda, Zaidel Baharuddin menegaskan sebarang urusan perbincangan di antara PH dan Muda terutama dalam urusan pembahagian kerusi pilihan raya adalah di bawah bidang kuasa Presiden parti itu iaitu Syed Saddiq.

Selain menggunakan strategi dua lambang pilihan raya berbeza, PKR dan PH turut berharap satu kerjasama khemah besar pembangkang dapat dicapai pada PRN Johor.

Jelasnya, beliau juga tidak mengetahui sama ada Majlis Presiden PH akan mengadakan mesyuarat khas pada Rabu bagi membincangkan status kerjasama dengan Muda.

“Soal sama ada parti-parti dalam PH akan adakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan status kerjasama dengan kami, saya tidak boleh jawab kerana itu urusan mereka.

“Mengenai jumlah kerusi DUN yang sedang dibincangkan untuk diserahkan PH kepada Muda, saya kena rujuk dahulu dengan Presiden parti kerana urusan itu dikendalikan beliau.

“Bagi Muda, perkara paling penting adalah kami menumpukan gerak kerja di peringkat akar umbi bagi menghadapi PRN Johor. Yang pasti, kita sudah bersiap sedia menampilkan calon berintegriti, profesional dan berjiwa rakyat kerana rakyat Johor memerlukan pembaharuan politik,” ujar Zaidel lagi.

PH tawar maksimum 4 kerusi DUN kepada Muda?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Resepi Mee Sup Pedas Cina, Bikin Terliur

Juri program ‘najis’, tak hadap kau sekolah tak? – Diva AA

Netizen terkejut tengok harga makanan kayangan di Tanjung Malim (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker