Hanya proklamasi darurat boleh tangguhkan PRN Johor

PRN Johor 12 Mac

SHAH ALAM – Gelombang Omicron yang mencetuskan bilangan positif lima angka sejak Ahad lalu menimbulkan tanda tanya adakah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor boleh ditangguhkan sama seperti yang berlaku di Sarawak tahun lalu.

Di Sarawak misalnya, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharan Proklamasi Darurat bermula 2 Ogos hingga 2 Februari 2022 sekali gus menyebabkan PRN ke-12 (PRN12) Sarawak terpaksa ditangguhkan daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

Dan pada 4 November tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menamatkan Proklamasi Darurat di Sarawak, membolehkan PRN di negeri itu dilaksanakan.



Perkenan Seri Paduka Baginda terhadap penamatan Proklamasi Darurat berkenaan selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Oleh sebab itu, pakar Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, PRN Johor boleh ditangguhkan sekiranya melibatkan Yang di-Pertuan Agong melalui pengisytiharan proklamasi darurat sama seperti yang dilaksanakan di Sarawak.

Katanya, jika tiada darurat, peraturan mengenai PRN mesti dibuat dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang termaktub dalam Akta Pilihan Raya dan juga dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perlembagaan Negeri Johor.

“PRN Johor hanya boleh ditangguh sekiranya proklamasi darurat diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang pernah berlaku pada PRN Sarawak tahun lalu akibat wabak Covid-19.



“Walaupun kes tinggi, PRN mesti berjalan seperti biasa kerana tiada undang-undang yang boleh menghalang pilihan raya kecuali diisytiharkan darurat dan ditubuhkan atau dikeluarkan satu ordinan dari YDPA untuk menangguhkan PRN Johor,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Untuk rekod, penggal DUN Sarawak telah tamat pada 6 Jun tahun lalu namun pembubaran DUN ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 Sarawak.

Bagaimanapun, sekiranya PRN Johor tetap diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan, Nik Ahmad Kamal berkata, peratusan bilangan keluar mengundi akan rendah menyamai peratusan di PRN Melaka dan Sarawak.

“Saya rasa prosedur operasi standard (SOP) untuk PRN kali ini akan diperketatkan lagi cuma kita akan lihat kehadiran pengundi itu akan lebih kurang berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 atau lebih rendah dari PRN Melaka tahun lalu.



“Ini kerana pastinya orang ramai akan risau untuk keluar mengundi dengan kes Covid-19 semakin tinggi jadi mungkin bilangan pengundi yang datang berkurang,” katanya.

PRN Melaka jumlah individu keluar mengundi adalah seramai 326,068 atau 65.85 peratus daripada keseluruhan 495,195 pengundi berdaftar di Melaka, manakala PRN Sarawak pula Seramai 759,627 orang atau 60.67 peratus

Pada 7 Januari lepas, Johor yang bakal mengadakan PRN tidak lama lagi, menjadi negeri ketiga tertinggi yang merekodkan kes baharu positif Covid-19 dengan 1,369 kes selepas Selangor dan Sabah.

Namun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, PRN Johor boleh diteruskan berikutan pesakit Covid-19 yang dijangkiti varian Omicron tidak menunjukkan kesan teruk berbanding varian Delta.



Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, selain peningkatan kes Covid-19, antara faktor yang boleh membunuh motivasi rakyat untuk pulang mengundi adalah pertambahan pengundi baharu.

“Kita lihat dari faktor pertambahan pengundi muda. Apabila bilangan pengundi muda bertambah secara automatik, peratusan mengundi boleh berkurang dan seperti mana kita lihat trend di Melaka, apabila pengundi di luar tidak balik, undi semasa akan memihak kepada status quo yang membolehkan Barisan Nasional (BN) menang.

“Kita faham di Johor, pengundi luar itu banyak di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Singapura. Motivasi untuk keluar mengundi itu sama seperti di Melaka jadi mungkin kita akan nampak perkara yang sama berlaku di Johor,” katanya.

Mujibu juga berpandangan, dari awal memang tiada keperluan untuk diadakan PRN atas dasar tidak ada ancaman terhadap kestabilan, tidak ada orang yang melompat dan kerajaan masih boleh berdiri dengan majoriti yang ada.



“Ramai yang bersetuju sekiranya PRN ditangguhkan dahulu kerana Omicron ini senang merebak dan kes semakin meningkat dan dalam masa yang sama, tiada keperluan.

Namun, Mujibu berkata, DUN Johor telah pun dibubarkan pada 22 Januari lalu dan tidak ada apa yang boleh menghalang semangat pilihan raya yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Kita sudah tidak boleh undur melainkan ada proklamasi darurat persekutuan yang rasanya tidak akan berlaku atas faktor pengalaman beberapa PRN yang lepas sebelum ini.

“Darurat adalah pilihan terakhir yang boleh menghalang PRN daripada dilaksanakan namun jika darurat diisytiharkan, keadaan semasa negara juga mungkin menjadi rumit,” katanya.



Hanya proklamasi darurat boleh tangguhkan PRN Johor


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rakaman CCTV Detik-Detik Kenderaan Pelakon Vanessa Angel Kemalangan Viral [VIDEO]

Pendakwah Neraka Jahanam Yang Menyesatkan Manusia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker