PRN Johor: ‘Bertanding atau tidak saya tetap buat kerja’
Dikenali sebagai seorang pelawak terkenal yang pernah memenangi sebuah rancangan realiti TV Popular, Maharaja Lawak Mega 2018, Shahrol Azizie Azmi atau lebih dikenali sebagai Shahrol Shiro kini sudah menjejakkan langkah ke dunia politik.
Shahrol yang sering menggunakan tanda pagar Pemuda UMNO Kluang di akaun media sosial, Instagram miliknya tidak pernah berselindung di sebalik kenyataan bahawa dia sudah lama aktif dalam parti politik itu sejak tahun 2018.
Terdapat juga desas-desus yang mengatakan bahawa Shahrol mungkin akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tahun ini dan tidak mustahil akan mengikut jejak langkah selebriti menjadi ahli politik seperti Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau lebih dikenali sebagai Dira.
Ikuti temu bual wartawan Sinar Premium, Nurul Nabila Ahmad Halimy bersama Shahrol untuk menjawab mengenai penglibatannya dalam dunia politik.
SINAR HARIAN: Sekarang ini, Shahrol banyak menggunakan tanda pagar Pemuda UMNO Kluang di media sosial seperti Instagram. Adakah Sharol sudah terjun ke dunia politik?
SHAHROL: Saya mula menjinak-jinakkan diri dan aktif dalam dunia politik pada tahun 2018 selepas memenangi Maharaja Lawak Mega. Saya telah berpindah ke Kluang, Johor dan dari situ, saya bergiat aktif dalam politik seperti Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai 2019 dengan Pemuda UMNO.
Saya sekarang pegang jawatan penolong bendahari, Pemuda UMNO Kluang.
Terdapat desas-desus mengatakan Shahrol akan bertanding dalam PRN Johor tahun ini dan adakah Shahrol bercita-cita untuk menjadi calon?
Jawapan saya tetap konsisten yang mana ia terpulang pada pucuk kepimpinan parti. Sekiranya mereka mengarahkan saya untuk bertanding, saya akan ikut dan berkhidmat. Jika tidak, saya sedia membantu parti.
Saya tidak menafikan menjadi calon dan mempunyai jawatan adalah satu kuasa yang boleh membantu rakyat dengan lebih baik dan mampu mengangkat suara-suara mereka.
Namun, ini tidak bermakna sekiranya kita tidak mempunyai jawatan, kita tidak mampu membantu mereka. Setakat ini, saya fokus untuk berkhidmat demi rakyat.
Apakah perjuangan dan ideologi politik yang ingin diketengahkan?
Saya banyak fokus di daerah Kluang. Apa yang kami lakukan sekarang ini ialah berkolaborasi dengan Majlis Perbandaran Kluang untuk membuka kabin usahawan anak muda.
Ia merupakan salah satu tempat ikonik yang menarik untuk pengunjung luar datang dan secara tidak langsung dapat merancakkan ekonomi setempat. Kluang berada di tengah-tengah negeri Johor dan dengan adanya tempat-tempat seperti ini, ia akan menarik orang ramai untuk datang sekaligus meningkatkan kuasa pembeli.
Dari segi anak muda, kesedaran politik mula meningkat. Kami sentiasa mengambil pendekatan dan program-program yang lebih menjurus ke arah anak muda untuk merevolusikan politik yang lebih baik.
Setakat ini, dalam kalangan artis, Dira Abu Zahar antara yang berjaya menambat hati pengundi. Jadi bagaimana Shahrol memastikan kalangan artis juga mampu memberi idea-idea bernas dan boleh memenangi undi rakyat?
Penerimaan terhadap selebriti dalam dunia politik di Malaysia masih baru dan tidak seperti di negara Indonesia atau Ukraine yang presidennya adalah seorang pelawak. Saya rasa tidak menjadi masalah sekiranya seorang pelawak ingin menjadi ahli politik asalkan gerak kerja kita ikhlas untuk menyelesaikan masalah rakyat.
Sebagai seorang selebriti, kita mempunyai kelebihan yang mana banyak mata akan memberi tumpuan dari segi populariti. Namun, dalam dunia politik, itu bukan satu jaminan untuk naik atau menang jika bertanding.
Masyarakat akan menilai sama ada kita boleh membuat kerja atau tidak. Selebriti itu adalah kerjaya namun tidak salah sekiranya mereka juga mahu terlibat dalam politik.
Mungkin Shahrol boleh jelaskan mengenai kontroversi yang hangat di Twitter baru-baru ini tentang dakwaan bahawa Shahrol pernah ditamatkan kerja sebagai pegawai imigresen kerana terlibat dengan dadah?
Tuduhan itu sangat tidak berasas. Ada dua perkara yang disentuh telah mengaibkan saya. Pertama, tuduhan tentang diri saya yang terlibat dengan dadah sangat tidak logik kerana sekiranya saya mempunyai kes dadah, saya tidak akan dapat menyertai Raja Lawak atau masuk ke stesen TV kerana pengawalan yang ketat.
Kedua, tuduhan tersebut juga telah mengaibkan Jabatan Imigresen yang merupakan jabatan penuh integriti. Sekiranya memang terdapat agenda politik akibat perbezaan ideologi, saya tidak ada masalah sekiranya dia menyerang gerak kerja yang saya lakukan bersama parti atau apa sahaja kenyataan politik yang saya keluarkan.
Namun, apa yang saya tidak boleh terima adalah apabila serangan berbentuk peribadi dan mengaibkan. Ini bukan cara kita berpolitik dan ia tindakan yang tidak patut dilakukan.
Setakat ini, apa tindakan terhadap pihak yang membuat tuduhan itu?
Saya sudah mengambil tindakan undang-undang melibatkan pemilik akaun Twitter tersebut dan pihak berkuasa akan meneruskan siasatan. Sehingga kini, dia masih belum memohon maaf kepada saya dan ciapan tersebut masih lagi belum dipadam.
PRN Johor: ‘Bertanding atau tidak saya tetap buat kerja’
Baca Artikel Menarik:
- ‘Main belakang’: Mahkamah Rayuan tolak rayuan KJ
- Penceraian Ezurin Khyra tidak dapat diterima peminatnya
- Geng Suami Kelaparan Tunggu Pegang Pinggan, Geng Isteri Ambil Gambar Dulu (Video)
- Ramai bimbang episod beraya di perantauan berulang lagi
- Dividen Tabung Haji 3 peratus?
- Tidak Sangka!!..Wajah Maskulin, Suara ‘Jantan’ Antara Ciri-Ciri Lelaki Sperma Tidak Sihat
- Boleh tahan kebebalan Wan Saiful – Najib
- Individu kesan imej zombi guna Google Maps
- Erin sempat bergelar isteri untuk 2 hari sahaja
- Jaga-Jaga Buat Pesakit Diabetes Yang Perlu Elak 5 Menu Sedap Setiap Sarapan Pagi
- Ketua Pemuda Pas ‘serang’ Zahid
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.