Fizo tauke taman ATV

Fizo tauke taman ATV

BIARPUN namanya masih mendapat tempat dalam industri hiburan, namun sebagai persediaan jaminan masa depan keluarga, bidang perniagaan tetap jadi pilihan.

Menyedari peminat sukan ekstrem di negara ini semakin ramai, tapak aktiviti untuk sukan berkenaan perlu disediakan. Justeru, peminat yang ingin mencuba kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) sambil menyaksikan panorama sawah padi boleh berkunjung ke Bertam ATV Park, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Bukan itu saja, dengan laluan trek sepanjang 15 kilometer (km) hingga memerlukan peserta menghabiskan cabaran dalam tempoh maksimum dua jam itu turut dikatakan antara taman ATV terbesar di kawasan utara.

Pemilik Bertam ATV Park juga pelakon Fizo Omar berkata, selepas membuka dua taman ATV di Pasir Puteh, Kelantan dan Janda Baik, Pahang kini tumpuan itu ke arah utara iaitu Pulau Pinang.

Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar turut memaklumkan strategi perancangan teliti yang dibuatnya untuk membangunkan perniagaan aktiviti sukan lasak berkenaan.

“Kira-kira RM800,000 sudah dilaburkan untuk membangunkan taman ATV ini, selain kos bagi mempromosikan kegiatan sukan terbabit kepada masyarakat setempat.

“Bertam ATV Park ini dianggap unik berbanding dua taman ATV yang sudah kami buka sebelum ini kerana laluan trek yang agak panjang iaitu 15km dan lebih menarik lokasinya terletak antara sempadan dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Kedah,” katanya.

Kata Fizo lagi, apa yang pasti pemandangan indah sawah padi dan panorama semula jadi lain juga dapat disaksikan peminat yang mencuba sukan ATV ini.

“Pada masa sama, pembukaan taman ATV ini juga secara tidak langsung dapat membantu mengaktifkan ekonomi penduduk setempat termasuk antaranya pengusaha inap desa dan lain-lain.

“Dalam pada itu, paling utama ia membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan kerana kami mengutamakan pengambilan anak tempatan khususnya penduduk di sekitar Kepala Batas untuk bekerja di sini,” katanya pada majlis perasmian, baru-baru ini.

Fizo berkata, Bertam ATV Park juga ketika ini dilengkapi dengan 25 ATV berkuasa antara 200 hingga 1,000cc termasuk kenderaan rupa bumi utiliti (UTV) dengan pakej sewaan berpatutan antara RM120 hingga RM350 bagi setiap perjalanan.

Jelasnya, selain menyediakan penunjuk arah, pengurusan Bertam ATV Park juga menitikberatkan keselamatan setiap pelanggan yang menggunakan perkhidmatan mereka.

“Kami turut mengambil kira situasi semasa penularan Covid-19 dan jangan bimbang kerana segala aktiviti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan mengehadkan jumlah pengunjung mengikut tempahan diterima.

“Syukur alhamdulillah, walaupun baharu dibuka kami sudah menerima banyak tempahan dan sambutan diterima amat positif dan memberangsangkan,” katanya.

Menurut Fizo lagi, syarikatnya turut mengintai peluang untuk melebarkan pembukaan taman ATV di kawasan lain selepas ini iaitu Port Dickson, Negeri Sembilan pula. HM

Fizo tauke taman ATV


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Norjuma Habib bakal dikeluarkan waran tangkap

Bila kita tekan butang, dia marah

‘Kalau kena dengan TMJ senyap pula…’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker