Pas mahu jadi pendamai antara UMNO, Bersatu

Kemelut politik dalaman Muafakat Nasional (MN) yang dibina oleh Pas dan UMNO diibaratkan retak menanti belah.

Pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin kedua-dua parti, tidak kurang cakap-cakap belakang yang mengatakan dua buah parti politik Melayu terbesar itu bakal berpecah lagi.

Puncanya apabila Pas bersetuju menjadi parti komponen di bawah Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).



Namun di sebalik semua itu, Pas pasti dilihat mempunyai agenda tertentu untuk terus bekerjasama dalam dua gagasan ini yang akhirnya turut bersama UMNO hingga membentuk kerajaan Persekutuan hari ini.

Ikuti temu bual eksklusif wartawan Sinar Harian, Izwan Rozlin dan Nazrin Zulkafli serta Penerbit Program Sinar Harian, Zaila Mohd Ali bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Tentang kerjasama dalam MN yang dilihat seperti telur di hujung tanduk dan hampir berkubur kerana UMNO dan Pas dilihat sedang menjarakkan diri antara satu sama lain. Sejauh mana kenyataan ini benar?

MOHD ZUHDI: Kedudukan berada di hujung tanduk itu dari segi pandangan luar sesuatu yang tidak boleh dinafikan. Memang MN selepas lebih dua tahun dimeterai bermula 14 September 2019, kemajuan dari segi hubungan Pas dengan UMNO atau secara lebih besarnya di antara Gagasan Sejahtera dengan Barisan Nasional (BN) memang dalam keadaan tidak diketahui hala tujunya dan apa yang berlaku selepas ini.



Itu adalah satu perkara yang tidak boleh dinafikan, bagaimanapun usaha tetap dilakukan oleh Pas untuk selamatkan MN kerana ia mampu wujudkan gelombang yang sangat penting dan besar untuk bawa hala tuju politik masyarakat umat Melayu Islam dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kalau dilihat usaha Pas melalui kenyataan Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin, hasil muzakarah Majlis Syura Ulama Pas iaitu institusi yang jaga hala tuju dan menjadi kata pemutus sesuatu kerjasama politik, Pas telah diminta untuk memperkukuhkan MN dan pada masa yang sama memperkukuhkan juga PN. Ini merupakan kenyataan daripada orang yang tertinggi dan badan tertinggi Pas berkaitan dengan hubungan Pas dalam MN. Ia menunjukkan bahawa Pas tetap dengan pendirian untuk kukuhkan dan perkasakan hubungan bersama UMNO dalam MN.

Pas sebelum ini dikatakan mahu menjadi ejen pendamai UMNO dan Bersatu, namun ada dakwaan mengatakan itu sebenarnya strategi Pas membuktikan ketaatan kepada ‘abang besar’ PN iaitu Bersatu?

Sebelum Bersatu bersama dengan Pas, kita maklum Bersatu bersama Pakatan Harapan (PH). Sebelum itu juga, Pas dan UMNO sudah bentuk suatu gelombang permuafakatan agenda penyatuan ummah yang berakhir dengan termeterai piagam MN. Itu kemuncak kita bawa agenda penyatuan ummah.



MN adalah satu bahtera besar yang akan tentukan hala tuju politik Malaysia pada masa hadapan. Politik Malaysia ini ditentu corakkan oleh masyarakat majoriti Melayu bumiputera dan masyarakat Islam. Jadi bila Bersatu menyertai agenda ini, mereka dijemput oleh Pas kepada agenda yang besar umpama dijemput menaiki bahtera yang besar.

Tapi tidak boleh dinafikan dalam perjalanan itu terutama selepas pembentukan kerajaan dan kerajaan itu dinamakan PN yang diketuai Bersatu, parti itu mahu bina bahtera lain yang tidak besar dan memerlukan kepada Pas untuk membesarkan bahtera itu.

Kemelut ataupun dilema MN dan PN berlaku apabila Bersatu tidak mahu menyertai bahtera besar bersama UMNO namun mereka hanya mahu Pas menyertai mereka supaya dapat dibesarkan bahtera mereka. Ini suatu yang sebenarnya pada pandangan saya tidak begitu tepat dalam konteks Pas yang bawa agenda penyatuan ummah di Malaysia dan agenda yang penting juga untuk memastikan masyarakat majoriti di Malaysia ini yang jadi penentu corak politik di Malaysia. Jadi istilah orang yang mahu jadi ‘abang long’ itu memang betul, cuma Pas sebagaimana ditegaskan oleh presiden dan mursyidul am, perlu bawa hala tuju politik yang lebih besar. Kita bukan memihak kepada mana-mana tetapi mahu jadi pendamai dan menarik Bersatu menyertai bahtera besar tadi.

Boleh Dr ulas mengenai dakwaan mengatakan sikap Pas yang tidak pernah ikhlas dalam membentuk kerjasama dengan parti lain membuatkan pakatan dibina sering tersasar.



Kerjasama dalam Pas ini istilah yang digunakan dari segi fekah, fikh siasah ataupun fekah politik ini ialah sama ada tahaluf siasi ataupun taawun siasi. Tahaluf siasi ialah suatu kerjasama yang terikat adanya ikatan dalam satu gabungan walaupun gabungan tidak berdaftar seperti Pakatan Rakyat (PR) ataupun Barisan Alternatif (BA) sebelum ini manakala taawun ini satu kerjasama tidak mengikat Pas dengan gabungan itu. Jadi yang menentukan kerjasama ini boleh atau tidak ialah Majlis Syura Ulama. Itu ada dalam perlembagaan Pas.

Bila Majlis Syura Ulama buat keputusan, barulah Jawatankuasa Kerja Pas Pusat laksanakan keputusan tersebut. Keputusan asas Majlis Syura Ulama adalah dari segi pertimbangan untuk kepentingan Islam dalam negara serta kemudaratan yang akan timbul. Beberapa kerjasama yang dibuat contoh pada tahun 1974, dalam BN masa itu belum ada Majlis Syura Ulama, yang akhirnya Pas disingkirkan daripada BN. Penyingkiran Pas ini ada yang sudah tulis secara ilmiah apa sebenar berlaku.

Dalam Pas ada masalah, dalam UMNO pun ada masalah ketika itu. Kemudian Pas bekerjasama dengan Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah namun akhirnya Semangat 46 dibubarkan. Kerjasama dengan BA bermula pada tahun 1999 iaitu Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP). Pada tahun 2001, DAP memutuskan hubungan dengan Pas dan PKR sehingga tahun 2008, walaupun DAP tidak ada dalam BA tetapi ada pakatan pilihan raya supaya tidak bertembung kerusi.

Kemudian DAP menyertai semula dengan nama gabungan ditukar kepada nama Pakatan Rakyat. Namun bermula tahun 2011 hingga 2015 berlaku pergolakan hebat apabila DAP cuba campur tangan dalam urusan Pas. DAP cuba buat grand design dan cuba tentukan pimpinan Pas yang akan naik dalam muktamar. Ini menyebabkan selepas Muktamar Pas pada 2015, Majlis Syura Ulama buat keputusan bahawa mudarat kerjasama dengan DAP, maka kerjasama dengan DAP dihentikan. Kemudian Pas memutuskan hubungan dan kerjasama dengan PKR.



Kalau lihat kerjasama ini, ia memperlihatkan bahawa bukan Pas tidak ikhlas tapi keputusan terakhir ini adalah Majlis Syura Ulama. Majlis ini akan lihat dari segi aspek mudarat kepada kepentingan Islam ataupun maslahah ataupun kebaikan kepada Islam. Jadi tidak timbul soal Pas tidak ikhlas kerana dalam kerjasama itu Pas banyak dikhianati dan jadi mangsa.

Kes Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali digugurkan sebagai AJK Pas Pusat. Pas dilihat masih berdiam diri dan tidak menyatakan punca pengguguran itu. Apa sebenarnya yang berlaku?

Kalau dikatakan tidak pernah ada kes digugurkan kerana ada perbezaan pendapat, itu saya setuju sebab tidak pernah ada kes sebelum ini seperti itu. Tetapi, kes keguguran akibat disiplin sebelum ini akar umbinya adalah disebabkan perbezaan pendapat.

Contohnya, dalam kes penyingkiran Datuk Hassan Adli Mohd Arshad. Beliau adalah Timbalan Presiden Pas dan telah dipecat daripada parti. Dia dipecat disebabkan oleh masalah disiplin kerana dia menyanggah pandangan Presiden Pas waktu itu iaitu Allahyarham Datuk Mohd Asri Muda sehingga dalam Parlimen. Ketika Perdana Menteri, Tun Hussein Onn kemukakan usul darurat di Kelantan ketika itu orang pertama bangkang ialah Mohd Asri. Orang yang pertama sokong ialah Hassan Adli. Puncanya ialah perbezaan pandangan tetapi perbezaan pandangan itu membawa kepada masalah disiplin. Saya lihat apa yang berlaku ia ada asas daripada perbezaan pandangan dan membawa kepada tindakan di luar batas disiplin.



Dalam kes Mohd Khairuddin, beliau adalah merupakan Setiausaha Majlis Syura Ulama. Dia merupakan penggerak dan juga menguruskan sekretariat Pas. Institusi Majlis Syura Ulama ini boleh mengarahkan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat atau mana-mana pihak jika mereka melihat hala tuju yang dibawa tidak selari dengan apa yang telah diputuskan oleh Majlis Syura Ulama manakala Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula adalah merupakan Setiausaha Agung Pas iaitu satu jawatan penggerak atau pelaksana kepada apa yang diuruskan oleh mana-mana agensi dalam parti.

Jadi, bila berlaku pertembungan antara kedua-duanya, saya lihat ia perlu diselesaikan secara dalaman. Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Sebenarnya kuasa untuk berhentikan Mohd Khairuddin sebagai AJK Pas Pusat ialah kuasa presiden dan perbincangan jawatankuasa. Saya lihat, adakah benar masalah disiplin atau hubungan antara MN dan PN, perkara itu tidak boleh disebut.

– Benarkah ia disebabkan oleh Mohd Khairuddin mempertahankan MN atau PN?

Semua orang tahu Mohd Khairuddin ialah orang yang memperjuangkan bahkan sangat mengharapkan gagasan MN dan PN diperkukuhkan. Dia sangat mengharap sebagaimana presiden Pas. Cuma mungkin ada tafsiran berbeza untuk perkukuhkan ini. Jadi, semua pihak tahu dia berada di pihak perkukuhkan MN. Saya lihat puncanya kerana Mohd Khairuddin ini salah seorang daripada ahli jawatankuasa perunding MN. Jadi dia berusaha sebaik mungkin perkukuhkan MN. Bila perkukuhkan MN, orang nampak kita ke arah situ sahaja.

– BN dilihat ghairah menuntut Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan manakala pembangkang mengingatkan jangan sampai rakyat muak dengan pemimpin politik dan akhirnya memboikot PRU15. Bagaimana dengan pendirian Pas?

Saya bercakap bagi pihak sendiri sebab pendirian Pas yang akan mengatakannya adalah presiden, timbalan dan setiausaha agung. Pada pandangan peribadi saya, bukan hanya PRN Johor yang perlu disegerakan, tetapi Pilihan Raya Umum (PRU). Johor tidak boleh bubar secara berasingan. Dia akan mengganggu proses. Rakyat terpaksa hadapi beberapa pilihan raya.

Dalam keadaan hari ini, politik Malaysia yang tidak stabil, pelabur mahu kestabilan. Kalau kerajaan buat dasar sekarang, kemudian setahun dua naik kerajaan baharu, maka sudah pasti dasar berubah menyebabkan ramai pelabur tidak yakin. Bukan sahaja luar, malah dalam negara juga. Rakyat tidak yakin untuk berniaga.

Mahu ceburi bidang apa. Semua memerlukan kestabilan politik. Kestabilan politik membawa kepada keharmonian rakyat dan kesejahteraan ekonomi. Saya sokong PRU. Ini pandangan peribadi. Perlu kepada menyegerakan dan mengambil semula mandat rakyat. Mandat ini diambil di tengah-tengah. Maka perlu kembali kepada rakyat. Rakyat perlu diberi mandat baru. Tetapi tidak dalam konteks negeri kerana ia akan mengganggu rakyat dengan PRN, pusat dan sebagainya.

– Bagaimana dengan persiapan PRU15? Calon bagaimana yang bakal diketengahkan dan apakah strategi untuk meluaskan pengaruh Pas?

Sudah pasti calon yang ada untuk Pas bagi PRU akan datang kena memenuhi selera mereka iaitu pengundi-pengundi baru 18 tahun ke atas. Ini kerana satu per tiga daripada pengundi yang ada adalah mereka. Kedua, rakyat sudah sampai ke peringkat bosan, muak dan meluat dengan politik disebabkan peristiwa pertukaran kerajaan. Saya percaya, kalau bukan politik pun, rakyat bosan. Jadi, Pas mesti menghilangkan kebosanan itu. Pas kena ada muka yang segar dan baru. Kadang-kadang rakyat melihat sudah sampai masa muka lama dalam mana-mana parti perlu berhenti.

Mohd Zuhdi ketika ditemubual oleh wartawan Sinar Harian, Izwan Rozlin di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Bagi muka baru supaya ada harapan baru. Saya bagi contoh, beberapa orang yang berada dalam kerajaan seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Muka seperti ini perlu ditampilkan. Muka lama yang nak kembali, saya rasa sudah sampai masa beri ruang kepada golongan baru untuk pimpin negara.

– Adakah maksudnya muka lama yang bersih?

Bersih atau tidak ini kita tidak tahu sebab mahkamah belum memutuskan. Masih dalam proses. Kita tidak tahu sama ada seseorang itu bersih atau tidak. Kita tidak mahu menghukum mana-mana golongan. Ahli politik ini sebahagian besar orang anggap tidak bersih. Bukan UMNO sahaja, ada anggap Pas tidak bersih juga. Masing-masing mendakwa parti lain tidak bersih. Ia biar ditentukan melalui proses perundangan.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU,NET


Nabila Huda dituntut bayar ganti rugi RM900,000 dan mohon maaf dalam 7 hari

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker