Poster man UMNO, awalkan PRU15

“DARIPADA kita 18 bulan masih terumbang-ambing menjelang habis penggal Parlimen 16 Julai tahun depan (2023) serta bersama pula dengan kerajaan Pusat berbentuk campuran ini, adalah lebih baik kita ‘selesaikan dahulu’ di Johor.

“Lepas itu ditakdirkan UMNO/Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihan raya negeri, justeru kita ada lima tahun lagi mentadbir. Ada pula MB (menteri besar) yang sesuai serta mandat yang kuat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” kata beberapa ketua bahagian UMNO kepada saya, merujuk desas-desus DUN Johor bakal dibubar dalam waktu terdekat.

Bagi saya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor suatu ‘tindak balas’ kepada usaha-usaha kem tertentu dalam UMNO sendiri yang mahu melewat-lewatkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Ada berkongsi pada saya, soal sama ada PRN Johor itu berlaku atau tidak, bergantung kuat pada situasi semasa.

Situasi terdekat kata mereka adalah jatuh hukum terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Isnin ini (24 Januari) sama ada perlu membela diri atau sebaliknya dari pertuduhan-pertuduhan dihadapinya. Kalau ‘lekat’ kes bagaimana? Kalau tidak pula, hala tuju mana diambil UMNO seterusnya?

Realiti hari ini, meskipun ada pihak mencanangkan supaya tidak perlu diawalkan PRU15 atau PRN Johor dengan alasan ‘rakyat sedang susah, ditimpa musibah banjir pula manakala kos beratus juta ringgit terpaksa dibelanjakan untuk pilihan raya’, ironinya tidak sebegitu.

Pandangan seperti itu dangkal, bercanggah dengan realiti sebenar. Sedangkan, PRU15 itulah sebenarnya titik tolak awal kebangkitan Malaysia sebagai jalan keluar dari kesukaran/kemelut ekonomi hari ini.

Tidak perlu saya hujahkan panjang lebar sebab perlunya PRU awal kerana semua maklum “kalau sudah bertukar tiga Perdana Menteri serta tiga menteri besar di Johor, maka di mana titik pengakhiran kepada kemelut semua ini?”

Lagi lama ditunggu PRU, lama-kelamaan menjadi liabiliti pula pada UMNO. Akar umbi UMNO sendiri barangkali sedar bahawa ‘sepatutnya dia jadi kepala kereta api tarik gerabak. Tetapi dia pula tarik tali kasi UMNO turun’.

Mempercepatkan pemilihan UMNO sebelum PRU15 sewajarnya tidak ada dalam fikiran ahli UMNO, apa lagi para pemimpinnya di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Tidak ada sambutan kerana bukankah sebahagian tuan punya badan hendak menjadi calon PRU?

Gilakah mereka yang terlalu berhendakkan pemilihan parti dahulu? Dan jika dijalankan pemilihan, kalau kalah bagaimana? Tidak berpeluang jadi calonlah jawabnya.

Pada masa sama, akibat pemilihan parti, UMNO peringkat bahagian di banyak negeri akan berpecah belah pula. Kalau ikut sejarah pemilihan UMNO, proses mendamaikan pihak-pihak yang bersaing selepas itu memang berat. Kalau yang pegang jawatan pun sudah injured (tercedera) bagaimana pula parti mahu menuju ke medan perang PRU?

Makanya, jika UMNO nekad bersiap siaga masuk gelanggang PRU, siapakah akan menjadi poster man? Akar umbi UMNO pastinya menolak poster man yang masih bertongkatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Muhyiddin Yassin sendiri. Ahli UMNO juga mahu individu berkenaan bebas dari isu.

 

TOPENG

Tiada bebanan yang dibawa, iaitu belum tercalar imej dan reputasi dalam menangani isu-isu bencana. Kemampuan mentadbir dalam waktu singkat, cara mengawal Kabinet dan berani mencetus idea-idea bernas cukup menjadi perhatian orang UMNO.

Dalam hal ini, UMNO perlu ada alternatif dalam menampilkan calon-calon poster man. Ini berbeza sama sekali dengan Pakatan Harapan yang ketandusan pemimpin untuk diangkat sebagai poster man.

Diburukkan lagi, PKR, DAP, waima Parti Amanah Negara (Amanah) sudah pun tersungkur di PRN Melaka dan Sarawak.

Persoalannya, siapa poster man UMNO yang akan dialun namanya dalam kempen PRU15 nanti? Datuk Seri Mohamad Hasan atau Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob? Atau dua orang lagi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin?

UMNO pasca moden sewajarnya menolak pemimpin yang nampak tercangak-cangak dalam politik. Cenderung pula kepada musuh parti. Bila saat diperlukan, dia lari dari perjuangan.

Hari ini, dia wajar isytihar pendiriannya, sama ada mahu bersama akar umbi UMNO atau terus bertopeng diri – ‘berlegar-legar’ di permukaan sahaja.

PRN Johor sewajarnya tidak boleh lagi diperbincangkan tentang keperluannya. Tidak ada pilihan lain selain mengadakan PRN terus.

Alasannya, mandat yang lemah dan mengakibatkan politik ugut mengugut terhadap satu sama lain. Lihat sahaja tindak tanduk YB Salahuddin Ayub (Pulai) yang baru-baru ini bernada keras untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri jika diteruskan juga PRN.

Kesan dan ketidakkukuhan politik ini lebih bahaya kesannya kepada rakyat secara langsung daripada bahana banjir itu sendiri.

Malaysia akan terus berdepan ketidaktentuan kestabilan dasar yang mengakibatkan ekonomi merudum, hilang pekerjaan di mana pelabur atau syarikat lari dari meneruskan perniagaan di Malaysia atau Johor.

Poster man haruslah menjadi kunci utama buat pucuk pimpinan parti menilai dan memperhalusi sedalam-dalamnya. Ia merupakan taruhan kosmetik utama dalam memperlihatkan kewibawaan UMNO merubah landskap politik dalaman UMNO itu sendiri.

Pengundi akan melihat perkara ini terlebih dahulu, baru bertindak memilih siapa yang menjadi pilihan di atas kertas undi. UMNO harus yakin akan pilihan mereka. Berkorban demi kelangsungan parti. UMNO perlu segera menjadi tarikan baharu untuk Undi18.

Andai perkara ini tidak dapat diselesaikan, barangkali UMNO akan terputus dari realiti politik sebenar. Dan usah dengar cakap ‘orang di luar parti sana’.

Dan perihal poster man dan mengawalkan PRU15 realitinya amat perlu dibahaskan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung dari 16 hingga 19 Mac ini. Kerana ia adalah platform suara akar umbi parti.

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Smart TAG, Touch ‘n Go lebih digemari pengguna

Blue Tears Kuala Selangor, Penemuan Luar Biasa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker