Kerajaan stabil perlu untuk pulihkan ekonomi

PETALING JAYA: Negara sangat memerlukan kerajaan yang stabil dan jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) satu-satunya jalan ke arah itu, ia perlu dilaksanakan.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kerajaan yang stabil selepas PRU15 dilihat mampu memulihkan ekonomi dan mengembalikan keyakinan pelabur terhadap negara.

Kata beliau, kerajaan yang ada ketika ini lemah dari segi penyelarasan disebabkan datang dari parti-parti politik yang berbeza.

“Keutamaan kerajaan yang dilantik selepas PRU15 adalah memastikan barisan Kabinet yang berkebolehan dan bersih.

“Barisan Kabinet yang dilantik juga perlu memastikan penyelarasan antara kementerian serta agensi kerajaan yang lebih ampuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Baharom, walaupun ada kemungkinan kerajaan yang dilantik selepas PRU15 masih rapuh dan tiada majoriti kuat untuk memerintah, keadaan semasa menunjukkan jajaran politik baharu yang akan dibentuk lebih sepakat.

Malaysia menyaksikan sena­rio politik yang tidak menentu selepas PRU14 dengan pertukaran tampuk kepimpinan kerajaan akibat perubahan parti yang memerintah disebabkan tidak mendapat sokongan majoriti.

Bukan sahaja di peringkat Pusat, malah episod ‘kerapuhan kerajaan’ turut berlaku di pering­kat negeri seperti Johor sehingga mengundang spekulasi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Kedudukan kerajaan yang rapuh itu boleh menggugat pemulihan ekonomi yang sangat diperlukan selepas negara me­lalui tempoh paling sukar dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19 mengakibatkan kerugian berbilion ringgit.

Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, peratusan pelaburan asing di Bursa Malaysia tidak menunjukkan banyak perubahan pada sekitar 20 peratus yang berkemungkinan disebabkan sikap berhati-hati pelabur dengan situasi di Malaysia, termasuk dalam aspek politik.

Jelas beliau, pelabur asing memerhatikan situasi ekonomi negara dalam tempoh peralihan dan membandingkan keadaan negara dengan perkembangan ekonomi global.

“Sebenarnya, para pelabur amat berhati-hati dengan suasanan ekonomi dunia yang muram akibat pandemik Covid-19 yang berpanjangan, apatah lagi dengan varian Omicron yang begitu cepat menular terutamanya di negara-negara maju.

“Tambahan lagi, kenaikan kadar inflasi dunia akibat kesan berpanjangan kepada rantaian nilai bekalan dunia memberikan tekanan kepada ekonomi seperti di Amerika Syarikat (AS) sendiri dengan kadar inflasi pada enam peratus dan lima peratus di Eropah.

“Selain itu, ada juga ura-ura dari Rizab Persekutuan AS yang akan menaikkan kadar faedah pada tahun ini, yang telah memberi kesan kepada mata wang dolar AS yang bertambah kuat berbanding mata wang lain,” katanya. – UTUSAN

Kerajaan stabil perlu untuk pulihkan ekonomi


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rupa-rupanya Kamal Adli

Resepi Crab Rangoon Viral Gila

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker