Rais mahu Azam Baki perlu cuti biar LPPR jalankan tugas

Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Rais Yatim berkata, siasatan terhadap Azam Baki ialah kes salah laku dan tidak menyempurnakan tugas, bukannya kes jenayah.

PETALING JAYA: Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) menasihatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki supaya bercuti ketika kes beliau disiasat pihak berkuasa.

Pengerusinya Rais Yatim berkata, siasatan terhadap Azam ialah berkaitan kes salah laku dan tidak menyempurnakan tugas, bukannya kes jenayah.

Beliau berkata, mengikut amalan, mereka yang disiasat atas kes salah laku akan digantung kerja.

“Namun dalam hal ini ia bukan perbuatan jenayah. Hanya salah laku dan tidak menyempurnakan tugas dengan baik.

“Maka beliau (Azam) perlu mengambil cuti rehat sebentar (sementara) jawatankuasa (Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menjalankan tugas mereka,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Rais hari ini mengadakan sidang media di Parlimen yang turut dihadiri tiga ahli jawatankuasa JKMR, iaitu Hasan Karim yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Han Wai dan Ahli Dewan Negara Zaiedi Suhaili.

Azam dilanda kontroversi berhubung dakwaan pemilikan saham dalam dua syarikat pada 2015.

Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, beliau memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016 ketika menjadi Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

Ini mengundang gesaan agar siasatan dilakukan berhubung hal itu dan Azam direhatkan daripada jawatan tertinggi agensi pencegahan rasuah negara.

Rais berkata, terpulang kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk memutuskan sama ada Azam perlu diberi cuti untuk direhatkan atau sebaliknya.

Katanya, ketika ini berdasarkan amalan yang sedia ada, pegawai yang lebih tinggi disiasat membabitkan kes berprofil tinggi tidak diberikan cuti atau direhatkan.

“Maka terserah kepada JPA untuk memutuskan memberi cuti tetapi natijah amalan sedang berlaku ada beberapa kes profil tinggi membabitkan pegawai lebih tinggi yang tidak diberikan cuti,” katanya.

Mengulas lanjut, Rais berkata, JKMR berpandangan, siasatan ke atas Azam berkaitan pengisytiharan harta perlu mengikut lunas dan prosedur siasatan sedia ada.

Katanya, dalam hal berkaitan pengisytiharan aset termasuk pembelian dan pemilikan saham, perkara itu perlu disiasat sama ada ia sudah dibuat atau sebaliknya.

“Dalam masa yang sama adakah penyelia atau ketua pentadbir sudah dimaklumkan secara rasmi mengenai pembelian aset berkenaan? Ini menjadi intipati utama yang perlu disiasat,” katanya.

Beliau berkata, JKMR hanya akan menunggu laporan yang dibuat oleh mana-mana pihak yang menyiasat sama ada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), JPA, polis dan Suruhanjaya Sekuriti.

“Kes pembelian saham dan perolehan aset membabitkan Azam enam tahun lalu itu perlu disiasat sama ada ia milik benefisiari atau atas nama sendiri. Ia jelas terkait dengan pekeliling dikeluarkan JPA pada 1983 dan keputusan Kabinet pada 2002.

“Lantaran itu, apa yang ditulis Pengerusi LPPR, Abu Zahar Ujang mengenai kes itu perlu diteliti dari konteks sebenar, ” katanya.

Beliau menegaskan JKMR memberi ruang kepada polis, Suruhanjaya Sekuriti dan Jawatankuasa Disiplin dan Perolehan Aset JPA, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, mahu pun SPA menjalankan siasatan lanjut.

Bukan dedah kepada luar

Mengenai pendedahan yang dibuat oleh bekas ahli LPPR, Terence Edmund Gomez yang menyentuh isu yang sama, beliau berkata, JKMR berpandangan ia perlu disalurkan kepada LPPR terlebih dahulu bukannya didedahkan kepada luar.

“Hak menyatakan pandangan itu tidak dipertikai, namun ia perlu berhemah dan wajar disalurkan kepada jawatankuasa aduan dan berunding dengan LPPR terlebih dulu tetapi ini tidak berlaku.

“Begitu juga peranan sebagai pemberi maklumat, tidak perlu dicurigai dan wajar maklumat itu diberi penilaian serta menjadi asas siasatan dan pertimbangan nilai sistem yang ada,” katanya.

Beliau juga memaklumkan sudah berhubung dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengenai hasil mesyuarat, termasuk isu berkaitan kes Azam dan diminta menyerahkan laporan secepat mungkin.

Rais mahu Azam Baki perlu cuti biar LPPR jalankan tugas


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Abu Syafiq minta Idris siasat Tuan Ibrahim dulu

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker