Gabungan NGO Islam ‘sanggah’ Hadi, mahu Azam Baki bercuti

PETALING JAYA: Satu gabungan perdana NGO Melayu-Islam turut mahukan Azam Baki “berehat dan bercuti” sehingga siasatan terhadapnya selesai bersabit isu pemilikan jutaan saham syarikat tersenarai awam.

Desakan oleh Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) itu dibuat sehari selepas Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menyelar media sebagai “berdosa” kerana melaporkan dakwaan salah laku individu sebelum dituduh di mahkamah.

“Peranan media yang mengheret masyarakat awam supaya menghukum seseorang itu bersalah sebelum disabitkan hukuman adalah sangat besar dosanya,” kata Hadi.

Sungguhpun Hadi tidak merujuk secara terus kepada isu Azam dalam kenyataan itu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, sebelum ini menegaskan semua pihak harus menerima baik penjelasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu bersabit isu pemilikan saham berkenaan.

Bagaimanapun, UMMAH yang menggabungkan kira-kira 300 NGO Melayu-Islam dan sealiran dengan PAS dalam banyak isu melibatkan kepentingan Islam, mengambil pendirian berbeza daripada Hadi dan Takiyuddin berhubung dakwaan terhadap Azam.

Pengerusinya Mohd Zai Mustafa mahu Perdana Menteri mengarahkan Azam bercuti dan polis serta Suruhanjaya Sekuriti (SC) menjalankan siasatan telus.

“Perbuatan yang dilakukan oleh Azam boleh menimbulkan perspektif yang sangat negatif kepada institusi Ketua Pesuruhjaya SPRM dan institusi SPRM sendiri,” kata beliau.

“Keadaan ini sangat menjejaskan reputasi SPRM sebagai sebuah institusi yang tinggi integritinya dalam negara mahupun di luar negara,” tambahnya.

Pengerusi UMMAH Mohd Zai Mustafa berkata, Perdana Menteri perlu mengarahkan Azam bercuti dan polis serta Suruhanjaya Sekuriti (SC) menjalankan siasatan telus. (Gambar Facebook)

Zai menegaskan keperluan Azam bercuti ketika siasatan dijalankan demi integriti agensi antirasuah itu.

“Selagi Azam masih menerajui SPRM dalam keadaan beliau juga mempunyai kes dalam siasatan, (ia) akan meletakkan institusi SPRM dalam dilema, tidak bebas dan hilang kepercayaan rakyat.

“Ini juga akan melibatkan hilangnya kepercayaan rakyat kepada kepimpinan kerajaan yang ada khususnya Perdana Menteri,” tambahnya.

Pendirian UMMAH itu dilihat selari dengan ketetapan yang diambil oleh Pemuda PAS yang juga mahukan siasatan terbuka diadakan terhadap Azam dan pegawai tertinggi SPRM itu mengambil cuti sehingga namanya dibersihkan.

Minggu lalu, Azam menafikan sebarang salah laku dalam isu pemilikan lebih 4 juta saham dan waran syarikat tersenarai yang dibeli menerusi akaun dagangannya pada 2015 dan 2016 ketika beliau merupakan Pengarah Siasatan SPRM.

Azam berkata, saham dan waran berkenaan dibeli dan dibiayai sepenuhnya oleh adiknya Nasir dan beliau bersedia bekerjasama dengan sebarang siasatan SC.

Isu pemilihan saham itu didedahkan oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah pada 14 Dis lalu.

Kemelut itu bertambah hangat minggu lalu apabila enam ahli lembaga penasihat SPRM menjauhkan diri daripada keputusan pengerusinya untuk membersihkan nama Azam daripada sebarang salah laku.

Mereka berkata, komen Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang adalah pandangan peribadi beliau seapenuhnya.

SC sebelum ini berkata ia akan mendapatkan penjelasan daripada Azam berhubung pembelian saham berkenaan.

Gabungan NGO Islam ‘sanggah’ Hadi, mahu Azam Baki bercuti


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU,NET


Suspek sah ditahan, mengaku terima arahan Mossad

Bongkah Batu Tiba-Tiba Runtuh Timpa Bot Pelancong Sebabkan 7 Terbunuh [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker