Pemilikan saham: Penjelasan Azam Baki lemah

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki 

SHAH ALAM – Ahli Parlimen pembangkang menyifatkan penjelasan dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung isu pemilikan saham olehnya adalah lemah dan jelas telah melanggar seksyen 25 (4) Akta Industri Sekuriti (Depositori Pusat) 1991.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Jumaat, 21 ahli Parlimen itu berkata, jika sabit kesalahan Azam berdepan denda sehingga RM3 juta dan penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mereka pada masa sama turut menggesa agar panel penasihat SPRM mengambil iktibar daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan menyiasat lebih lanjut dakwaan pegangan saham Azam serta tidak mengiakan penjelasan separuh masaknya.

“Azam harus segera mengambil cuti daripada jawatan berprofil tinggi bagi memudahkan siasatan lanjut dan bersikap telus mengenai perkara itu,” kata 21 ahli Parlimen pembangkang terbabit.

21 ahli Parlimen pembangkang itu antaranya adalah Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik; Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Pada Rabu, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang dalam sidang akhbar khasnya mengakui berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung dakwaan beliau memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Jelas Abu Zahar, hasil penjelasan yang dibuat Azam, pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam iaitu Nasir Baki.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kemudiannya pada Khamis berkata, akan berhubung dengan Azam dan pihak berkaitan bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kontroversi pemilikan saham tersebut.

Mengulas lanjut, 21 ahli Parlimen pembangkang itu turut mendakwa tindakan Azam yang ‘mengejar’ pemberi maklumat dengan tindakan mahkamah jelas satu gangguan terhadap mereka yang menyuarakan tentang dakwaan salah lakunya.

“Kami menyeru pihak berkaitan termasuk SPRM untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan salah laku ini dan bersikap telus kepada orang ramai berhubung isu ini,” kata mereka.

Pemilikan saham: Penjelasan Azam Baki lemah

 


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Ada apa dengan 11 Mac, 19 April dan 17 September?

Pelakon Indonesia, Cassandra Angelie kantoi melacur

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker