Bagaimana Long Tiger ada kad pengenalan? Ini penjelasannya..

PETALING JAYA: Semakan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati Long Tiger atau nama sebenarnya, Abdul Hamim Ab.Hamid adalah Pemegang Kad Pengenalan Pemastautin Sementara atau MyKas.

Status tersebut sekali gus menolak dakwaan bahawa Long Tiger memiliki kad pengenalan dan warganegara Malaysia.

Sumber mendedahkan kepada Mingguan Malaysia berkata, menerusi semakan sama, Long Tiger dilahirkan di Hospital Mentakab, Pahang pada Februari 1989 dan membuat permohonan MyKas ketika berusia 12 tahun.



Pengeluaran MyKas adalah amalan biasa kepada individu bukan warganegara atau mereka yang tidak dapat ditentukan kewarganegaraan.

Dalam hal ini, kata sumber itu, sijil kelahiran yang dikeluarkan kepada anak yang bertaraf bukan warganegara adalah sebagai rekod bahawa kelahirannya berlaku di Malaysia.

“Kelahiran seseorang individu yang berlaku di Malaysia tidak menyebabkan individu berkenaan memperoleh kewarganegaraan secara automatik.

“Ini kerana kewarganegaraan seseorang ditentukan berdasarkan kepada status perkahwinan dan taraf kewarganegaraan ibu atau bapa kandung mengikut peruntukan di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Citizenship Rules 1964 serta perundangan berkaitan yang masih berkuat kuasa,” jelas sumber itu kelmarin.



Sumber itu memberitahu, JPN bertanggungjawab mendaftarkan setiap kelahiran di negara ini tanpa mengira anak berkenaan bakal diiktiraf sebagai warganegara atau bukan warganegara.

“Perkara ini berdasarkan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) bagi semenanjung Malaysia, Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Bab 123 (No.11 Tahun 1951) bagi Negeri Sabah dan Ordinan Kelahiran dan Kematian Bab 10 (No.6 Tahun 1951) bagi Negeri Sarawak,” jelasnya.

Terdahulu pada 15 Disember, Long Tiger yang lari dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor ditangkap di Sungai Petani, Kedah selepas 13 hari menjadi pelarian.

Semasa ditahan lelaki berketurunan Rohingya itu disyaki dalam rancangan lolos ke Thailand atau Indonesia.



Polis turut merampas dokumen pengenalan diri Long Tiger dan selepas semakan ia bukan Mykad seperti yang dipertikaikan beberapa pihak.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay pada sidang akhbarnya turut memaklumkan memiliki kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR). – UTUSAN ONLINE

Bagaimana Long Tiger ada kad pengenalan? Ini penjelasannya..


Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Ini hujah Tengku Zafrul kenapa pengeluaran KWSP tidak diberikan



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker