Tragedi Banjir, Abang Viva Wira Tak Didendang

Gambar Azwan menyelamatkan mangsa banjir menjadi tular baru-baru ini.

SHAH ALAM – “Tiada apa-apa peristiwa yang mengaitkan diri saya pun. Saya memang dari kecil lagi suka tolong orang. Mudah kasihan. Mungkin ini yang mendorong saya nak bantu,” kata Azwan Omar, 29, atau lebih dikenali sebagai Abang Viva.

Azwan dianggap ‘Wira Tak Didendang’ dan dikenali ramai kerana membantu mangsa banjir di Selangor dengan menggunakan kereta jenis Perodua Viva dan sebuah bot. Dia kini berada di Temerloh, Pahang.

Kisah Azwan tular di media sosial apabila dia sanggup datang dari Melaka ke Selangor untuk menyelamatkan mangsa banjir minggu lalu dengan hanya berbekalkan wang sebanyak RM50 bagi mengisi minyak kereta dan membeli makanan.

Berhubung tawaran daripada seorang usahawan yang mahu memberinya kereta, anak kelahiran Alor Gajah, Melaka itu berkata, dia belum membuat keputusan setakat ini sama ada mahu menerimanya atau tidak.



Sebaliknya, dia kini lebih mengutamakan misinya untuk membantu mangsa banjir.

“Sekarang saya belum bagi apa-apa jawapan lagi.

“Memang betul dia (usahawan) ada menghubungi saya, tapi saya tak bagi jawapan yang tepat sebab saya memang mahu fokus kepada misi saya dulu di sini.

“Hal-hal seperti itu saya rasa tak perlu lagi fikir buat masa sekarang.



“Bagi saya, nyawa orang lebih penting daripada perkara itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

 

Bot yang diletakkan Azwan di atas kereta Viva yang menjadi perhatian.
Bot yang diletakkan Azwan di atas kereta Viva yang menjadi perhatian.

 

Selain daripada tawaran tersebut, Azwan berkata, dia turut didatangi oleh pelbagai pihak yang mahu memberikan sumbangan dan bantuan.



Dia bagaimanapun mengakui kurang selesa dengan tawaran tersebut.

“Sejujurnya memang saya tak berapa selesa sangat. Bukan saya tak menghargai mereka yang nak tolong.

“Tetapi jujur hati saya memang suka buat sesuatu perkara kebaikan secara senyap-senyap, tanpa perlu ramai yang kenal.

“Betul perkara ini memberi satu kelebihan kepada saya. Saya boleh membantu lebih ramai lagi dengan sumbangan dan bantuan berkenaan.



“Tapi saya tak selesa. Mana saya pergi pun orang akan kenal dan tegur. Rasa macam sudah tidak ada privasi untuk saya pergi ke mana-mana,” luah Azwan.

Ditanya mengenai perancangan seterusnya selepas selesai misi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Pahang, Azwan berkata, dia tidak mempunyai apa-apa rancangan selepas ini, sebaliknya mahu pulang ke Melaka.

“Selepas selesai misi di Temerloh, saya akan ke Pekan, Pahang kerana difahamkan di sana air akan naik semula. Jadi saya akan selesaikan di sini dulu. Selepas itu, saya sudah tidak ada perancangan untuk ke mana-mana lagi.

“Kemungkinan saya akan balik ke kampung sebab sudah lama saya keluar. Saya juga perlukan rehat yang cukup,” jelasnya.




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bodohnya pemimpin ultra kiasu pertikai ‘PM tak hadir’ acara Krismas



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker