Teguran Yang Maha Kuasa

Teguran Yang Maha Kuasa

oleh Muhammad Fahmi Md Ramzan

Fenomena langit ‘menangis’ sehingga mengakibatkan bergenangnya air di bumi terus menjadi igauan ngeri buat sebahagian penduduk di negara ini. Hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan ditenggelami air dan memaksa penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara.

Lebih memeritkan, penduduk terjejas banjir turut menanggung kerugian besar akibat kerosakan dan kehilangan harta benda yang sedikit sebanyak menjejaskan kelangsungan hidup mereka.

Sudah tentu, musibah banjir ini hadir tanpa dipinta dan berharap semuanya kembali seperti sedia kala. Namun, di sebalik bencana yang melanda, pasti tersurat dan tersirat 1001 hikmah yang perlu dicerna.

Apabila ditelusuri perspektif Islam, setidak-tidaknya terdapat dua aspek penyebab berlakunya bencana iaitu aspek teologi dan ekologi. Dari aspek teologi, al-Quran sudah menceritakan berkaitan bencana yang menimpa umat terdahulu akibat kesombongan dan keingkaran mereka terhadap ajaran Tuhan yang disampaikan oleh nabi mereka.

Antaranya ialah peristiwa banjir terbesar sepanjang sejarah manusia yang berlaku pada zaman Nabi Nuh. Banjir itu menenggelamkan semua peradaban manusia pada waktu itu. Dahsyatnya banjir pada zaman Nabi Nuh dilukiskan dengan tergenangnya permukaan bumi dan tenggelamnya gunung-ganang yang berlaku dalam tempoh waktu yang cukup lama, kesan daripada air yang turun mencurah-curah dari langit serta memancar dari dalam bumi.

Seperti diabadikan dalam al-Quran, “Maka Kami bukakan pintu-pintu langit dengan (menurunkan) air yang tercurah. Dan Kami jadikan bumi memancarkan mata air-mata air, maka bertemulah air-air itu untuk suatu urusan yang sungguh telah ditetapkan. Dan Kami angkut Nuh ke atas (bahtera) yang terbuat daripada papan dan paku.” (Surah al-Qamar: 11-13)

Semua pada hari itu tenggelam kecuali yang berada di atas bahtera. Termasuk yang tenggelam ialah salah seorang anakanda Nabi Nuh yang ingkar dan berkeras tidak mahu mengikuti dakwahnya dan menolak untuk bersama-sama menaiki bahtera.

Hal ini diceritakan dalam al-Quran, “Anaknya menjawab, “Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat memeliharaku daripada air bah!” Nuh berkata, “Tidak ada yang melindungi hari ini daripada azab Allah selain Allah (saja) Yang Maha Penyayang.” Dan gelombang menjadi penghalang antara keduanya, maka jadilah anak itu termasuk orang-orang yang ditenggelamkan.” (Surah Hud: 43)

Bencana lain yang dikisahkan dalam al-Quran ialah peristiwa banjir besar yang menimpa kaum Saba’ sehingga mengakibatkan runtuhnya empangan Ma’arib yang digunakan sebagai sumber air dan pengairan tanah pertanian kaum terbabit. Pasca pemerintahan Ratu Balqis, kaum Saba’ kembali ingkar kepada Allah sehingga mereka dihukum dengan banjir besar. Tanah pertanian mereka yang sebelum itu subur hancur dalam sekelip mata. Bahkan, selepas surutnya banjir, tanah pertanian tidak dapat lagi ditumbuhi tanaman, kecuali tanaman liar yang tidak berguna. Kisah mereka ini dipaparkan dalam al-Quran sepertimana berikut, “Sesungguhnya bagi kaum Saba’ ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka iaitu dua kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (Kepada mereka dikatakan) “Makanlah olehmu daripada rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya. (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun. Tetapi mereka berpaling, maka Kami datangkan kepada mereka banjir yang besar dan Kami ganti kedua kebun mereka dengan dua kebun yang ditumbuhi (pohon-pohon) yang berbuah pahit, pohon Athl dan sedikit daripada pohon Sidr.” (Surah Saba’: 15-16)

Apabila ditinjau dari aspek ekologi pula, banjir bukan dilihat sekadar musibah daripada Allah kepada umat manusia, tetapi ia juga membabitkan ulah atau perilaku manusia itu sendiri dalam mengelola alam sekitar. Sebagai contoh, penebangan pokok dan penarahan bukit secara tidak terkawal, pembangunan di kawasan padat yang tidak terancang, sistem perparitan dan saliran yang tidak diselenggara dengan baik, masalah pencemaran longkang dan sebagainya. Hal ini dibuktikan melalui firman Allah Ta’ala, “Telah tampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah ar-Ruum: 41)

Berdasarkan ayat itu, sekiranya aktiviti dan tindakan yang dilaksanakan manusia mengetepikan aspek keseimbangan ekologi serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam, hakikatnya manusia itu sendiri yang mengundang akan hadirnya bencana. Oleh sebab itu, Islam amat menitikberatkan penjagaan alam sekitar dan mengelolanya dengan baik supaya dapat mengekalkan kelestarian alam. Hal ini ditegaskan melalui firman Allah Ta’ala, “Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah (Allah) memperbaikinya..” (Surah al-A’raaf: 56)

Bahkan sebahagian ulama kontemporari juga telah menyenaraikan pemeliharaan lingkungan (Hifz al-Biah) sebagai Maqasid Syariah ke-6. Tuntasnya, bencana banjir bukan sekadar perlu disikapi dengan sabar, dalam masa yang sama semua pihak perlu mengambil iktibar di sebalik ujian dan dugaan yang menimpa supaya sentiasa memelihara hubungan baik dengan alam mahupun hubungan baik dengan Pencipta alam.

Sebagai orang yang beriman, perlu diyakini bahawa apa jua bencana yang berlaku bukanlah suatu kebetulan, tetapi boleh jadi ia suatu teguran supaya sentiasa mematuhi ketetapan Tuhan.

Akhirnya, di kala mengharungi tempoh dan detik yang sukar ini, mari kita sama-sama membidikkan panah-panah doa supaya mangsa banjir terus dikurniakan kekuatan dan ketabahan, agensi penyelamat dipermudahkan urusan dalam menghulurkan bantuan dan bencana banjir ini tidak berlarutan. Wallahu a’lam. HM

Penulis calon Doktor Falsafah di Jabatan Siyasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan Pengasas Pusat Pengajian Abu Faqih Centre

Teguran Yang Maha Kuasa


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Aktor Taiwan beri RM302,000 kepada pembantu rumah

Ibu saksi anak dirogol bekas suami di depan mata

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker