Bot karam: PATI dari Lombok, Indonesia

Sebaran :

Anggota penyelamat mengangkat salah satu mayat bot karam di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor hari ini.

KOTA TINGGI – Kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang terlibat kejadian bot karam di Pantai Tanjung Balau awal pagi tadi disyaki datang dari perairan Lombok, Indonesia.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata insiden berkenaan merupakan kes pertama yang melibatkan PATI datang dari kawasan berkenaan ke perairan Johor Timur.

Katanya, dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu seramai 14 terselamat, 11 terkorban manakala 25 lagi masih hilang selepas bot yang dinaiki 50 PATI berkenaan karam.

“Berdasarkan analisis dan soal siasat dari mangsa selamat, kebanyakan bot yang datang ke perairan Johor Timur adalah dari kepulauan Batam, manakala bot yang terlibat dalam insiden ini mangsa maklumkan bot belayar dari Lombok, Indonesia.



“Ini merupakan kes pertama bot datang dari Lombok, Indonesia. Siasatan lanjut masih belum dimulakan termasuklah untuk mengesan tekong kerana keadaan mangsa masih trauma selain mereka perlu melalui prosedur ujian calitan Covid-19.

“14 yang terselamat berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita dimana salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan kritikal namun telah stabil setelah mendapat rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT),”katanya pada sidang media di pusat operasi dan menyelamat yang dibuka di Pantai Tanjung Balau di sini hari ini.

Simon berkata, seramai 159 orang anggota dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat tersebut.

Katanya operasi carilamat 25 lagi mangsa yang hilang akan dilakukan sehingga satu waktu yang sesuai.-K! ONLINE



Bot karam: PATI dari Lombok, Indonesia


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Zeti harus bertanggungjawab!


Sebaran :

Leave a Reply

Your email address will not be published.