Benar atau tidak, tingkat keselamatan Sabah

KOTA KINABALU: Sahih atau tidak laporan serangan Tentera Diraja Sulu (RSA) terhadap Sabah, kawalan keselamatan Sabah perlu dipertingkatkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengasas merangkap Penasihat Persatuan Kebajikan Bajau Suluk Sabah (PKBSS), Manan Yassin Orat berkata, biarpun kerajaan Filipina menafikan mengenai serangan tersebut namun pasukan keselamatan harus sentiasa bersiap siaga.

Beliau berkata, kawasan perairan negeri ini sangat luas maka pihak keselamatan perlu menambah kawalan keselamatan sedia ada.

“Saya sendiri ada berjumpa dengan masyarakat Bajau Suluk berkaitan isu ini, ada yang mengatakan mungkin betul dan ada yang kata mainan politik.

“Bagi pendapat saya mungkin pilihan raya Presiden Filipina tidak lama lagi jadi tidak mustahil laporan itu hanya sekadar satu mainan politik,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sabah, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

“Ini negeri kita jadi demi keselamatan, kita perlu bekerjasama. Biarpun berita begini dikatakan tidak sahih tetapi kita masih perlu berhati-hati.

“Sekiranya ia berlaku, bukan setakat pasukan keselamatan yang kena, kita rakyat biasa pun akan menjadi mangsa,” katanya.

Manan berkata, perkara itu sudah dirisik selama beberapa hari dan tidak mungkin laporan serangan itu berlaku.

Kelmarin, pihak berkuasa Filipina menafikan laporan media antarabangsa yang mendakwa ratusan RSA merancang untuk menyerang Sabah, Februari tahun depan.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, laporan mengenai serangan RSA terhadap Sabah itu tidak benar dan sengaja diputar belit pihak tertentu yang cemburu dengan keadaan keselamatan Sabah.

Pada 9 Disember, sebuah akhbar tempatan memetik sumber akhbar luar negara daripada Hong Kong, China yang menyatakan 600 anggota puak pemisah dari selatan negara jiran akan menyerang Sabah. – UTUSAN ONLINE

Benar atau tidak, tingkat keselamatan Sabah


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


MLM 2021: Bahye bakal juara?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker