Kerajaan komited tingkat penglibatan Bumiputera dalam projek skala besar – Ismail

Kerajaan komited tingkat penglibatan Bumiputera dalam projek skala besar – Ismail

Kerajaan komited dalam usaha meningkatkan penglibatan perniagaan Bumiputera dalam projek nasional berskala besar, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kerajaan juga komited dalam mengkaji polisi perolehan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta isu berkaitan ekuiti korporat Bumiputera yang masih jauh daripada sasaran 30%.

“Sehubungan dengan ini, kerajaan sedang mengkaji mekanisme Jaringan Keselamatan Ekuiti (ESN) bertujuan memastikan saham yang dipegang oleh agensi bermandat Bumiputera kekal dalam kelompok syarikat Bumiputera.

“Mekanisme ini akan diperhalusi agar dapat mencapai ekuiti dan nilai Bumiputera tanpa memberi kesan terlalu besar kepada daya saing agensi-agensi berkaitan dalam urusan pelaburan mereka,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030).

Ismail berkata, meskipun Bumiputera merupakan kaum majoriti di negara ini, iaitu seramai 20.9 juta atau 69.7%, namun status sosioekonomi mereka masih di tahap yang memerlukan peningkatan, khususnya kesenjangan kekayaan, jurang pendapatan serta pemilikan aset yang masih rendah.

“Bumiputera perlu dibantu dengan cara baharu dan lebih berstruktur. Inklusif dari Perlis ke Sarawak hingga ke Sabah, termasuk golongan Bumiputera minoriti. Seperti mana yang saya sebutkan dahulu, tiada yang akan dibiarkan terpinggir atau dilupakan, seiring dengan intipati Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12),” jelasnya.

Beliau berkata, kejayaan Bumiputera bukan hanya agenda Bumiputera semata-mata, tetapi akan membawa pulangan kepada negara secara keseluruhannya.

“Kita turut mampu memacu agenda Bumiputera ke peringat global dengan pemerkasaan bidang berteknologi tinggi, mempertingkat kualiti lulusan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET),” katanya.

TPB2030 adalah naskah rujukan sedekad akan datang bagi pemerkasaan ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera dan merupakan kesinambungan kepada inisiatif serta program-program pemerkasaan sebelum ini.

Berintipatikan sebahagian agenda dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan didukung oleh RMK12, TPB2030 yang diwujudkan untuk mencapai kesaksamaan peluang dan keberhasilan ini dibangunkan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sejak penghujung 2020.

TPB2030 meletakkan enam sasaran utama untuk dicapai menjelang 2030 iaitu Sumbangan Lebihan Kendalian Kasar (GOS) perusahaan Bumiputera sebanyak 20% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM438 bilion; gaji upah pada kadar RM5,169.12; Pendapatan isi rumah pada kadar RM18,402.68; Kadar Pulangan Aset Kewangan Perkapita pada nilai RM4,495.65; Pekerja mahir seramai 3,248,920 orang; dan pemilikan kediaman sebanyak 4,758,469.

Enam sasaran tersebut bakal dicapai melalui tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) yang terdiri daripada Pertanian dan Komoditi, Ekonomi Digital, Halal dan Makanan, Kewangan Islam 2.0, Pengangkutan dan Mobiliti Lestari, Pembuatan dan Pelancongan. BH

Kerajaan komited tingkat penglibatan Bumiputera dalam projek skala besar – Ismail


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Gelagat Sekumpulan Lelaki Keluarkan Mayat Rakan Dari Keranda Untuk Dibawa Berjalan [VIDEO]

Try It! This Tunnel Leads You On A Hike With A Scenic View Of Malaysia’s Tallest Highway [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker