Tanah runtuh: Lori dan MPV tertimbus, dua individu meninggal dunia
Dua lelaki meninggal dunia selepas kenderaan mereka tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di laluan FT 185, Km 27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di Ipoh semalam.
Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata mereka yang maut ialah pemandu lori Muhammad Hafiz Hamdi, 31, dan pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard Tan Chee Heng, 36.
Selepas hampir tujuh jam operasi mencari dan menyelamat, pasukan penyelamat berjaya membawa keluar kedua-dua mayat daripada kenderaan masing-masing dalam runtuhan itu kira-kira pukul 10 malam tadi dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh bagi proses bedah siasat serta tuntutan waris.
Pemandu lori sayur itu dipercayai sedang dalam perjalanan ke Simpang Pulai dari Cameron Highlands manakala pemandu MPV terbabit dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Pulau Pinang dan tiada penumpang lain di dalam dua kenderaan terbabit.
Pihak penyelamat juga mengesahkan setakat ini hanya dua kenderaan yang tertimbus dalam tanah runtuh itu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.44 tengah hari semalam dan pemerhatian awal mendapati tiga kenderaan dipercayai tertimbus dalam runtuhan tanah berkenaan sekali gus kerja-kerja mengangkat timbunan tanah menggunakan jengkaut diaktifkan serta-merta di lokasi kejadian.
Menurut jurucakap JBPM Perak, pemandu lori itu pada petang kejadian, telah memberikan respons ketika usaha menyelamatkannya namun disahkan telah meninggal dunia.
Bagi memudahkan operasi tersebut yang berdepan dengan cabaran cuaca sejuk dan pemandangan kabur akibat hujan renyai, pasukan penyelamat juga menggunakan dron bagi melihat pergerakan tanah dari pandangan atas secara keseluruhan.
Najib ke Mahkamah Bagaikan Bertinju Sebelah Tangan Diikat Di Belakang
Kira-kira 100 anggota dan pegawai pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan negara termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) berada di lokasi serta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dalam operasi tersebut agar memudahkan kelicinan pengoperasian.
Mior Faridalathrash dalam sidang media di lokasi kejadian berkata pada masa ini tiada pergerakan tanah dikesan, bagaimanapun pemantauan diteruskan bagi langkah-langkah keselamatan.
Dia berkata orang ramai diminta menggunakan laluan alternatif di Jalan Persekutuan FT059 Tapah-Ringlet yang dibuka sepenuhnya untuk semua kenderaan bermula pukul lima petang semalam untuk melakukan perjalanan ke Cameron Highlands.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Mohd Zolkafly Harun berkata hujan yang berterusan dipercayai menyebabkan berlaku hakisan tanah di kawasan cerun potong di laluan berkenaan.
“Runtuhan tanah berlaku sepanjang 100 meter dan laluan utama ke Cameron Highlands itu tidak selamat untuk semua jenis kenderaan dan masih dikawal ketat oleh pihak konsesi.
“Bagaimanapun, punca tanah runtuh masih dalam siasatan dan pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah dan pihak konsesi jalan persekutuan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Kampung Pawong Ismail Baloh, 51, berkata kejadian tanah runtuh itu disedari pada kira-kira pukul dua petang semasa dia dalam perjalanan untuk ke Simpang Pulai.
“Saya nampak ada dua kenderaan bomba naik sebelum orang kampung cemas memberitahu tentang kejadian tanah runtuh ini,” kata Ismail.
-Bernama
Tanah runtuh: Lori dan MPV tertimbus, dua individu meninggal dunia
Baca Artikel Menarik:
- Tempat Viral Tengok Kapal Terbang Ditutup
- Lelaki beli Lamborghini, Rolex guna dana bantuan Covid-19
- Nadia Brian tak tolak kalau dah jodoh
- JDT kalah bagus sebagai wake up call – TMJ
- Dakwa adik dipukul di kem, hubungi saya segera – Hishammuddin
- 445 pelajar berhenti sekolah untuk kahwin
- 7 Beautiful Gems In Malaysia You Confirm Wanna Bookmark For Your Next Trip
- Air banjir jernih seperti kolam (Video)
- Suami cekup isteri bersekedudukan bersama lelaki lain
- Pantun sindir JDT Sanusi curi tumpuan
- Mengapa Manusia Selepas Adam Diciptakan Dari Air Mani Dan Bukan Tanah
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.