PRN Sarawak: GPS dijangka menang mudah lebih 75 kerusi

Sebaran :

SHAH ALAM – Ramai penganalisis politik meramalkan Gabungan Rakyat Sarawak (GPS) tidak akan menghadapi masalah besar untuk menang lebih daripada dua pertiga atau lebih 68 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 nanti.

Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata suasana politik di Sarawak sekarang juga memberi kelebihan kepada GPS untuk mendapat mandat rakyat dan kekal berkuasa.

Beliau berkata kenyataan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, bahawa GPS pimpinannya akan bersih semua 82 kerusi DUN dalam PRN Sarawak adalah satu strategi serampang dua mata iaitu perang psikologi untuk melemahkan parti lawan dan menunjukkan kekuatan serta keyakinan gabungan berkenaan.

“Saya berpandangan GPS mungkin tidak boleh memenangi semua 82 kerusi termasuk 10 kerusi dikuasai parti pembangkang (PKR, DAP, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan tiga kerusi disandang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas, namun jika mereka kerja kuat GPS berpeluang menang lebih daripada 68 kerusi dimenangi pada PRN ini.



“Satu lagi kelebihan adalah GPS tidak perlu bekerja keras untuk menyerang parti pembangkang kerana DAP, PKR dan PSB sukar untuk bekerjasama dalam PRN Sarawak kerana masing-masing enggan mengalah,” katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium hari ini.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata satu lagi kelebihan GPS adalah mereka lebih dekat dengan gabungan berkenaan kerana sudah lama bertapak dan menjadi kerajaan negeri di Sarawak.

Tambahan pula, Awang Azman berkata kerajaan negeri pimpinan Abang Johari juga banyak menghulurkan pelbagai bantuan termasuk wang tunai secara langsung kepada rakyat yang hidup dalam kesusahan sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara, sejak Mac 2020.

Ditanya sama ada isu seperti Perjanjian Malaysia 1963 termasuk royalti akan mempengaruhi polar penggundian dalam PRN Sarawak, Awang Azman, menegaskan perkara berkenaan kurang mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat di negeri.



“Antara isu yang lebih menarik perhatian dan dijangka dimainkan dalam PRN Sarawak nanti termasuklah jalan raya, jambatan, bekalan air dan elekrik luar bandar; banjir dan peparitan, selain sekolah daif dan akses internet,” katanya.

 

DR AWANG AZMAN
DR AWANG AZMAN

Sementara itu, Profesor Politik dan Perhubungan Antarabangsa, Sekolah Penggajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Azizuddin Mohd Sani, juga tidak menolak kemungkinan GPS mampu menang lebih daripada 68 kerusi DUN dimenangi mereka dalam PRN Sarawak ke-11 sebelum ini.

Azizuddin berkata ini kerana dasar GPS ketika ini amat disenangi oleh pengundi dan rakyat Sarawak, selain rekod dan legasi cemerlang ditinggal oleh bekas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, sebelum ini.

“Saya tidak boleh mengatakan bahawa GPS akan menang di semua 82 kerusi DUN bakal ditandingi oleh mereka pada PRN Sarawak nanti kerana ia amat melampau dan tidak masuk akal.



“Namun, berdasarkan situasi semasa dan sentimen rakyat Sarawak sekarang saya yakin GPS mampu memenangi lebih daripada 68 kerusi DUN dengan mempertahankan kubu kuat GPS dalam PRN lalu,” katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Azizuddin berkata kemenangan GPS juga akan dipengaruhi oleh corak sokongan masyarakat Dayak yang menjadi penduduk teramai dan penyokong tegar kerajaan negeri sedia ada terutama di kawasan luar bandar, manakala kawasan bandar dikuasai oleh DAP dan PSB.

Justeru itu, Azizuddin menegaskan faktor penentu sebenar kemenangan parti gabungan sama ada GPS, PSB dan komponen PH dalam PRN Sarawak adalah pengundi Dayak yang terdiri daripada separuh penduduk di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Azizuddin juga menegaskan pengundi di Sarawak juga tidak banyak dipengaruhi oleh pelbagai isu nasional yang dimainkan di media arus perdana ketika ini kecuali kenaikkan harga barang keperluan harian.

Sebaliknya, Azizuddin menegaskan pengundi di Sarawak lebih terpengaruh dengan isu tempatan dan berkaitan dengan kehidupan harian mereka termasuk bekalan air, elektrik, jalan raya serta internet luar bandar selain kos sara hidup yang tinggi di negeri terbabit.

“Isu seperti perjanjian MA63 dan royalti pula menjadi taktik kerajaan negeri untuk mendapatkan peruntukan lebih daripada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan pembangunan infrastruktur di Sarawak,” katanya.

PROF DR AZIZUDDIN MOHD SANI
PROF DR AZIZUDDIN MOHD SANI

PRN Sarawak diadakan susulan tindakan Yang di-Pertuan Agong yang berkenaan menarik balik Proklamasi Darurat Sarawak pada 3 November lalu, sekali gus menyebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan pilihan raya negeri dalam tempoh 60 hari selepas undang-undang berkenaan diangkat.

Berikutan itu, SPR menetapkan PRN Sarawak ke-12 diadakan pada 18 Disember depan; 6 Disember sebagai tarikh penamaan calon, manakala pengundian awal diadakan pada 14 Disember.

Seramai 1,252,014 orang pengundi di negeri itu layak mengundi dalam PRN-12 dan mereka terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan, 10,458 anggota polis dan pasangan serta 113 pengundi tidak hadir luar negara.

Sebanyak 1,866 pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,555 tempat mengundi/saluran dan 85 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 111 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

PRN Sarawak: GPS dijangka menang mudah lebih 75 kerusi


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PRN Sarawak: GPS tampil 24 muka baharu


Sebaran :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *